https://critoxium.com/shop/

Terkini

Apa jadi Malaysia selepas 100 tahun

Oleh Datuk Zaini Hassan

PADA 30 Julai lalu, genap umur saya 55 tahun. Jika di zaman Allahyarham orang tua saya, ia adalah zaman pencen wajib dalam dunia pekerjaan.

Namun semakin zaman bergerak dan Malaysia semakin maju, 55 tahun adalah satu usia yang masih muda. Kudrat masih boleh digunakan. Oleh itu, usia persaraan di negara ini dinaikkan ke umur 60 tahun.

Namun mungkin tahap itu akan dinaikkan lagi ke 65 tahun kerana Perdana Menteri Malaysia sendiri pun sudah berusia 94 tahun.

Sepanjang 55 tahun ini saya melihat pelbagai macam progres dalam pembangunan. Ia adalah pembangunan fizikal kebanyakannya namun progres minda masih terkebelakang. Kita masih lagi berkelakuan dunia ketiga.

Progres politik menampakkan satu kematangan. Dalam buku saya Cuit: Dilema Melayu Moden terbitan 2013 (enam tahun lalu), saya membuat satu analisis dalam bab Mukadimah bahawa negara ini sedang melalui satu proses kematangan dalam politik.

Dalam perenggan itu saya menulis: Politik Malaysia dilihat telah menembusi satu fasa baru proses kematangan (maturing process) sejak kemerdekaan negara lebih 55 tahun lalu.

Ia ternyata benar apabila lima tahun kemudian politik negara ini terbalik sama sekali. UMNO yang memerintah selama 60 tahun jatuh tersungkur di bawah kepemimpinan Najib Tun Razak.

Saya juga membuat analisis bahawa orang Melayu (sudah pun) berpecah kepada: Melayu UMNO, Melayu Pas, Melayu PKR, Melayu DAP, Melayu Liberal, Melayu Atas Pagar dan Melayu NGO.

Saya menulis lagi: Masing-­masing mempunyai agenda dan haluan politik masing-masing. Jika itu benar, maka Melayu tidak boleh lagi mengaku sebagai satu kaum majoriti Malaysia.

Hari ini 2019, percaturan politik Melayu Malaysia terus berlaku. Kuasa adalah umpama candu yang bakal merosakkan lagi bangsa itu. Orang Melayu Islam sudah tidak segan-silu lagi mengkritik Raja-Raja Melayu dengan kata-kata nista yang jarang kita dengar sebelum ini.

Tuntutan-tuntutan itu dan ini oleh kaum-kaum lain sudah kedengaran secara terbuka.

Adakah kita semua sedar apa yang berlaku ini? Adakah orang Melayu ini terlalu bodoh seperti yang digambarkan mengenai mereka oleh kolonial Barat dahulu?

Ciri-ciri

Namun jika diteliti kembali kitab Sejarah Melayu catatan Tun Seri Lanang, ada benarnya juga orang Melayu ini adalah bangsa yang kuat melatah, berang tanpa usul periksa, mudah marah dan sanggup membakar kelambu sendiri.

Saya juga tertarik membaca mengenai ciri-ciri orang Melayu dalam satu buku bertajuk “Malaysia” tulisan pendakwah Kristian John Russell Denyes ter­bitan 1919 oleh Board of Foreign Missions Methodist Episcopal Church.

Mereka menggambarkan perwatakan orang Melayu sebagai: … pada umumnya dinilai rendah oleh orang Barat, tetapi penipuan, ketidakpercayaan, ketidaksamaan, pengkhianatan, dan kualiti buruk lain yang dikaitkan dengan mereka telah dibesar-besarkan, sementara kedalaman perasaan, kehormatan, moral dan tahap intelektual diperkecil dan kurang diambil kira.

Itulah antara ciri-ciri kita yang dilihat oleh orientalis Barat dari Amerika Syarikat. Mereka membuat penilaian terhadap muka bumi dan penduduk rantau ini yang dikenali sebagai “Malaysia” merangkumi Sumatera, Kepulauan Jawa, British Malaysia, British Borneo, British New Guinea atau Papua, Netherland Indies (Sumatera, Jawa, 2/3 Borneo, 1/2 Timor, Celebes, keseluruhan pulau-pulau Nusantara) dan Portugis Timor.

Pada tahun 1919 mereka telah menulis mengenai kita. Tetapi setelah genap 100 tahun buku itu ditulis adakah orang Melayu telah setanding dengan bangsa-bangsa lain? Adakah kita masih seperti mana yang digambarkan oleh Occidental atau orang Barat itu?

Setelah genap 100 tahun buku itu diterbitkan dan genap 55 tahun usia saya hari ini, orang Melayu masih berselerakan. Pemikiran mereka masih bercelaru.

Datuk Zaini Hassan me­rupakan pemegang anugerah Kewartawanan Kajai 2005 dan kini sebagai Penasihat Editorial BebasNews.my

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.