https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kemelut urus tadbir PH disuarakan di HKU PP

Oleh UMMU AL-FATEH

 KEPALA  BATAS: Pemerintahan Kerajaan PH biarpun belum berusia setahun tetapi telah menghadirkan banyak masalah kepada kehidupan rakyat, malah menggugat asas serta tonggak penting negara ini.

Mesej tersebut disuarakan para NGO dan parti politik yang bersolidariti pada Himpunan Kebangkitan Ummah Pulau Pinang di Markas Tarbiah PAS Negeri, Pongsu Seribu, di sini kelmarin.

Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Kamaruzzaman Mohamad berkata, kuasa ekonomi Melayu kini semakin tenat yang menuntut kesatuan menerusi kempen membeli barangan Muslim.

Tegasnya, PH hanya dapat dikalahkan menerusi penyatuan ummah, sementara umat Melayu-Islam di negeri ini perlu meningkatkan kesedaran politik antaranya menggiatkan daftar undi kerana kuasa undi dapat 'menghumban' PH.

Pengerusi Gagasan Tiga, Azwanddin Hamzah menyentuh isu layanan Kerajaan PH ke atas golongan LGBT di negara ini serta perolehan dana dari agensi asing iaitu ILGA yang berpusat di Washington.

Mewakili generasi muda, Ketua Pemuda Umno Bahagian Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail pula menyatakan, rakyat saban hari telah dihadapkan dengan pelbagai peristiwa sejak negara diperintah PH.

Beliau menyenaraikan banyaknya isu sedang melingkari rakyat ketika ini antaranya kemelut berkaitan Tabung Haji, penghinaan atas Rasulullah, rancangan meratifikasi ICERD, selain PTPTN, tol lebuh raya dan minyak.

Kehadiran lebih 4,000 penduduk pada majlis tersebut telah disifatkan oleh Pengerusi Sekretariat Kebangkitan Ummah Pulau Pinang, Bukhari Ghazali sebagai manifestasi arus kebangkitan.

Hadir sama pada himpunan julung kali ini adalah Pengerusi UMMAH Pulau Pinang, Mohd Akhir Che Mat dan Pengerusi Penang Front, Dato' Patrick Oii.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.