https://critoxium.com/shop/

Terkini

Lebih baik bubar MCA, MIC

KUALA LUMPUR. - Barisan Nasional (BN) tidak akan rugi jika MCA dan MIC keluar dari pakatan itu kerana kedua-dua parti itu ketika ini sudah tidak ada kekuatan akibat kehilangan sokongan dari komuniti mereka sendiri.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sebaliknya mencadangkan supaya MCA dan MIC yang dibubarkan.

“Hakikatnya, UMNO tidak setuju BN dibubarkan. Jadi, buat apa panggil mesyuarat? Kita sudah tahu (keputusannya). MCA dan MIC kalau dah tahu tak boleh bubar, keluar sajalah. Sebenarnya mereka takut untuk keluar. Mereka tak ada kekuatan.

“Yang gagal dalam BN ini mereka, nak bubar buat apa? Lebih baik mereka bubar mereka sendiri, dah tak dapat sokongan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

MCA dan MIC hari ini mencadangkan supaya Barisan Nasional (BN) dibubarkan supaya kedua-dua parti itu boleh meneroka peluang pakatan politik baharu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan secara bersama, kedua-dua parti menyatakan kekecewaannya dengan perkembangan semasa yang menyaksikan asas kesefahaman dalam BN tidak lagi dihormati.
Mengulas lanjut, Nazri menegaskan semangat perpaduan kaum dalam BN akan terus kekal walaupun tanpa MCA dan MIC.

Kata beliau, kerjasama antara UMNO dan Pas tidak sepatutnya dilihat sebagai kerjasama yang bersifat ultra-Melayu kerana kerjasama tersebut dibuat melalui BN yang masih boleh membawa masuk beberapa parti politik yang mewakili kaum lain seperti Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) yang mewakili masyarakat India.

“Untuk mengelakkan kita (dilihat) tidak mengambil kira pandangan masyarakat lain, sebab itu kerjasama dibuat melalui BN. Dan kalau MIC keluar, kita boleh bawa masuk IPF, Makkal Sakti dan Kimma. Tak mungkin satu masyarakat hanya diwakili oleh satu parti,” katanya.

Menurut Nazri, sebelum ini IPF, Makkal Sakti dan Kimma tidak boleh dibawa masuk BN kerana tidak disenangi MIC.

Sementara itu, mengenai dakwaan pelantikannya sebagi Setiausaha Agung BN tidak dipersetujui MCA dan MIC, Nazri menegaskan ia adalah keputusan Pengerusi BN yang perlu dihormati.
“Saya dilantik menjadi Setiausaha Agung bukan kuasa MCA atau MIC, tapi kuasa Pengerusi BN,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.