Sebahagian masalah sikap kita ialah kerap menghukum secara pukal dan mengabaikan kajian secara big picture.
Sebagai
contoh, apabila Justin Trudeau dilantik sebagai perdana menteri Kanada,
dia dipuji puja beramai-ramai kerana tidak berjabat tangan dengan
wanita Islam, mudah bercampur dan makan bersama masyarakat Muslim di
masjid.
Dia juga dipuji kerana mudah berjumpa orang ramai dan lain-lain.
Tiba-tiba
apabila keluar video dia memakai kopiah Yahudi dan menyokong Israel,
serta-merta semua orang berpakat dan beralih untuk menjadi pemaki hamun
pula.
Didapati
agak ramai yang berpendirian seperti lalang kerana mereka tiada kajian
lengkap dan hanya membuat pendirian secara pantas dan pukal berdasarkan
dengan satu dua fakta.
Akhirnya pendirian mereka berubah-ubah sehingga mudah menzalimi orang yang dihakimi secara singkat.
Kerap
saya terbaca di halaman beberapa tokoh ilmuan agama yang disanjung oleh
pengikut dan diambil manfaat daripadanya sejak bertahun-tahun,
tiba-tiba - apabila ilmuan itu mengeluarkan kenyataan yang dilihat
berlainan daripada kehendaknya atau arus perdana - terus dikatakan: "dah
tak respect ustaz lagi" atau "ustaz sampah", atau "ustaz dah kena beli" dan lain-lain.
Walaupun
ilmuwan itu punyai hujah namun mereka tetap enggan menilainya dengan
pemikiran terbuka dan adil. Semuanya disebabkan pemikiran yang
disempitkan oleh sentimen kepartian, aliran yang diikuti atau hasutan
netizen.
Pengampu mula mengganggu
Demikianlah tabiat dan ciri pemikiran lalang. Sungguh goyah asasnya, cepat membuat kesimpulan, lagi mudah berubah mengikut arus.
Dalam
banyak isu khususnya dalam negara kita memang menunjukkan pola begitu
dan ia semakin meningkat melalui pemerhatian di ruang internet,
khususnya dalam bidang berkait politik kepartian serta aliran agama.
Contohnya:
Ada seseorang yang dilihat pendapatnya seiring dengan kerajaan PH dalam
sesuatu isu, lalu secara pukal, pihak penyokong pembangkang akan
menuduhnya sebagai "penyokong PH" walau jika dikaji ada sahaja
pendapatnya yang mengkritik kerajaan. Dengan sifatnya sebagai pemikir
bebas atau ahli akademik, kerap juga dia memberi cadangan konstruktif
berdasarkan isu dan bukan kerana ingin menyokong atau menolak parti
tertentu.
Atau mungkin juga pandangannya bersamaan dengan
pendirian Umno, PAS atau pembangkang lain dalam sesuatu isu. Maka dengan
cepat pula penyokong kerajaan akan mengganggapnya sebagai ikon
pembangkang.
Lebih teruk lagi jika wujud pihak berjawatan besar
dan pengampu kerajaan yang mula mengganggu dengan mengenakan pelbagai
sekatan atau tekanan seperti ditukar tempat bertugas dan seumpamanya.
Hal sebegitu kerap diadu berlaku di zaman pemerintahan dahulu, walau mungkin banyak juga pendapatnya yang menyokong dasar BN.
Atau
misalnya tersama pandangan - atau kelihatan sealiran dengan dengan
parti Amanah dalam isu tertentu - maka ada saja penyokong tegar PAS atau
parti kerajaan secara pukal menganggap dia adalah penyokong dan wajib
dipinggirkan dalam segala sudut.
Padahal persamaan pandangan itu berlaku hanya dalam isu tertentu atau perkara khusus saja.
Budaya
tidak sihat dan kurang daya intelek ini sedang berkembang secara
berleluasa tidak kira dari mana parti sekalipun. Trend sebegini
nampaknya kuat menapak.
Dalam isu perbezaan aliran kefahaman ilmu Islam pun perkara hampir sama turut berlaku. Sebagai contoh:
Jika
terdapat seorang ilmuwan agama yang satu dua pandangannya berkaitan
hukum fikah kelihatan berlainan sedikit dari kebiasaan amalan di
Malaysia, maka pihak pemegang amalan agama secara tradisi di Malaysia
secara pukal melabelnya sebagai Wahabi.
Lebih dahsyat lagi
apabila dipakejkan Wahabi itu sebagai sesat, berpotensi menjadi
pengganas dan lain-lain hukuman pukal secara melampau.
Padahal
geng yang dilabel Wahabi tidak pernah mengiktiraf ilmuwan terbabit atau
si polan tadi itu termasuk dalam kalangan mereka kerana perbezaan fikrah
lebih banyak berbanding persamaan.
Kena adil menilai
Lalu kedua-dua aliran tadi mengganggap ilmuwan berkenaan sebagai 'musuh' dan di luar daripada kelompok mereka.
Sebagai contoh yang diringkasan dalam bentuk lebih jelas adalah seseorang yang:
Mengkritik tindakan atau pendirian BN, Umno dan PAS dalam beberapa hal tidak semestinya macai PH.
Mengkritik tindakan PH dalam beberapa isu, tidak bermakna seseorang itu macai BN, Umno atau PAS.
Bersependapat
dengan geng dilabel Wahabi dalam beberapa isu tidak semestinya orang
berkenaan penyokong idea dan manhaj Wahabi dalam semua perkara.
Sependapat dengan aliran Ash'ary dalam beberapa isu bukan semestinya penyokong Ash'ary dalam semua hal.
Sependapat dengan sufi tarekat dalam beberapa isu tidak semestinya penyokong sufisme dalam semua perkara.
Sependapat dengan sekularis liberalis barat dalam beberapa isu tidak semestinya penyokong liberal dalam semua hal.
Berpendapat bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah kepada Kristian di Malaysia bukan semestinya dia penyokong murtad.
Membantah
penggunaan kalimah Allah oleh Kristian dalam bahan terbitan mereka
tidak semestinya menjadikan seseorang itu pelampau agama.
Dan
ada banyak lagi contoh yang seumpama dengannya. Akhirnya sebahagian
daripada kita lebih cepat mencipta musuh berbanding berukhuwah,
bertoleransi dan berkawan.
Kita mencipta "the others" dengan sangat mudah dan pantas, kemudian menghabiskan masa bertempur, berdukacita dan stres dengan perkara yang tidak pasti.
Semuanya akibat pemikiran singkat kita sendiri yang bermudah secara pukal menjatuhkan hukuman dan melabel seseorang.
Apa
yang sewajarnya dilakukan pada era sumber maklumat dan ilmu bercambah
dengan hebatnya ini ialah, kita wajar kita jadi orang yang lebih adil
semasa menilai seseorang.
Kemudian kita lebih bersabar dan rajin mencari gambaran lebih besar (bigger picture) terhadap apa yang dikatakan oleh seseorang yang bercirikan ilmuwan dan pemikir.
Itu
lebih baik daripada tergesa-gesa membuat tuduhan atau mengganggap
seseorang tu jahat atau baik, penyokong atau penentang - yang ditanggap
hanya secara pukal.
Menilai
secara lebih adil dan berpijak atas kebenaran adalah sikap yang perlu
diterapkan dalam masyarakat hari ini, bukannya menghukum secara pukal.
Perbezaan
pasti akan terus wujud. Perjuangan kita bukan hanya sibuk untuk
meyakinkan orang dengan apa yang kita yakini sahaja, tetapi berjuang
untuk terus faham dan tahu kaedah terbaik dalam mengurus perbezaan buah
fikiran dan pendekatan.
Tindakan melabel, mengkelas-kelaskan
seseorang secara teregesa-gesa hanya merugikan umat Islam dan melemahkan
kekuatannya. Mencantas sebarang perbezaan pemikiran - walaupun
perbezaan itu berdiri atas rasional dan hujah - hanya akan menghasilkan
umat yag lemah, bantut pemikiran serta lemah kualiti.
Bawa manfaat, tolak mudarat
Marilah
kita sama-sama menilai perkataan dan tindakan seseorang atas perkara
itu sendiri terlebih dahulu, tanpa ditokok tambah penyebab tuduhan dan
pelengkap teori sendiri.
Jika setelah kajian yang tenang serta
munsif dilakukan - lalu terbukti benar dakwaannya - akuilah dan
sokonglah. Jangan menyokong atau membantah secara pukal, kecuali telah
terbukti secara komprehensif.
Demikian apabila membantah dan
tidak setuju terhadap seseorang. Jelaskan kita membantah satu ideanya.
Bantah idea tersebut saja kerana mungkin 100 ideanya yang lain kita
persetujui.
Allah swt menyebut (bermaksud): "Wahai orang-orang
yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa
menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran)
kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan
kaum kerabat kamu".
Displin ini juga yang dipakai oleh
ilmuwan sewaktu mereka mengeluarkan fatwa, sebagaimana ditegaskan oleh
Imam Ibnu Solah dengan katanya: “Hendaklah mufti (yang mengeluarkan
fatwa itu) seperti perawi (hadis) yang tidak terkesan olehnya kaum
kerabat dan permusuhan, mestilah hanya untuk membawa kemanfaatan dan
menolak kemudaratan.”
Manusia amat kerap boleh bersetuju dalam satu dua perkara namun kerap pula bercanggah dalam hal yang lain.
Justeru, label-melabel seseorang sebagai itu dan ini tidak boleh diamalkan sama sekali.
Khalifah
Umar al-Khattab berkata (bermaksud): Janganlah menyangka buruk dari
satu kalimah daripada saudaramu yang mukmin sedangkan engkau boleh
dapati padanya kemungkinan kebaikan (ertinya takwilan atau andaian
maksud kebaikan).
Satu pengajaran besar yang perlu difahami juga
ialah: Jangan sesekali menokok tambah kata-kata seseorang kepada yang
lebih buruk jika itu tidak diungkapkan. Kaedah ada menyebut: Sesuatu
yang seolah mesti selari dengan suatu pendapat, tidak semestinya wujud
pernyataan sebegitu (al-Mawsu’ah al-Kuwaitiyyah, jil 14, hlm 56; Syarh Mukhtasar al-Sorim al-Maslul, Muhammad Hasan Abd Ghaffar, jil 8, hlm 6).
Sebagai
contoh, apabila wujud ijtihad ulama mazhab al-Syafie yang berpendapat
batalnya wuduk apabila bersentuh kulit suami dengan isteri, ia berbeza
dengan pendapat ijtihad mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali yang
menyatakan wuduk masih sah selagi tiada timbul syahwat.
Pun
begitu, tidak sama sekali ulama mazhab al-Syafie turut menghukum bahawa
solat seluruh ulama dan pengikut mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali
adalah tidak sah kerana wuduknya terbatal sebelum solat, lalu solatnya
juga batal.
Tidak halal untuk dipukalkan sesuatu pendapat berdasarkan andaian sendiri semata-mata.
Kaedah
ini perlu difahami dengan betul, kerana hal ini selalu menjadi penyebab
gejala ekstrem ketika berbeza pendapat, kerana masing-masing
membayangkan pernyataan yang tidak dinyatakan oleh pihak yang lain,
akhirnya menggambarkan tuduhan berat ke atas masing-masing.
Kesimpulannya,
masyarakat kita wajib membetulkan cara berfikir mengenai orang lain.
Fahamilah - melabel seseorang sebagai mendukung sesuatu secara
sepenuhnya/pukal hanya kerana beberapa aspek adalah kezaliman dan boleh
pula jatuh dalam dosa lebih serius iaitu memfitnahnya dengan sesuatu
yang tidak benar. DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN ialah presiden Multaqa Asatizah dan Duat (Murshid), ilmuan syariah dan kewangan Islam serta pemikir dan ahli perniagaan.
Krisis pukalisme dalam masyarakat
Reviewed by editorreformis
on
Ogos 05, 2019
Rating: 5
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Tuan Guru yang dihormati, Saya menulis surat terbuka ini dengan penuh rasa hormat...
Bicara Islam
Comments
Recent Comments:
Recent Posts
Email
Teknologi
Wawancara
Notis
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.