https://critoxium.com/shop/

Terkini

Sentimen, pemikiran berubah di Semenyih

Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih memberi kejutan kepada Pakatan Harapan (PH) yang mempertaruhkan calon anak muda dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Sudah tentu, PH harus menilai segenap segi mengapa kerusi DUN Semenyih dimenangi mereka dengan majoriti 8,964 undi sebelum ini, boleh berpindah milik kepada BN. Banyak faktor harus diambil kira.

Jika dirumuskan, ia boleh dikatakan berpaksi kepada tiga petunjuk utama iaitu sentimen Melayu-Islam, keupayaan jentera serta rekod prestasi kerajaan PH setakat ini.

Sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), UMNO dan PAS memulakan langkah agresif membentuk gagasan politik Melayu baharu, dengan fokusnya kepada agenda perpaduan ummah. Langkah ‘mengikat' kerjasama ini disaksikan sejak PRK Cameron Highlands.

Suka atau tidak, agenda perpaduan ummah adalah topik begitu dekat dengan Melayu. Dalam kalangan pengundi atas pagar Melayu dan tidak berparti, mereka mengakui politik Melayu kini sudah berpecah dan memerlukan jalan untuk merintis penyatuan.

Perbandingan strategi kempen

UMNO dan PAS, pantas mengambil peluang menggerakkan agenda ini untuk kepentingan politik masing-masing dan setakat ini berupaya menambah keyakinan ramai pengundi Melayu untuk memihak kepada mereka dalam dua PRK terakhir.

Pelbagai isu melingkari PAS sepanjang tempoh kempen termasuk dijadikan modal oleh PH khususnya PKR, tidak berhasil mengubah sentimen pengundi untuk menolak calon BN yang dibayangi PAS.

Sebaliknya isu membelenggu PAS diulang siar media sepanjang tempoh kempen, memberi kelebihan buat BN. Ia seolah-olah menutup semua kelemahan melingkari BN selama ini.

Ibarat kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, serangan PH kali ini tidak menyasar musuh sebenar. Sepatutnya serangan ke atas UMNO, tetapi bom dilempar kepada PAS.

Sejak hari pertama kempen, BN sememangnya tidak meletak harapan tinggi kepada pengundi atas pagar, sebaliknya keutamaan diberi untuk mengekalkan sokongan dalam kalangan pengundi tegarnya dan penyokong PAS.

Sebab itu jentera BN dan PAS lebih fokus kepada gerak kerja rumah ke rumah untuk bersemuka pengundi masing-masing.

PH lebih bertumpu kepada penganjuran program ceramah dan aktiviti di Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Hasilnya, di akhir tempoh kempen BN mampu membaca sentimen pengundian 55 peratus pengundi yang ditemuinya menerusi culaan dilakukan sepanjang tempoh kempen pintu ke pintu. Status pengundi mereka dalam kategori putih, kelabu dan hitam dikenal pasti.

Faktor calon tidak banyak beri kelebihan

Di hari mengundi, harapan mereka hanya memastikan pengundi putih keluar dengan maksimum. Berbeza pendekatan kempen PH yang hanya mengharapkan peratusan keluar mengundi tinggi kali ini.

Dari segi prestasi pentadbiran kerajaan hari ini, ia begitu banyak diperkatakan bukan hanya di pentas ceramah BN dan PH, malah oleh pengundi sendiri. Isu janji manifesto antara topik popular dinilai pengundi.

Biarpun isu prestasi ini acap kali dijelaskan dalam setiap ceramah PH termasuk oleh pimpinan tertingginya, rakyat di Semenyih seperti tidak melihat hujah diberikan sebagai isu besar.

Pemahaman pengundi untuk menyelami permasalahan sebenar dihadapi kerajaan nyata tidak berlaku, malah lebih sukar apabila ramai pemimpin BN yang tampil di pentas ceramah dan media sosial, seringkali memutarbelitkan fakta untuk memburukkan kerajaan sekarang.

Dari segi calon, prestasi dan keupayaan kedua-duanya boleh dianggap sama. Yang lainnya, BN tampilkan Zakaria Hanafi, yang lebih berusia berbanding Muhammad Aiman Zainali, yang baru berusia 30 tahun.

Melalui rekod kejayaan, kedua-duanya belum ada jasa besar di Semenyih, cuma Zakaria lebih ke depan dari segi populariti sebagai orang lama yang mempunyai ramai kenalan, terutama di kawasan Beranang. Sebab itu, majoriti PDM di Beranang disapu bersih BN kali ini.

Apapun keputusan dicapai kali ini, ia tidak mengubah struktur kerajaan PH baik di negeri mahupun Pusat. Namun, ia satu isyarat bagi kerajaan membaca corak pemikiran dan sentimen pengundi hari ini yang mungkin sudah berubah.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.