Umno-PAS bersekedudukan, MCA dan MIC keluar pintu belakang
Oleh A Kadir Jasin
Umno dan PAS sudah pun bersekedudukan dan telah menghasilkan dua “cahaya mata” iaitu parlimen Cameron Highlands di Pahang dan Dewan Undangan Negeri Semenyih di Selangor.
Umno dan PAS sudah pun bersekedudukan dan telah menghasilkan dua “cahaya mata” iaitu parlimen Cameron Highlands di Pahang dan Dewan Undangan Negeri Semenyih di Selangor.
Jadi tidak
mengejutkan kalau MCA dan MIC mengambil keputusan untuk keluar pintu
belakang dengan tujuan mencari pasangan baru.
Malah nama BN
tidak sesuai lagi digunakan oleh Umno dan PAS kerana gabungan mereka
bukan berasakan kepelbagaian bangsa dan agama tetapi berupa
kesepakatan antara Melayu nasionalis dan Melayu agama.
Gabungan mereka
lebih merupakan parti perkauman agama. Umno parti perkauman kerana ia
mewakili hanya orang Melayu dan PAS pula parti yang berasaskan Islam.
Soalnya, apakah
maslahat (muslihat) yang akan mereka gunakan untuk menghalalkan
gabungan mereka dan menyamak najis yang mereka campakkan ke arah satu
sama lain selama ini?
PAS pernah menuduh
Umno assabiyah dan Abdul Hadi sendiri mengeluarkan amanat yang
mengatakan, lebih kurang, bahawa darah orang Umno sah ditumpahkan dan
orang PAS yang terbunuh melawan Umno adalah syahid.
Kelebihan Abdul
Hadi berbanding pemimpin PAS sebelum beliau ialah kesediaan
menggunakan apa saja maslahat demi menghalalkan tindak-tanduknya. Dia
banyak maslahat dan banyak akal.
Umno pula
memerlukan suntikan keagamaan dan cap Islam setelah tenggelam dalam
kekayaan dunia dan hanyut dalam arus kehidupan hedonis untuk sekian
lama.
Pada zaman bekas
Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng
Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, Umno telah
membina jambatan yang menghubungkannya dengan PAS atas dasar “cash
is king”.
Ia telah
“mengkorupsikan” pemimpin tertentu PAS dengan memperkenalkan
mereka kepada gaya hidup mewah melalui sogokan yang dikatakan
bernilai hingga RM90 juta.
Pekung makin gatal
Hal itu terbongkar
dan menjadi sahih apabila PAS dan para sahabatnya baru-baru ini
membayar RM1.4 juta kepada Ketua Pengarang Sarawak Report,
Claire Brown, supaya menggugurkan kes saman malu di mahkamah sivil
London.
Kesenangan dunia
yang ditawarkan oleh Umno itu akhirnya memerangkap PAS. PAS sedang
hilang akal - lebih kurang macam orang yang seleweng agama akhir jadi
gila isim - gila dan insane. Dua kali gila.
PAS yang lantang
meneriakkan slogan Darul Islam dan hudud tetapi pergi ke negara kafir
untuk menggunakan undang-undang kafir bagi menutup pekung di dadanya.
Kesudahannya
pekung makin terdedah dan berjuta duit ahli habis dibelanjakan untuk
saman Sarawak Report. Bila Sawarak Report lawan balik,
PAS upah Claire Brown supaya selesai luar mahkamah.
Soalnya bolehkah
orang Melayu/Islam mempercayai dua buah parti yang sebuah
memperalatkan bangsa Melayu dan sebuah lagi memperalatkan agama Islam
untuk membela mereka?
Setelah kalah
pilihan raya umum 9 Mei lalu dan diceraikan oleh parti-parti sekutu
BN, Umno hilang keyakinan dan dalam kesunyian.
Mencari pasangan
baru bukan mudah apabila ahlinya sendiri keluar parti dan banyak
pemimpinnya dihadapkan ke mahkamah kerana rasuah.
Tiba-tiba, macam
orang Utara kata, dok tak dok mai PAS. PAS tidak macam Umno. Menikah
cerai perkara biasa dalam amalan politiknya.
Kalau janda, kita
bolehlah sifatkan PAS sebagai seorang janda yang banyak pengalaman
bernikah cerai dan boleh memadu cinta berahi dengan sesiapa saja.
PAS asalnya dari
Umno. Kemudian keluar Umno. Antara 1974 dan 1977 menikah balik dengan
Umno dan duduk dalam rumah besar BN. Kemudian pada tahun 1977 kena
cerai apabila Perdana Menteri masa itu, Almarhum Tun Hussein Onn,
menuduhnya curang.
Lepas itu PAS
bernikah cerai dengan macam-macam parti termasuklah dengan parti yang
paling dibencinya sekarang iaitu DAP.
Jadi ada jugalah
baiknya kalau Umno mengahwini atau bersekedudukan dengan PAS.
Setidak-tidaknya bolehlah ia merasai kenikmatan berdua-duaan dengan
sebuah parti yang sangat banyak pengalaman dalam hal nikah cerai
politik.
Dan adalah menjadi
kesilapan besar bagi Pakatan Harapan (PH) jika ia memandang ringan
perkongsian Umno-PAS ini apatah lagi pada ketika semakin ramai rakyat
jelata yang mengundinya 9 Mei lalu tidak puas hati dengan
prestasinya.
Cameron Highlands
dan Semenyih sudah lebih daripada cukup untuk memberi amaran “defcon”
tahap paling tinggi kepada para pemimpin PH.
A KADIR JASIN
ialah penasihat media perdana menteri. Tulisan ini dimuatkan kali pertama di
blog beliau yang ditulis atas kapasiti peribadi.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.