Polemik calon Ketua Menteri tumpuan pengundi Sabah
KIRA-KIRA tiga hari sebelum hari pengundian, bahang kerancakan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 semakin terasa.
Pada saat ini, kesemua 447 calon yang bakal bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedang hebat berkempen memenangi hati pengundi kawasan masing-masing.
PRN Sabah yang diadakan lebih awal daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga dilihat menarik dan unik kerana buat pertama kalinya pilihan raya itu ditandingi 16 parti dengan Parti Cinta Sabah (PCS) mencatatkan jumlah calon teramai iaitu 73 calon.
Menjelang hari pengundian pada 26 September ini, ramai pemerhati politik berpendapat senario DUN Sabah mungkin tergantung sebagaimana berlaku selepas PRU14 yang lalu.
Jangkaan itu ada asasnya, lebih-lebih lagi pertembungan antara parti-parti bertanding sangat sengit, terutama membabitkan dua blok pakatan politik dominan iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan Plus.
Pembentukan GRS yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12 September lalu meliputi kerjasama parti-parti menyokong Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), manakala Warisan Plus pula membabitkan parti Warisan, DAP, UPKO, PKR dan Amanah.
Bagaimanapun, paling menarik untuk diberi perhatian adalah kemunculan parti baharu dan bersifat lokal seperti PCS, Parti Liberal Demokratik (LDP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Majlis Tertinggi Parti Maju Sabah (SAPP) yang kembali bertanding.
Bahkan beberapa pemimpin veteran Sabah seperti tiga bekas Ketua Menteri negeri itu iaitu Tan Sri Chong Kah Kiat (LDP); Datuk Yong Teck Lee (SAPP) dan Datuk Seri Salleh Said Keruak (BN); bekas Speaker Parlimen, Datuk Seri Pandikar Amin Mulia (USNO) dan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman turut membuat kemunculan semula.
Di sebalik ketiadaan penglibatan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman kali ini, adakah faktor pecah undi dijadikan motivasi parti-parti lokal berkenaan bagi membolehkan pemimpin-pemimpin mereka kembali mendapat tempat dalam pentadbiran kerajaan baharu atau lebih besar, jawatan Ketua Menteri?
Pensyarah Kanan Sains Politik dan Kajian Dasar UiTM Sabah, Rahezzal Shah Abdul Karim berpandangan, fenomena kemunculan banyak parti lokal bertanding kali ini disebabkan faktor STAR Effect yang menyaksikan Parti Solidariti Tanah Air (STAR) menjadi kingmaker pada PRU14.
Meskipun STAR hanya memperoleh dua kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen, parti itu memainkan peranan penting dalam menentukan BN kembali menjadi kerajaan.
“Bila berlakunya pilihan raya mengejut ketika ini, parti-parti lokal ini kembali melihat apa yang berlaku pada PRU14 apabila STAR yang hanya bertanding 18 kerusi DUN, boleh mencuri (kedudukan penting kerajaan) daripada belakang.
“Mereka lihat mengapa strategi STAR Effect itu tidak digunakan? Mereka hanya perlu bergantung kepada faktor kekuatan calon dan apabila parti-parti ini menang akibat berlaku pecah undi, mereka boleh menjadi ‘kingmaker’,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Di sebalik keterujaan parti-parti lokal bertanding PRN kali ini, peluang mereka untuk mencipta kejutan dengan memenangi banyak kerusi dan sekali gus membolehkan pemimpin parti masing-masing memegang jawatan paling penting, Ketua Menteri, sebenarnya tampak sukar.
Gabungan besar jadi tumpuan
Bagi Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg pula, sentimen rakyat untuk mengundi masih berkisar kepada pengaruh dua parti gabungan terbesar iaitu Warisan Plus dan GRS sahaja.
“Kesan pengumuman calon Ketua Menteri amat signifikan terutama kepada pengundi bandar kerana rakyat akan melihat keputusan peletakan seorang calon seperti Warisan Plus akan menunjukkan mereka lebih stabil, berbanding peletakan dua atau tiga calon,” katanya.
Dalam konteks GRS apabila BN dan PN dilihat tidak bersependapat dalam mengetengahkan nama calon Ketua Menteri, Romzi menyifatkan strategi itu sebagai tidak ampuh.
Romzi sebaliknya menegaskan pemimpin GRS perlu menyelesaikan segera isu itu dalam masa terdekat bagi mengelakkan gambaran bahawa gabungan politik itu tidak jelas.
“Mungkin faktor itu disebabkan ketidakserasian antara pemimpin di peringkat pusat, yang mana masalah ini disambut oleh pemimpin peringkat negeri. Namun saya yakin isu itu boleh diselesaikan,” katanya.
Bagaimanapun, bagi pengundi kawasan luar bandar, isu peletakan calon Ketua Menteri tidak terlalu signifikan.
Seorang lagi Pensyarah Kanan UMS, Profesor Madya Dr Mohd Azri Ibrahim berkata, pengundi Sabah sebenarnya sudah matang berpolitik dengan isu pembangunan negeri dilihat sebagai fokus utama.“Bagaimanapun, saya melihat keperluan satu mekanisme bagi parti-parti yang bertanding untuk menang dengan majoriti agak selesa kerana pola pengundian kali ini menyaksikan terlalu banyak parti bertanding akan menyebabkan berlaku undi berpecah,” katanya.
Satu lagi perkara menarik berlaku sepanjang kempen PRN Sabah ketika ini adalah apabila DAP mengulangi cadangan menamakan Mohd Shafie sebagai calon Perdana Menteri pertama dari Sabah sekiranya Pakatan Harapan (PH) Plus memenangi PRU15 kelak.
Bagi Romzi, langkah DAP itu boleh dianggap strategi bijak apabila perkara itu sebenarnya satu pengiktirafan kepada rakyat Sabah, meskipun kurang disenangi kem PKR.
“Cadangan itu sudah semestinya memberi impak positif kepada pengundi bandar, tetapi majoriti pengundi luar bandar masih tidak tahu mengenainya.
“Saya yakin ia salah satu faktor yang menyumbang kepada penambahan keyakinan pengundi kepada Warisan Plus ketika ini, namun rakyat masih melihat sama ada idea itu ikhlas atau sekadar helah mendepani PRN Sabah sahaja,” katanya.
Blok ketiga tiada peluang
Pandangan berbeza pula dikemukakan Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim yang turun padang ke Sabah bagi menjalankan kajian lapangan sejak seminggu lalu.
Bagi beliau, isu penamaan Mohd Shafie sebenarnya tidak memberi sebarang kesan signifikan terhadap peluang Warisan Plus.
“Bahasa mudah, pertarungan sebenar PRN Sabah kali ini hanya antara blok Warisan Plus dan GRS dengan calon Ketua Menteri berpotensi dilantik dalam kalangan dua blok ini.
“Tiada calon berpotensi menjadi Ketua Menteri daripada mana-mana blok ketiga, termasuk calon-calon yang pernah menjawatnya sebelum ini. Ini kerana corak pengundian hanya berdasarkan keupayaan calon bertanding mengikut DUN masing-masing,” katanya.
PRN Sabah berlangsung selepas DUN negeri itu dibubarkan pada 30 Julai lalu.
Tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding sehingga jam 11.59 malam 25 September ini.
Pengundian awal dijalankan 22 September ini manakala hari pengundian berlangsung pada 26 September.
Sebanyak 64 pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan manakala 741 pusat mengundi membabitkan 2,540 tempat mengundi (saluran) dan 56 pusat mengundi awal.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.