https://critoxium.com/shop/

Terkini

Isu dua dekad menghantui JPJ

Oleh Kadir Dikoh

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini sebilangan agensi kerajaan tercemar disebabkan isu rasuah atau integriti dan terbaru, membabitkan sekumpulan pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Penahanan 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hampir melumpuhkan operasi penguatkuasaan di negeri itu, tetapi Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, dilapor berkata, JPJ Kedah dan Perak sudah diarah menghantar anggota bagi membantu kekurangan penguat kuasa di Pulau Pinang.

Isu kes ini, dipercayai terbabit melindungi pemandu lori lebih muatan. Setiap anggota penguat kuasa JPJ dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan. Mereka turut dikesan membocorkan maklumat operasi yang akan dan sedang dilaksanakan.

Apakah benar, tindakan pemandu lori merasuah pegawai JPJ untuk melindungi mereka berikutan kesalahan membawa lebih muatan, kerana mahu menjimatkan ribuan ringgit kos pengangkutan?

Perjalanan berulang alik beberapa kali untuk mengangkut barangan dikatakan akan menyebabkan kos pengangkutan meningkat berbanding membawa muatan secara sekali gus?

Dikatakan sesetengah pemandu lori menggunakan jalan ‘belakang’ dengan merasuah penguat kuasa, kononnya untuk menyenangkan proses kerja. Membawa lebih muatan sudah tentu ada akibatnya seperti ditahan dan didenda pihak berkuasa. Susulan itu, dikatakan timbul perjanjian (rasuah) yang dibuat antara dua pihak.

Persaingan sengit sesama syarikat lori juga antara punca gejala rasuah terus berleluasa. Sebagai contoh, ada pemaju hartanah ingin membina rumah teres akan mencari syarikat lori untuk proses penghantaran bahan binaan seperti simen dan batu bata. Sudah tentu syarikat yang memberi tawaran harga paling murah akan dipilih. Berikutan itu, syarikat terbabit terpaksa membawa lebih muatan untuk mengurangkan kos bagi mengelak kerugian dan secara tidak langsung merasuah penguat kuasa.

Isu pemandu lori dan JPJ sebenarnya bukan baharu. Pada 1999, Persatuan Ampunya Lori Pan Malaysia (PMLOA) pernah menimbulkan isu hampir sama dengan mendakwa JPJ tidak telus menguatkuasakan undang-undang, kerana memberi keistimewaan kepada pihak tertentu yang sanggup membayar bagi mengelak dikenakan tindakan apabila melanggar peraturan. Dakwaan dikeluarkan berikutan kejadian kira-kira 80 treler serta lori menghalang tiga lorong antara Kilometer (KM) 274 hingga KM 262 Lebuhraya Utara Selatan selama tiga jam, sebagai bantahan kepada operasi JPJ ketika itu.

Kejadian terbaru di Pulau Pinang, jelas menunjukkan masalah berkenaan tidak pernah diatasi secara menyeluruh.

Terpalit isu lesen terbang

Selain isu lori, JPJ pernah terpalit isu ‘lesen terbang’ dan ‘lesen gerenti lulus'. Pada 2000, gempar seluruh negara apabila lebih 100,000 orang dikenal pasti memiliki lesen memandu menerusi jalan rasuah. Seramai 3,171 orang atau lebih 50 peratus kakitangan JPJ disyaki terbabit dalam kegiatan lesen terbang di Ibu Pejabat JPJ, Perak, Pulau Pinang, Johor, Selangor, Kedah dan Perlis.

September lalu, Kementerian Pengangkutan mengesyaki kira-kira 14,000 ‘lesen terbang' dikeluarkan sejak dua tahun sebelum itu, susulan pembongkaran sindiket pengeluaran lesen tanpa mengikut prosedur sah. Berikutan itu, kementerian mengambil tindakan tahan kerja 12 pegawai dan anggota JPJ yang ditahan SPRM di Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Seperti juga isu lori, isu lesen terbang jelas terus ‘menghantui’ JPJ. Mungkin perlu kerajaan menubuhkan suruhanjaya bebas untuk JPJ seperti Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dicadangkan.

Amalan rasuah di jabatan tertentu, terutama JPJ ibarat rahsia terbuka. Tidak dinafikan pelbagai langkah dijalankan untuk memeranginya, namun jelas ia jauh daripada memadai. Mungkin hanya kakitangan bertukar ganti, tetapi amalan berkenaan nampaknya terus berakar umbi.

Kita berharap kerajaan ‘membersihkan’ JPJ secara total. Kita yakin sebahagian besar 8,000 kakitangan JPJ memberi khidmat secara jujur tetapi kerana tindakan segelintir, menjejaskan imej jabatan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.