https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pusat tahfiz perlu di daftar ,supaya bantuan dapat disalurkan

Oleh Dr Maszlee Malik

 Baru-baru ini, Pihak Kementerian telah menerima peruntukan sebanyak RM 50 juta, dan ia akan memanfaatkan lebih dari 45,000 pelajar di seluruh negara.

Kita sedia maklum, institusi tahfiz merupakan institusi pendidikan yang telah lama bertapak di tanah air kita. Institusi ini menjadi bukti bahawa pengajian Islam sentiasa menjadi akar yang berpasak teguh di dalam negara kita.

Dua hari lepas, saya singgah di Maahad Tahfiz Al-Khairiah Mersing (MATAM). Saya melancarkan Upacara Pecah Tanah bagi tujuan mendirikan Kompleks Tahfiz Banat di sana.

Beberapa inisiatif yang telah disediakan untuk institusi tahfiz, termasuk mengadakan intervensi dengan memberikan kursus-kursus TVET kepada institusi-institusi tahfiz yang terpilih juga telah saya umumkan pada Ogos 2018 yang lalu.

Selain itu, kita juga akan menawarkan pakej-pakej latihan kepada guru-guru tahfiz. Ini bagi memastikan tenaga pendidik di pusat Tahfiz ialah pendidik yang terlatih dan menjamin kualiti di semua pusat-pusat tahfiz seluruh negara.

Sebagai insan yang lahir daripada rahim pendidikan Islam, belajar di Madrasah al-Quran Waddin dan kemudiannya ke Maahad Johor sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Bayt, Jordan, saya yakin, tahfiz dan pendidikan Islam secara umumnya ialah tapak yang sangat kukuh dalam membentuk citra peribadi muslim yang unggul.

Dengan gabungan nuansa pendidikan akli dan nakli, tentunya kita akan berjaya melahirkan huffaz yang berketrampilan tinggi, sekali gus menjadi pemimpin nusa suatu hari nanti.

Saya juga menyeru kepada semua institusi tahfiz di seluruh negara untuk mendaftar dengan KPM.

 Hal ini penting bagi membolehkan segala jenis bantuan dan inisiatif dapat disalurkan. Ini semua kita lakukan untuk memastikan program tahfiz tidak terpinggir dari pendidikan arus perdana.

Dan pesan saya kepada bakal huffaz sekalian, teruslah belajar, tekunlah dalam menuntut ilmu dan ingatlah pesan Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah memudahkan baginya satu jalan untuk menuju ke Syurga” (Hadith Riwayat Muslim)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.