Kemelut MB Selangor dengan DAP tak mampu ditutup lagi
SHAH ALAM 3 Ogos -
Selepas UMNO dan Pas, Dewan Pemuda Ikatan Negeri Selangor pula tampil
bersuara mengenai pergolakan dalaman Pakatan Harapan (PH) negeri yang
menyaksikan wujudnya pertembungan antara Menteri Besar, Amirudin Shari
dengan DAP.
Ketuanya, Aifaa Zaffan Bagauddin Abdul Aziz
berkata, jika pergolakan berlaku, ia hanya mendatangkan kerugian kepada
rakyat Selangor dan hukuman perlu dijatuhkan kepada kerajaan PH pada
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Jelasnya,
buktinya sudah berlaku apabila usul pindaan undang-undang agama Islam
berkaitan pemelukan agama Islam yang sepatutnya dikemukakan Amirudin
tidak dapat dilaksanakan apabila Yang Dipertua, Ng Suee Lim, yang juga
wakil rakyat DAP bertindak memendekkan persidangan kepada dua hari
sahaja.
“Ahli Dewan Negeri daripada PH
Selangor di dalam Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Ke-14
menunjukkan ketidakbersamaan mereka dalam membawa usul pindaan
undang-undang agama Islam berkaitan pemelukan agama Islam apabila tidak
dapat diusulkan pada sidang Dewan Negeri Selangor kali ini.
“Usul
tersebut sepatutnya dibawa oleh Menteri Besar Selangor. Ia tidak
mendapat persetujuan daripada Speakar untuk diusulkan di dalam Dewan,
sekaligus membuat undian untuk meluluskan pindaan undang-undang agama
Islam berkaitan pemelukan agama Islam.
“Persoalannya kenapa usul ini tidak dapat persetujuan daripada tuan Speaker,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Semalam,
Utusan Malaysia melaporkan Selangor sedang dilanda ribut politik
melibatkan Amirudin dan DAP dengan Menteri Besar itu dilaporkan kecewa
dengan tindakan Suee Lim dan beliau dilihat sudah mengambil beberapa
langkah susulan.
Insiden terbaharu itu, yang
terjadi ketika hubungan Amirudin dengan pucuk pimpinan PKR sendiri
sedang bermasalah, dipercayai memungkinkan sesuatu krisis lebih besar
bakal terjadi pada masa hadapan.
Dalam
pada itu, Aifaa Zaffan Bagauddin berkata, orang Melayu serta pengundi
Selangor secara keseluruhannya harus mengambil ikhtibar dengan apa yang
berlaku sekarang agar membuat keputusan secara tepat pada masa depan.
“Bayangkan
hari ini seramai 50 orang Yang Berhormat daripada PH tetapi mereka
masih tidak mampu untuk bersepakat dalam membawa usul penting yang
sepatutnya dibawa oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar,” ujarnya. –
UTUSAN ONLINE




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.