https://critoxium.com/shop/

Terkini

'Najib harus gembira dengan langkah kerajaan isu tol'

Oleh Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi

Saya membaca laporan media semalam yang memetik kenyataan bekas perdana menteri Najib Razak mempertikaikan pengumuman penurunan tol di beberapa lebuh raya sekitar Selangor dan Kuala Lumpur yang menyifatkan ia seolah gimik kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRK Semenyih dengan rasa penuh kesal.

Pertama sekali, sebagai seorang yang kini ingin memaparkan dirinya jaguh rakyat, Najib seharusnya gembira dengan apa-apa pengumuman tentang penunaian janji manifesto PH yang meringankan beban rakyat.

Kedua, Najib sebagai bekas perdana menteri yang meninggalkan beban hutang negara yang terbesar dalam sejarah sejak Malaya merdeka, semestinya beliau sendiri menyedari kesukaran sekaligus pasti kagum akan kebolehan kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad melunaskan janji penghapusan tol ini.

Ketiga, memandangkan negara menyaksikan rentetan pilihan raya kecil (PRK) sejak DUN Sg Kandis pada Ogos tahun lepas, tidak mungkin inisiatif pemansuhan tol seperti ini dapat diumumkan tanpa ia berlaku pada tempoh menjelang suatu PRK.

Adakah Najib merasakan kerajaan PH terpaksa menunggu masa di luar tempoh mana-mana PRK sebelum menunaikan apa-apa janji manifesto PH?

Keempat, saya harap Najib sedia memohon maaf atas keterlanjurannya mengkritik sesudah maklumat usaha terkini pemansuhan tol diperincikan semalam oleh Pejabat Perdana Menteri dan ternyata ia memanfaatkan jutaan masyarakat yang disentuh, bukan sekadar pengundi Semenyih.

Saya harap ia juga menghentikan hamburan fitnah BN yang kononnya kerajaan PH tidak menunaikan janji pilihan raya.

Walaupun saya tidak setuju dengan slogan peribadi Najib yang seolah-olah mengajar masyarakat bahawa seorang 'boss' tidak perlu malu atas segala tindak-tanduknya, sebagai seorang pemimpin PH, saya menghormati haknya untuk suara, namun berharap beliau lebih prihatin dalam bersuara.

Kita ambil yang jernih dan buang yang keruh, maka di sini ingin saya berterima kasih kepada Najib kerana memberi peluang PH menjelaskan dengan lebih baik bukti penunaian janji-janji kita untuk menurunkan kos sara hidup rakyat dengan memansuhan tol secara berperingkat.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.