https://critoxium.com/shop/

Terkini

Hati-hati buat kenyataan, jangan rosakkan imej parti - Tun M

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) supaya berhati-hati membuat kenyataan dan pengumuman supaya tidak merosakkan imej parti.

Pengerusi BERSATU itu menegaskan, tindakan disiplin boleh diambil terhadap mereka sekiranya ada laporan dibuat kepada Majlis Pimpinan Tertinggi parti.

“Perlu ada disiplin dalam parti khususnya bagi ahli Majlis Presiden dan Pimpinan Tertinggi. Mereka yang pegang jawatan perlu berhati-hati buat pengumuman, kalau umum yang rosak imej parti tindakan akan diambil kepada mereka.

“Mereka yang buat andaian Pakatan Harapan (PH) akan kalah, akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Disiplin Parti untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di Yayasan Kepimpinan Perdana, petang tadi.

Ditanya sama ada kenyataannya itu merujuk kepada kenyataan dibuat Ketua Dasar dan Strategi Bersatu, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, Dr Mahathir mengulas ringkas: “Mungkin.”

Rais, pada Seminar PRU14: Implikasi pilihan raya kecil kepada PRU15 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), semalam berkata sudah tiba masanya untuk kerajaan PH memenuhi keperluan rakyat sekiranya tidak mahu menjadi kerajaan sepenggal.

Perdana Menteri juga berkata, BERSATU tidak pernah melantik sesiapa sebagai Ketua Strategis parti.

“Tidak ada pakar strategik...tidak ada dalam parti, saya tidak tahu siapa lantik, itu bukan lantikan rasmi, tiada jawatan seumpama ini,” katanya.

Dr Mahathir juga berkata, pemimpin UMNO yang sudah keluar parti dan menjadi wakil Bebas serta tidak mempunyai masalah, terutama kes mahkamah, kini boleh menyertai BERSATU.

"Kalau mereka yang ada kes mahkamah, kita tidak dapat terima. Hanya mereka yang tidak terbabit sahaja diterima," katanya.

Ditanya mengenai bilangan pemimpin UMNO yang dijangka akan menyertai BERSATU, Dr Mahathir berkata parti itu tidak mempunyai sebarang anggaran.

"Kita tidak tahu berapa ramai, di Sabah hampir semua pemimpin UMNO. Ada Ahli Parlimen dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)," katanya.

Dr Mahathir berkata, BERSATU juga berpandangan banyak kesalahan yang dilakukan oleh UMNO ketika ini tidak diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa.

"Dahulu semasa saya jadi Presiden UMNO, ada tiga cawangan tidak buat mesyuarat dan parti itu terus diharamkan. Kita sedar sebelum ini parti kita juga turut diharamkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

"Sekarang saya nampak seolah-olah, UMNO banyak buat salah tetapi masih diterima dan tidak dibatalkan pendaftaran. Kita tidak desak tetapi hanya beri pendapat," katanya.

Dr Mahathir berkata, mesyuarat turut memutuskan untuk mengadakan Mesyuarat Agung pada tahun depan dan hanya boleh disertai ahli yang membayar yuran.

“Persidangan di setiap cawangan parti akan diadakan bermula 25 Januari hingga Mac 2020, peringkat bahagian pula pada 4 April dan Pemilihan Agung Tahunan adalah pada 20 Jun.

“Dalam mesyuarat tadi, kita juga telah bersetuju untuk melantik Tan Sri Syed Hamid Albar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Agung BERSATU,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.