MB Kelantan ucap terima kasih kepada PM
KERAJAAN Negeri
Kelantan bersyukur ke hadrat Allah SWT serta merakamkan jutaan terima
kasih kepada YAB Tun Dr Mahathir Mohamed Perdana Menteri Malaysia yang
telah bersetuju meluluskan lima projek utama pembangunan Negeri Kelantan
yang dianggarkan memakan belanja RM1.4 bilion.
Kerajaan Negeri Kelantan juga turut
merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian YB Dato’ Seri Mohamed
Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi merangkap Pengerusi Majlis Tindakan
Negeri (MTNg) Kelantan di atas kesudian mengadakan kunjungan hormat ke
Pejabat Menteri Besar Kelantan pada 7 Mac 2019 serta turut
mempengerusikan Mesyuarat MTNg Kelantan kali pertama. Beliau turut
mengumumkan lima projek yang diluluskan iaitu:
I. Pembinaan LPT3 sejauh 150 KM bermula dari Gemuroh (Terengganu) ke Tumpat sepanjang 150 KM.
II. Menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
III. Membina jalan raya yang menghubungkan Pasir Puteh-Machang-Jeli.
IV. Pembinaan jambatan Palekbang di Kota Bharu.
V. Pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road (SCR) sepanjang 123 kilometer.
Kerajaan Negeri Kelantan menyatakan
sokongan penuh di atas keputusan YAB Perdana Menteri Malaysia bahawa
tidak akan ada lagi lantikan politik dalam MTNg dan buat pertama kali
struktur majlis ini dirombak dengan melibatkan pegawai kerajaan negeri
dan Persekutuan sahaja.
Kerajaan negeri melihat bahawa
perlantikan YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali selaku pengerusi MTNg
Kelantan adalah sebagai pemilihan yang tepat dan kerajaan negeri akan
memberikan kerjasama terbaik kepada Kerajaan Persekutuan dalam
pelaksanaan semua projek-projek pembangunan negeri dan negara.
(Dato’ Bentara Kanan)
Menteri Besar Kelantan
2 Rejab 1440H / 9 Mac 2019M





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.