https://critoxium.com/shop/

Terkini

‘Usah harap bintang di langit, PH baru bertatih’

Oleh Arif Atan

Rata-rata pemimpin tempatan dan penyokong Pakatan Harapan (PH) di Semenyih, Selangor menyifatkan rasa tidak puas hati kononnya kerajaan gagal menunaikan janji pada PRU-14 lalu sebagai keterlaluan.

Ketua Srikandi Bersatu Selangor, Datin Sharifah Salmah Syed Agil berpendapat rakyat perlu berpijak di bumi nyata dengan memberi peluang kepada kerajaan PH melakukan perubahan.

Datin Sharifah Salmah Syed Agil
Menurut ahli perniagaan itu, langkah lebih teliti perlu diambil kira sekali gus menuntut lebih banyak masa demi manfaat semua pihak memandangkan kerosakan yang ditinggalkan BN sebelum ini terlalu membinasakan.
“Dalam tempoh tidak sampai setahun ini, mereka jangka bintang di langit. Tidak bolehlah begitu. Kita baru (jadi kerajaan).

“Walaupun pemimpinnya, Tun Dr Mahathir orang lama tetapi kerosakan yang dibuat itu terlampau teruk. Jadi, kena ambil masa,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline di Kampung Sesapan Batu Minangkabau di Beranang semalam.

Beliau antara pemimpin PH peringkat negeri yang hadir mengiringi lawatan kerja Menteri Belia dan Sukan

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Bersatu.
Mengulas lanjut, Sharifah berkata, kejayaan sesebuah syarikat pun bukan dapat dicapai dalam tempoh singkat bahkan banyak janji pilihan raya BN ketika berkuasa sebelum ini tidak semuanya terlaksana.

“Kalau syarikat pun ambil masa dua tahun baru nampak prestasinya. Ini untuk PH apabila jadi kerajaan, mereka harapkan keajaiban. Tidak logiklah.
“Manifesto masa BN dulu pun tidak ada pula ramai pertikaikan banyak yang tidak ditepati. Seolah-olah mereka (pembangkang) macam tak boleh terima kekalahan,” ujar bekas pimpinan Wanita Umno Bahagian Gombak itu lagi.

Safian Alias
Reaksi sama diperolehi daripada Ketua Kampung Sesapan Kelubi, Safian Alias, 50 yang berpendapat adalah terlalu awal untuk menghukum PH hanya dalam tempoh sembilan bulan mendapat mandat rakyat di Putrajaya.

“Sepanjang tempoh ini, kita cuba tunjukkan perubahan. Yalah, benda lama kita nak ubah bukannya mudah. Apa yang saya buat di peringkat saya sendiri, kita cuba sentiasa tidak putus menyantuni rakyat.

“Melalui MPPK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung), saya lebih suka bersemuka dengan segenap lapisan masyarakat dengan mengambil kira keperluan mereka seperti prasarana misalnya,” ujar Safian.

Bekas Jawatankuasa PKR Cabang Hulu Langat itu berkata, di pihak pemimpin PH di setiap peringkat pula pastikan terus bekerja untuk rakyat daripada terlalu melayan serangan pihak lawan politik yang memang mencari kesempatan.

“Banyaknya hanya propaganda. Jadi, bergantung kepada individu itu sendiri. Mana boleh kita tangani, kita buat ikut keupayaan dan kapasiti masing-masing,” kongsi Safian lagi ketika ditemui sempena majlis kahwin seorang penduduk kampung tersebut.

Suparto Hussin
Sementara itu, ahli Bersatu Suparto Hussin, 61, dari kampung sama turut optimis kerajaan PH akan terus melakukan perubahan yang lebih baik dari semasa ke semasa dengan syarat telus dan bebas rasuah.
“Kita baru bertatih bukan mudah untuk memuaskan hati semua lapisan rakyat. Belum sampai setahun pun PH mentadbir kerajaan.

“BN yang lebih 60 tahun ketika dapat mandat rakyat pun bukan semua kepentingan rakyat dipenuhi. Malah, penyelewengan kerajaan sebelum ini kalau ikutkan laporan media berlaku begitu menjolok mata,” ujar warga emas itu lagi.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.