Perbahasan isu Dr Zakir Naik benar-benar menguji konsep serta operasi
gagasan Rahmatan Lil Alamin yang dipromosikan oleh kerajaan.
Ketika
memberikan reaksi berhubung ceramah Zakir Naik di Kelantan, Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof menyifatkan ucapan Zakir Naik
telah mengundang persepsi yang boleh menggugat perpaduan negara ini.
Terkini,
beliau turut menjelaskan bahawa gagasan rahmah ini dibangunkan
berteraskan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, iaitu setiap bangsa
seharusnya menghormati serta menjaga perasaan kaum lain.
Namun,
dalam kelunakan menyantuni golongan bukan Islam ini, Mufti Perlis, Dr
Mohd Asri Zainal Abidin menempelak sikap segolongan pendokong gagasan
ini yang bersikap tidak seimbang dalam mempromosikan konsep ini.
Dr Mohd Asri Zainal Abidin
Dalam kuliah beliau di Masjid Alwi, Kangar, Dr Mohd Asri menegaskan bahawa:
“Jangan hanya rahmatan lil alamin hanya keluar dalilnya apabila membabitkan hak orang bukan Islam (sahaja).”
Seakan
sudah ada satu corak pemikiran yang menjurus kepada konsep ini lebih
digunakan untuk menjaga hati orang bukan Islam semata.
Kritikan terhadap konsep Rahmah
Respons
serta pendirian yang diluahkan oleh Dr Mujahid ini ternyata telah
banyak mengundang kritikan ramai pihak termasuklah golongan akademik
serta agamawan.
Terdahulu Dr Kamilin Jamilin, pensyarah kanan
Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), melalui kiriman Facebooknya
melihat gagasan ini seakan mula cenderung ke arah pembentukan konsep apa
yang disifatkannya sebagai rahmatan lil kafirin iaitu lebih bersikap rahmah kepada orang-orang kafir.
Luahan
ini barangkali lahir apabila kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan
oleh kerajaan seakan lebih cenderung untuk menjaga hati bukan Islam
berbanding menjaga kedudukan saudara Muslim itu sendiri.
Menteri agama Dr Mujahid Yusof
Sebahagian
sarjana melihat isu Zakir ini perlu ditangani dengan tegas dan
ketegasan ini juga adalah sebahagian dari konsep rahmah.
Ini kerana, Rasulullah dilihat amat menjaga kepentingan hak Muslim terutama dalam perkara yang melibatkan keselamatan mereka.
Bahkan
Rasulullah pernah menegaskan bahawa Muslim yang membiarkan saudaranya
mereka dizalimi akan dibangkitkan di hari kiamat dalam keadaan dipandang
hina di sisi Allah.
Sabda Rasulullah (bermaksud):
“Barang
siapa yang menyaksikan saudara Muslimnya dihina dan dia tidak
membantunya sedangkan dia mampu, maka Allah akan menghinanya di hadapan
sekalian makhluk di hari akhirat.” (HR al-Baihaqi).
Malah, Muslim yang membiarkan saudaranya dihina, Allah tidak akan mempedulikan dirinya di saat dia memerlukan bantuan Allah.
Sabda Rasulullah (bermaksud):
“Tidaklah
seorang lelaki yang membiarkan saudara Muslimnya di suatu tempat yang
kehormatannya dirampas serta harga dirinya dihina, melainkan Allah akan
membiarkannya ketika mana dia sangat mengharapkan pertolongan dari
Allah.” (HR Abu Daud)
Muslim tak biarkan saudaranya dizalimi
Keadaan
Zakir yang datang seakan memerlukan bantuan di negara ini dilihat oleh
Dr Rozaimi Ramle, pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris
(Upsi), sebagai satu jelmaan semula penghijrahan Muhajirin kepada Ansar.
Saat Muhajirin memerlukan perlindungan dari kejahatan Quraysh, Ansar bingkas menghulurkan bantuan.
Inilah analogi yang disampaikan oleh Rozaimi Ramlee melalui tulisannya di alam maya.
Malah
menurut beliau, pengorbanan Ansar inilah yang perlu kita teladani dalam
menghadapi isu yang sedang hangat diperkatakan ini.
Semangat
sebeginilah yang seharusnya dimiliki oleh setiap Muslim. Seorang Muslim
tidak seharusnya membiarkan kezaliman berlaku di hadapan matanya
sendiri.
Rozaimi Ramle
Apatah
lagi sekiranya yang memerlukan bantuan tersebut adalah pejuang agama
yang telah banyak menyumbang ke arah pembangunan Islam.
Rasulullah menjelaskan bahawa tidak seharusnya seseorang Muslim itu membiarkan saudaranya dizalimi.
Sabda baginda (bermaksud):
“Muslim
adalah saudara buat Muslim yang lain, tidak seharusnya Muslim menzalimi
(saudaranya) atau membiarkan saudaranya (dizalimi).” (HR al-Bukhari)
Bahkan
inilah sifat Muslim seperti yang diungkapkan di dalam al-Quran. Allah
menyifatkan orang-orang beriman itu saling berkasih sayang sesama
mereka.
Firman Allah (bermaksud):
"Muhammad utusan Allah,
dan orang-orang yang bersama dengan baginda itu bersikap keras dan tegas
terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), (namun sebaliknya)
bersikap penuh kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat
Islam)." [al-Fath: 29].
Tegas adalah satu rahmah
Ramai
yang menyangkakan bahawa melalui konsep Rahmatan Lil Alamin ini,
seorang Muslim mestilah menekankan sifat toleransi yang tinggi di dalam
agama serta tidak menampakkan kekerasan.
Mereka lupa bahawa bersikap tegas juga adalah satu rahmah. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah yang menyebutkan (bermaksud):
“Dan
demi nyawaku yang berada di tangan-Nya, aku akan memerangi mereka
(Quraysh) dan memberi hidayah kepada mereka sekalipun mereka dalam
keadaan yang membenci. Sesungguhnya aku adalah rahmah yang diutuskan
oleh Allah,” (HR al-Tabrani).
Hadith ini sangat jelas menunjukkan
bahawa sekalipun Rasulullah menyifatkan dirinya sebagai rahmah
(bersifat kasih), Baginda tetap bersifat tegas dengan kekufuran sehingga
sanggup memerangi dan menghunuskan pedang kepada kaumnya serta
saudaranya sendiri.
Dalam menerapkan nilai serta semangat rahmah
yang tinggi, Rasulullah dilihat meletakkan sempadan yang jelas apabila
sesuatu isu itu melibatkan perkara akidah dan kehormatan Islam.
Dr Yusuf al-Qardawi
Perkara ini dijelaskan oleh Dr Yusuf al-Qardawi bahawa salah satu tanggungjawab bukan Muslim (ahl zimmah) yang perlu dipegang adalah menjaga perasaan (sensitiviti) umat Islam.
Perkara
ini dikategorikan oleh Dr Khairul Azhar Meerangani, pensyarah kanan
Kolej Universiti Islam Malaysia (Kuim), sebagai ‘tanggungjawab keamanan’
yang perlu dipelihara bersama oleh bukan Muslim.
Beliau
menjelaskan bahawa: “warga non Muslim dilarang sama sekali daripada
melakukan perkara yang boleh mengguris perasaan umat Islam seperti
hasutan, provokasi keagamaan, pencabaran hak serta penzahiran syiar
agama mereka dalam kalangan umat Islam.”
Penutup
Menilai
isu Zakir yang sedang hangat diperkatakan ini, kerajaan seharusnya
bertindak selari dengan konsep Rahmatan Lil Alamin yang telah
diperkenalkan.
Segala kenyataan yang dikeluarkan berhubung isu
ini mestilah menepati prinsip serta kerangka rahmah yang telah
dibangunkan agar tidak menimbulkan keraguan di sisi masyarakat.
Kegagalan menutup kekeliruan yang timbul akan hanya melahirkan keraguan di sanubari rakyat.
Jangan sampai rakyat melihat gagasan ini hanyalah satu retorik politik yang datang secara tempelan semata.
AHMAD
SANUSI AZMI adalah pensyarah kanan di Universiti Sains Islam Malaysia
dan juga anggota Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia.
Kekaburan konsep Rahmatan Lil Alamin
Reviewed by editorreformis
on
Ogos 26, 2019
Rating: 5
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
Pemimpin parti kerajaan melihat krisis yang sedang melanda gabungan pembangkang kini sebenarnya merupakan ujian besar kepada Ahmad Samsuri ...
Bicara Islam
Comments
Recent Comments:
Recent Posts
Email
Teknologi
Wawancara
Notis
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.