https://critoxium.com/shop/

Terkini

Berita palsu: Masa untuk bertindak!

Oleh Amin Iskandar

Pada 12 September 2018, Dewan Negara menolak Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018.

Perkara itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Negara SA Vigneswaran, selepas undi belah bahagian menyaksikan 28 anggota dewan tidak menyokong pemansuhan akta itu berbanding 21 yang menyokong.

Tiga yang lain memilih untuk tidak mengundi.

Ertinya, majoriti ahli Dewan Negara yang dikuasai BN mahu Akta Antiberita Tidak Benar diteruskan di Malaysia dan tidak kisah sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) menggunakannya terhadap penyebar berita tidak benar dari kalangan mereka.
Tommy Thomas 
Baru-baru ini tersebar di media sosial kononnya Peguam Negara Tommy Thomas sebagai anti- Islam.

 Mesej itu disebarkan seluas-luasnya melalui laman media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Selain mesej yang tidak diketahui asal-usulnya diedar melalui media sosial, beberapa pihak juga memainkan sentimen mengenai latar belakang Thomas sebagai peguam negara.

Misalnya beberapa pemimpin Umno dan PAS mendakwa Jabatan Peguam Negara tidak tegas terhadap pihak yang menghina Islam.

Ia berlaku ketika beberapa individu didapati membuat kenyataan yang menyentuh sensitiviti Islam, termasuk menghina Nabi Muhammad.

Thomas membuat laporan polis selepas pelbagai tuduhan mengaitkannya dengan sikap anti-Islam beredar di media sosial.

Polis kemudiannya meminta pelaku yang bertanggungjawab menyebarkan berita palsu itu untuk menyerah diri menyebabkan seorang lelaki yang menggunakan nama Mohd Sharizan membuat permohonan maaf terbuka dan mendakwa kenyataannya dipadamkan selepas enam minit dimuat naik setelah beliau menyedari kesahihannya.

“Saya memohon supaya tiada sebarang tindakan lanjut akan dikenakan ke atas saya selepas permohonan maaf ini dikeluarkan,” katanya dalam permohonan maaf terbuka itu.
Sharizan memohon maaf atas kenyataan yang dimuat naik semalam yang mendakwa kononnya Thomas mengeluarkan kenyataan berbunyi: “Penghina Nabi dan Islam bukan penjenayah, mereka berhak lontarkan pandangan.”

Apa tujuan berita palsu sebegini disebarkan? Tidak lain tidak bukan untuk membangkitkan kebencian kaum dan agama.

Dan sekiranya tindakan tegas tidak diambil, pembangkang Umno dan PAS akan terus menerus menyebarkan berita-berita palsu seperti yang berlaku setiap hari sekarang untuk membangkitkan kebencian kaum dan agama sehingga ramai orang-orang Melayu merasakan kononnya mereka “ dalam bahaya.”
Akta Antiberita tidak Benar yang diilhamkan BN semasa berkuasa dahulu memperuntukkan hukuman yang kejam.

Denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya, bagi mereka yang mengadakan, menawarkan dan menerbitkan berita tidak benar.

Bagi kesalahan yang berterusan, pesalah boleh didenda selanjutnya sehingga RM3,000 setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Selain hukuman, mahkamah juga boleh memerintah pesalah memohon maaf kepada pihak yang terlibat secara terbuka di mahkamah ataupun melalui akhbar.

Hari ini setiap hari kerajaan PH berdepan dengan berita-berita palsu yang beredar di media sosial seperti apa yang berlaku kepada Thomas.

Yang sering menjadi mangsa antaranya ialah Menteri Kewangan Lim Guan Eng. Lim seringkali difitnah dalam isu-isu berkait dengan Melayu dan Islam.

Mengapa fitnah itu selalu dilakukan? Kerana kerajaan PH tidak bertindak tegas terhadap penyebar berita-berita palsu. Walaupun BN sudah pasti tidak akan membantah sekiranya Akta Antiberita Tidak Benar digunakan, kerana mereka sendiri tidak mahu memansuhkannya di Dewan Negara.

Sudah sampai masanya tindakan tegas diambil terhadap penyebar berita-berita palsu.

Jika tidak, tidak mustahil pergaduhan kaum seperti 13 Mei 1969 akan berulang kerana hari ini, berita-berita palsu yang membangkitkan kemarahan kaum dan agama disebarkan hampir setiap hari melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Tidak kurang juga akhbar arus perdana, yang masih lagi dilanggan di majoriti pejabat-pejabat kerajaan.

AMIN ISKANDAR berkicau menggunakan akaun Twitter @aminiskandar. Tulisan beliau merupakan pandangan peribadi atas kapasiti sebagai seorang penulis dan tidak ada kena mengena dengan sebarang jawatan yang “mungkin” beliau pegang.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.