Cai dalam PAS kaedah kempen rahsia
Oleh SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan kepimpinan parti
sama ada di peringkat negeri mahupun nasional berkenaan polemik
pemilihan Pemuda Amanah merupakan suatu yang amat dialu-alukan.
Sungguhpun
demikian, menjadi tanggungjawab kami untuk memperbetulkan persepsi yang
wujud rentetan maklumat separuh masak yang telah tersebar tanpa
meneliti duduk letak perkara sebenar.Kaedah 'cai' sebagaimana yang pernah dialami oleh kepimpinan parti Amanah ketika bersama dalam PAS dahulu merupakan kaedah berkempen secara rahsia, yang disusun beberapa orang untuk mempengaruhi perwakilan dengan memilih orang-orang tertentu yang mereka mahu naikkan.
Kaedah ini kemudiannya dilengkapkan dengan senarai nama yang hanya tersebar sewaktu hari membuang undi - dikenali sebagai 'cai'.
Kempen berpasukan yang diusahakan secara terbuka dengan hashtag tertentu mewakili kumpulan dan lebih penting, disertakan dengan gagasan dan idea untuk diteliti perwakilan di setiap peringkat.

Melalui pemakluman awal calon yang berhasrat untuk bertanding, ditambah gagasan dan idea yang mahu ditawarkan, kempen berpasukan yang sedang digerakkan Pemuda Amanah ketika ini sebenarnya lebih telus dan bertanggungjawab.
Kami tidak menyusun kelompok secara sembunyi-sembunyi, bahkan segala gerak kerja kempen dizahirkan dengan terbuka di media-media sosial.
Paling utama, garis merah untuk tidak menyerang peribadi sama ada secara langsung atau pun tidak, telah pun disepakati bersama.
Dengan penuh takzim, kami memohon agar kepimpinan dan senior parti di setiap peringkat maklum dan jelas dengan pembaharuan yang cuba dibawa oleh Pemuda dalam meraikan proses demokrasi dalam parti.
Secara keseluruhannya, kami memahami kebimbangan yang wujud namun usah dikekang pembaharuan yang mahu dikedepankan ini dengan maklumat tidak benar. Sekali lagi, mohon dibezakan 'cai' dan kempen berpasukan.
SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN ialah Naib Ketua Pemuda Amanah.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.