PAS sokong Tun M demi kepentingan negara
Oleh DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
PAS suka menegaskan
sebarang bentuk sokongan kepada kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad
sebagai Perdana Menteri Malaysia dibuat tanpa sebarang muslihat,
sebaliknya demi kepentingan negara dan rakyatnya.
Dari awal lagi PAS amat konsisten dengan
sikap bahawa berdasarkan geopilitik negara ini, mana-mana Kerajaan yang
menerima mandat rakyat melalui proses Pilihan Raya Umum wajib
meletakkan kepentingan Islam dan Melayu sebagai teras utama pembuatan
dan perlaksanaan dasarnya dan pada masa yang sama kepentingan semua kaum
dan agama lain perlu dijamin sepenuhnya. Ini adalah berdasarkan realiti
masyarakat majmuk kita dan harus dilaksanakan berteraskan keadilan
sejagat dan kontrak sosial yang diterima pakai sejak negara mencapai
kemerdekaan.
Sokongan kepada kepimpinan Tun Dr.
Mahathir Mohamad juga tidak ada kena mengena dengan dakwaan sesetengah
pihak kononnya bagi ‘menyelamatkan’ PAS daripada siasatan isu RM90 juta.
Ini kerana PAS telah memberikan sepenuh kerjasama kepada SPRM untuk
membuat siasatan terperinci, termasuk mengarahkan beberapa pemimpin yang
dikaitkan dengan tohmahan ini memberikan kenyataan masing-masing.
Dalam hal ini PAS yakin SPRM akan membuat dapatan (finding) mereka dalam kadar yang segera hasil siasatan yang telus, profesional dan adil.
Dalam isu desas-desus kononnya ada pihak
yang cuba mengganggu gugat kedudukan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai
Perdana Menteri, PAS mengulangi pendirian bahawa perkembangan yang
berlaku dalam kalangan pimpinan PH mutakhir ini berhubung isu terbabit,
sama ada berbentuk kenyataan atau perbuatan, termasuk luahan hati Tun
Mahathir sendiri, emberikan gambaran kepada umum bahawa wujudnya semacam
pertembungan keras atau ‘clash of the Titans’ dalam kalangan pimpinan
PH terhadap kepimpinan Tun Dr. Mahathir.
Di samping itu wujud juga unsur
ketidapatuhan atau ‘insubordination’ yang jelas terhadap polisi dan
arahan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri. Justeru PAS tidak boleh
dipersalahkan berikutan tanggapan mengenai perkara itu, malah menggesa
pimpinan utama parti-parti PH sendiri memberi pencerahan berhubung
insiden dan desas-desus tentangnya yang menjadi punca kekeliruan dan
tanggapan sedemikian yang menjadi rahsia umum kini.
Akhirnya PAS menegaskan segala sokongan
yang diberikan kepada mana-mana pihak, termasuk kepada Kerajaan dan
secara lebih khusus kepada Perdana Menteri adalah atas dasar
melaksanakan tuntutan Islam ‘amar makruf nahi mungkar’ selain berperanan
sebagai semak dan imbang (check and balance) yang menjadi elemen utama amalan demokrasi yang sihat.
Setiausaha Agung PAS
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.