https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kebimbangan terhadap fahaman dibawa Umno-PAS

Oleh Zin Mahmud

Pada 9 Mac lalu, pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), Michael Jayakumar dilaporkan berkata masyarakat Melayu dan Islam perlu merasa bimbang dengan pakatan Umno-PAS, mengatakan sudah masanya mereka mempersoalkan jenis fahaman yang dibawa oleh kerjasama itu.

Sehubungan itu, bekas ahli Parlimen Sungai Siput itu menyatakan kekhuatirannya gandingan Umno-PAS akan membawa fahaman yang terlalu konservatif, lebih menekan, menghukum dan mengawal, dan tidak selari dengan peredaran zaman.

Menurutnya, orang Melayu dan Islam harus takut kerana jika Umno-PAS pegang semula kerajaan persekutuan, apakah jenis fahaman yang mereka akan gunakan untuk masyarakat Islam dan Melayu?
Kenyataan beliau itu dibuat setelah ditemui dalam suatu wacana mengupas sejarah dan kesan buruh kontrak di Malaysia, di Brickfields, suatu tajuk yang diminati dan sering dibicarakan oleh golongan kiri termasuk pendokong PSM.
Walaupun kenyataan pemimpin kumpulan kiri itu ditujukan pada orang Melayu dan Islam tetapi ia juga melahirkan kebimbangan orang bukan Melayu dan bukan Islam terhadap fahaman yang dibawa oleh kerjasama antara Umno dan PAS.

Kefahaman yang dibimbangkan ialah konservatisme yang sedang dibawa oleh Umno dan PAS pada waktu ini. Tidak semua ciri-ciri fahaman yang dipanggil sebagai konservatisme itu buruk.

Konservatisme seperti lawannya, progresivisme meliputi spektrum ideologi yang panjang. Spektrum ideologi politik dilihat dari kanan dan kiri. Jadi di sebelah kanan ialah konservatif sementara di sebelah kiri ialah progresif. Maka di hujung spektrum itu merupakan fahaman politik pelampau, umpamanya ekstremis kanan jauh dan ekstremis kiri jauh. Di tengah-tengah spektrum itu adalah kesederhanaan. Jadi konservatisme tengah seperti juga progresif tengah tidaklah membimbangkan.
Apa yang berbahaya adalah konservatisme yang lebih ke kanan hingga boleh mencecah ekstremisme.

Retorik yang digunakan konservatif hampir pelampau ini termasuklah yang bernada rasisme, keagamaan melampau, fasisme, populis kanan dan politik identiti. Inilah yang dibimbangkan terhadap gabungan Umno-PAS itu.

Seruan Jeyakumar itu mungkin diremehkan oleh orang Melayu. Beliau dianggap sebagai tokoh yang tidak berpengaruh kepada orang Melayu dan Islam dari parti kecil yang banyak hilang deposit dalam pilihan raya. PSM yang tidak bersekutu dengan Pakatan Harapan tidak perlu diberi sebarang perhatian. Tetapi orang yang mengenali Jeyakumar dan PSM, maka akan didapati mereka golongan berdedikasi dan berprinsip dengan fokus pada isu khusus yang dihadapi rakyat.

Ditambah pula, banyak orang Melayu dan Islam tidak dapat menerima sebarang cadangan yang berhubung dengan Melayu dan Islam daripada orang bukan sekaum dan seagamanya. Soal bangsa dan agama Islam adalah terpulang pada orang Melayu sendiri.

Sejak menolak Malayan Union, orang Melayu menentukan jalan politiknya sendiri. Kebanyakan daripada mereka sentiasa menyokong Umno yang membuat parti itu memerintah negara selama 60 tahun sama ada melalui Perikatan dan Barisan Nasional.

Secara umumnya, Umno mengambil jalan sederhana dalam soal kaum dan agama, dengan kemampuannya untuk bekerjasama dengan parti bukan Melayu dan Islam. Sebaliknya, PAS yang mengambil jalan ekstrem kaum dan agama sejak pilihan raya 1955 lagi. Hujah untuk menolak Perikatan dibuat atas kerjasama Umno dengan MCA dan MIC. Tetapi retorik PAS ini hanya berjaya di Kelantan dan Terengganu.

Namun begitu, selepas 1969, PAS menjadi sederhana apabila turut menyertai BN yang di dalamnya ada MCA, MIC, Gerakan dan Parti Progresif Rakyat (PPP).

Selepas 1982, PAS dikuasai oleh golongan radikal yang kuat menggunakan retorik agama. Tetapi pada waktu sama, ia menolak sentimen perkauman dan kebangsaan, yang diistilahkan sebagai asabiyyah.

Tetapi dalam keadaan begini menjelang pilihan raya umum 1986, PAS bersedia untuk bekerjasama dengan bukan saja Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM), Parti Demokratik Sosialis (SDP), Parti Nasionalis Malaysia (Nasma) tetapi juga menjemput DAP untuk menyertai gabungan Harakah Keadilan Rakyat (HAK). Cuma di saat akhir, DAP menolak kerana bimbang penyokongnya tidak dapat menerima PAS.

Dalam pilihan raya 1990, retorik PAS tetap bernada Islam tetapi ia menolak asabiyyah. Islam yang dibawa oleh PAS ketika itu bersifat tamadun, dengan slogan “Tajdid Hadhari”, pembaharuan bertamadun. Ia tidak ada masalah bekerjasama dengan Parti Semangat 46 dan DAP untuk menentang Umno.

Begitu juga ketika PAS berada dalam Barisan Alternatif bersama Parti Keadilan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan DAP. Keadaan ini berlanjutan dalam Pakatan Rakyat. Malah PAS juga yang mengajukan gagasan “Rahmatin Lil Alamin” yang berasaskan pada kemanusiaan daripada perkauman atau anutan keagamaan.

Namun rupanya, keadaan PAS yang menolak kebangsaan, perkauman dan asabiyyah sejak 1982 adalah kerana adanya golongan progresif dalam PAS. Ketegangan berlaku antara golongan progresif dan konservatif terserlah sebaik saja selepas pilihan raya 2008. Golongan konservatif mahu menubuhkan kerajaan Melayu-Islam dan menolak DAP.

Sikap takut kepada DAP, atau “DAP-fobia” sudah lama tertanam dalam masyarakat Melayu Malaysia sejak perbalahan Umno dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura. Kebimbangan terhadap PAP itu diwarisi oleh DAP pula.

Ironinya kini ketika Malaysia sedang berada dalam hubungan yang tidak kemas dengan Singapura, DAP berada dalam kerajaan dan mereka pula berdepan dengan pemerintah pimpinan PAP di republik itu.

DAP-fobia ini menjadi unsur penting dalam retorik Umno menentang pembangkang ketika mereka berkuasa. Maka dengan PAS berjaya menyingkirkan golongan progresif, parti itu bebas menggunakan retorik kaum dan agama bagi menentang DAP. Maka sejak ketiadaan kumpulan progresif, PAS dan Umno berada dalam halaman buku yang sama, menggunakan retorik serupa dengan menakutkan orang Melayu terhadap DAP.

Tetapi dalam pilihan raya lalu, Pakatan Harapan mampu meraih cukup undi Melayu untuk menubuhkan kerajaan. Golongan progresif PAS yang kini dalam Parti Amanah Negara menggunakan gagasan “Rahmatan Lil Alamin” sebagai kaedah bekerja berhubung dengan pendekatan Islam oleh Pakatan Harapan. Gagasan ini dapat diterima oleh banyak orang Melayu dan Islam yang sederhana dan juga bukan Islam.

“Saya sebenarnya selesa dengan cara Mujahid Yusof Rawa dan Dr Dzulkefly Ahmad,” kata Jeyakumar merujuk kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan dari Amanah dalam kenyataan itu. Beliau hanya melahirkan apa yang turut dirasakan oleh orang bukan Melayu dan Islam.

Tetapi retorik PAS menolak keras kerja-kerja menteri Amanah terutama gagasan “Rahmatan Lil Alamin” dan Mujahid. Mereka yang menghentikan sokongan terhadap Pakatan Harapan atas pelbagai sebab, termasuk kerana DAP-fobia akan tertarik dengan retorik PAS.

Sementara itu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan memberi jaminan kerjasama Umno-PAS tidak akan menjejaskan mana-mana kaum dan agama, sebaliknya dilakukan untuk membawa agenda penyatuan ummah.

Apa yang disebut sebagai agenda penyatuan ummah pula boleh dilihat sebagai gabungan retorik Umno dan PAS untuk menolak Pakatan Harapan umumnya dan DAP khususnya.

Bagi Jeyakumar, Pakatan Harapan perlu segera mengatasi ketakutan orang Melayu yang menganggap gabungan itu tidak membela nasib bangsa dan Islam.

Untuk itu beliau menyarankan kerajaan supaya mencari penyelesaian ekonomi kepada isu-isu yang membelenggu kaum itu. Umpamanya, menyelesaikan masalah kemiskinan dalam kalangan B40, kerana lebih ramai kalangan B40 terdiri daripada orang Melayu berbanding kaum lain.

Pemikiran golongan kiri seringkali melihat semua masalah berpunyai asas daripada ekonomi, umpamanya kemiskinan dan jurang ketidaksamaan. Maknanya, masalah perkauman dapat diatasi jika soal ekonomi dapat ditangani.

Tetapi inilah juga kepercayaan BN ketika ditubuhkan pada 1974. Dasar Ekonomi Baru adalah suatu polisi progresif untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan.

Walaupun banyak kemajuan dicapai melalui DEB, retorik kaum, dan kini agama bertambah tajam menghiris masyarakat Malaysia. Menangani soal ekonomi semata-mata tidak akan menyelesaikan isu kaum dan agamma. Perkara itu perlu juga revolusi mental atau reformasi intelektual.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.