https://critoxium.com/shop/

Terkini

PAS bolak-balik macam 'wiper',

Oleh

PAS membuat pendirian bercanggah apabila menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan juga Umno, kata pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau menganggap pendirian PAS yang berbolak-balik itu seperti pengelap cermin kereta kerana sentiasa berubah kedudukan dari satu sisi ke satu sisi lain.

Saifuddin juga menyanggah dakwaan PAS bahawa wujud usaha untuk menyingkirkan Dr Mahathir sebagai pengerusi PH.

Namun PAS tidak boleh mendapat untung dengan cara itu, kata Saifuddin.

“Ia mahu bekerjasama dengan pembangkang Barisan Nasional yang mahu menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan, dan ia mahu sokong Dr Mahathir, yang mengetuai kerajaan.

“Kami dapati ini aneh. PAS mahu bekerjasama dengan Umno tapi pada masa sama mahu sokong Dr Mahathir. PAS panggil politik jenis ini matang dan sejahtera.

“Tapi kami panggil ini politik wiper (pengelap cermin),” katanya kepada The Malaysian Insight.
Saifuddin yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata jelas sekali PAS mahu meraih keuntungan dari kedua-dua pihak.

PAS muncul pada hari penamaan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Sabtu lalu untuk menyokong calon Umno.

Susulan itu, Dr Mahathir mendedahkan bahawa parti Islam itu menyatakan sokongan kepadanya dalam mesyuarat dua hari sebelum itu dan tidak akan menyokong Umno di Semenyih.

Pada Isinin, Setiausaha Agung PAS Takiyuddun Hassan mengakui bahawa parti itu menyatakan komitmen tersebut tetapi menjelaskan ikrar itu hanyalah untuk menyokong Dr Mahathir sekiranya undi tidak percaya diusulkan di Parlimen.

PAS juga menyatakan ia akan menyokong Dr Mahathir “demi kuasa Melayu-Islam” dan mendakwa terdapat usaha dari kalangan pemimpin PH untuk menggulingkan perdana menteri.

Takiyuddin berkata sokongan kepada Dr Mahathir tidak meliputi PRK Semenyih, yang ditandingi Umno dengan sokongan parti Islam itu.

Dakwanya, pertemuan PAS-Dr Mahathir dijalankan kerana Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendapat maklumat bahawa usaha menggulingkan perdana menteri sedang dirancang.
Mengulas perkara itu, Saifuddin berkata konspirasi untuk menggulingkan Dr Mahathir itu tidak wujud sama sekali.

Kedudukan Dr Mahathir sebagai perdana menteri juga dipersetujui semua parti PH pada Januari 2018, empat bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

“PH bermesyuarat setiap tiga minggu. Mesyuarat terakhir diadakan selepas Tahun Baru Cina dan suasananya sangat baik. Kami berbincang mengenai kerajaan dan dasar parti.”

Beliau juga percaya rakyat Malaysia dapat menilai retorik kaum dan agama yang dibangkitkan Umno dan PAS.

Sentimen berkenaan dibangkitkan kedua-dua parti tersebut dalam kempen PRK Cameron Highlands bulan lalu. Kaedah sama diusahakan untuk memenangi 68% pengundi Melayu di kerusi DUN Semenyih

“Umno memainkan politik kaum selama ini, tetapi itu tidak menghalang kemenangan kami. Apa yang penting, kami dalam PH mentadbir dengan bertanggungjawab,” katanya

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.