https://critoxium.com/shop/

Terkini

PH tidak bela Melayu, Islam?...Pak Wan jawab

ORANGNYA petah berbicara, memahami isu dan fokus dalam apa yang dimahukannya. Walaupun masih baharu dalam politik namun sudah ada yang ‘tidak selesa’ dengan kelantangannya apabila bersuara.

Namun bagi beliau perjuangannya jelas, kepentingan orang Melayu dan Islam tidak ada kompromi dan menjadi keutamaan. Namun orang mencemuhnya kerana idea kereta terbang dikatakan tidak praktikal.

“Hakikatnya kita kena fokus kepada peluang dan perniagaan baharu yang mampu memberi impak untuk semua dan tidak boleh lagi bergantung pada cara lama,” kata Menteri Pembangunan Usahawan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DATUK SERI MOHD. REDZUAN MD YUSOF atau lebih mesra dengan nama Pak Wan, kepada wartawan Utusan Malaysia, ZUL KIFLI JAL IL, HAFIZAHRIL HAMID dan ASHRIQ FAHMY AHMAD baru-baru ini.

WARTAWAN: Banyak pihak melihat kerajaan Pakatan Harapan (PH) seolah-olah tidak memperjuangkan Melayu dan Islam, adakah ini benar? 

MOHD. REDZUAN: Itu tidak betul, banyak maklumat yang tidak sampai kepada masyarakat. Kalau kita lihat hari ini nombor satu adalah Perlembagaan, kita tidak boleh kompromi dengan apa juga usaha menggugat Melayu Islam. Apa yang perlu adalah usaha untuk memperkukuhkan segala undang-undang yang ada.

Kita sering beranggapan hanya kerana DAP sebahagian daripada kerajaan PH, kita anggap parti itu akan membubarkan institusi-institusi berkaitan Melayu Islam sedia ada? Tidak.

Kalau kita lihat yang lepas-lepas, siapa yang banyak berbuat masalah dengan institusi-institusi berkaitan Melayu contohnya seperti Felda dan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) siapa? Orang Melayu juga yang menyebabkan perkara-perkara tersebut berlaku.

Hampir semua syarikat besar berkaitan Melayu Islam yang bermasalah adalah disebabkan orang kita juga. Jadi, kita tidak boleh menyalahkan kaum lain kerana kegagalan kita sendiri melakukan perkara yang sepatutnya.

Saya banyak tekankan perkara ini, buat benda yang betul, jika kita buat perkara dengan betul, jadi keputusannya juga betul.Masalahnya kita sering menyalahkan pihak lain atas kesalahan dan kegagalan kita.

Perkara yang betul itu maksudnya, nombor satu berlandaskan Perlembagaan. Kita kena pertahankan hak kita dan hal itu kita telah tegaskan dalam kerajaan PH, tiada siapa yang boleh cabut hak kita dalam Perlembagaan.

Kerajaan PH dikatakan tidak tuntas dalam menyelesaikan isu-isu sensitif terutama berkaitan agama, apa yang perlu dilakukan? 

Apa yang saya nampak kelemahan kita adalah dari segi dasar dan pelaksanaannya. Kalau dulu kita menghadapi masalah ketirisan, kini masalah birokrasi. Perlu dibaiki kerenah birokrasi.
Apabila ada isu sensitif, Kabinet telah membuat pendirian dan ketetapan. Contohnya isu kuil, kita telah buat keputusan segala kuil yang dibina secara haram tidak dibenarkan.

Kerajaan tempatan sepatutnya menjalankan tanggungjawab mereka bagi memastikan hanya kuil yang dibenarkan sahaja dibina.

Apabila pertambahan kuil-kuil haram berleluasa, ia akan meresahkan kaum lain seperti orang Melayu Islam. Sebagai contoh kes di Johor ramai yang gelisah, mengapa ia dibiarkan? 

Bukan begitu, sebenarnya Kabinet telah menetapkan kuil-kuil yang hendak dibina perlu ada permit dan kita lihat di Johor hari ini tidak lebih 900 kuil haram. Itu sepatutnya tidak dibenarkan dan kerajaan negeri patut bertindak agar kuil-kuil haram tidak wujud.

Oleh yang demikian tidaklah orang Melayu Islam berasa resah seperti mana isu rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya baru-baru ini. Itu kita faham, tetapi mesejnya tidak sampai.
Isu penghinaan Nabi Muhammad SAW contohnya, kita ada undang-undang dan harus diperketatkan bagi memastikan orang yang melakukan penghinaan dibawa ke muka pengadilan.

Kita perlu bertindak berlandaskan undang-undang. Tidak boleh sewenang-wenangnya membuat tindakan.

Saya telah berbincang dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad tentang isu ini. Mungkin kita perlu perketatkan lagi undang-undang tapi perlu kajian terlebih dahulu.

Saya juga akui isu ini telah dimainkan oleh pihak tertentu untuk mengurangkan sokongan kepada PH. Tetapi seperti yang katakan sebelum ini, isu ini merupakan antara salah satu ‘peperangan’ pertama yang kita menang.

Selepas ini akan ada ‘peperangan’ yang lebih serius bagi penggal akan datang.

Antara keresahan lain adalah pengisian jawatan penting seperti Peguam Negara, Ketua Hakim Negara dan Menteri Kewangan diterajui bukan Islam?

Pelantikan mereka ke jawatan tersebut adalah berdasarkan merit dan kebolehan. Kita tidak hanya melihat kepada sosok tubuh seseorang itu dan dalam Perlembagaan sendiri tidak menyatakan peguam atau hakim negara itu perlu dilantik dalam kalangan orang Islam ataupun Melayu.

Jika berpandukan kepada kekananan pangkat (seniority), mereka layak memegang jawatan tersebut. Hal ini tidak akan dikompromi Perlembagaan, mereka kena jalankan tugas.

Namun kalau kita lihat dari sudut pentadbiran contohnya jika pendakwa raya, hakim tidak meletakkan kepentingan agama Islam seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan kita boleh tukar, tiada masalah.

Bagaimanapun kita tidak melihat pelantikan tersebut berkompromi dengan kedudukan agama Islam dan hak-hak orang Melayu, orang hanya nampak yang menduduki jawatan itu adalah bukan Islam.
Tetapi jika diikutkan senior jugde adalah dari Sabah. Kita adalah sebuah masyarakat yang majmuk, kita ada Perlembagaan yang melindungi hak orang Melayu Islam tetapi tetap memberi ruang kepada kebebasan beragama dan bersuara kaum-kaum lain.

Banyak agensi berkaitan Melayu Islam diletakkan di bawah Kementerian Kewangan yang kita tahu diketuai oleh orang bukan Islam, bagaimana Datuk Seri melihat perkara itu?

Itu semua adalah persepsi. Jika dahulu kita lihat banyak agensi berteraskan Melayu Islam ‘dirompak’, tapi hari ini saya tidak nampak begitu.

Walaupun Kementerian Kewangan merupakan pemegang taruh kepada satu-satu agensi, contohnya agensi di bawah kementerian saya, SME Bank, UDA Holdings Berhad (UDA) memang pemegang taruhnya adalah Kementerian Kewangan namun tetap dikawal selia oleh Kementerian Pembangunan Usahawan.

Jadi, tidak timbul ia di kawal mengikut kehendak mereka. Malah kita juga ada Majlis Tetap Pembangunan Negara yang disertai saya sendiri dan empat lagi menteri berkaitan iaitu Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Menteri Kewangan.

Hanya seorang sahaja menteri bukan Melayu Islam dan segala bentuk polisi dasar akan diperhalusi melalui peringkat itu malah menteri-menteri lain juga jika ingin membuat sesuatu perlu melalui majlis tersebut.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng merupakan seseorang yang kita tahu ada pengalaman dan kebolehan untuk menguruskan kewangan. Kita bekerja berkumpulan untuk rangsang pembangunan negara, bukan keputusan dia seorang.

Jadi, tidak timbul isu semua agensi tersebut dikawal oleh bukan Melayu Islam. Jika dikatakan bahawa Guan Eng akan meruntuhkan institusi-institusi Melayu itu adalah satu fitnah yang besar.

Kerjasama UMNO-Pas yang kian erat ternyata mampu menarik sokongan Melayu Islam, kesannya terhadap kerjaaan PH?

Jawapan saya mudah, adakah orang Melayu Islam tahu apa sebenarnya yang mereka mahu? Kita diajar oleh agama, hari-hari berguru tetapi kita masih lagi tidak tahu apa yang kita mahu.

Kita ini lebih taksub kepada pemimpin-pemimpin tertentu, didoktrin dengan pandangan bahawa terdapatnya fahaman dibolehkan berbohong dalam hal-hal tertentu, syariah compliance lies contohnya.

Ada pemimpin-pemimpin Pas yang menyatakan pembohongan itu boleh dilakukan. Adakah itu satu pendekatan yang boleh menyatukan umat Islam dan memberi kepercayaan kepada mereka? Kita perlu mengetahui apa sebenarnya yang kita mahu.

Bagi saya kita cuma perlu melakukan perkara yang betul, bukan semata-mata atas kepentingan politik, jika itu berlaku jelas agama telah dipolitikkan.

Saya merupakan orang yang lebih berpegang kepada al-Quran berbanding hadis. Bukan maksudnya saya anti hadis kerana hadis adalah sebagai panduan dan apabila ramai yang salah faham maka timbul kekacauan.

Kita juga sering bergaduh hal yang remeh kerana kepercayaan dan kefahaman menerusi hadis yang berbeza-beza dan dipolitikkan.

Bila seseorang pemimpin daripada Pas mengatakan penipuan itu sesuatu yang dibolehkan dalam syariah, ada kumpulan masyarakat tertentu percaya.

Begitu juga isu penghinaan Nabi Muhammad SAW ada yang mengatakan tiada tindakan diambil dan mereka mahu berhimpun bagi menyatakan bantahan, ini suatu perkara yang dipolitikkan.

Sebab itu ingin saya tegaskan, buat perkara yang betul. Jika masyarakat hari ini boleh dilatih ke arah tersebut, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lebih baik.

Kita perlu hidup bersama dengan kaum-kaum lain dan tidak boleh menafikan hak mereka. Kita bukan hendak berperang dan menghapuskan etnik-etnik lain.

Dalam agama pun ada mengajar kita agar sentiasa bekerjasama dan bertolak ansur antara satu sama lain.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.