https://critoxium.com/shop/

Terkini

KDN nafi beri 200,000 sijil warganegara baru

PUTRAJAYA,  Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menyangkal dakwaan yang ditularkan pemilik akaun twitter ‘TengkuRajaAlamShah’ berkaitan 200,000 orang telah diberikan sijil kewarganegaraan baru yang berikrar sedia membalas budi kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam kenyataan hari ini, KDN berkata dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan meminta pemilik akaun twitter tersebut agar tampil untuk membuktikan kesahihan dakwaan itu.

“Untuk makluman bagi tempoh Mei 2018 sehingga 15 September 2019 sebanyak 19,788 permohonan taraf kewarganegaraan telah diterima oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari pelbagai kaum dan bangsa dan dari jumlah tersebut hanya 4,422 sahaja yang telah diluluskan kewarganegaraan Malaysia,” katanya.

KDN menegaskan hanya mereka yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan mengemukakan dokumen-dokumen yang lengkap layak untuk memohon taraf kewarganegaraan.

Jelasnya pemberian taraf kewarganegaraan adalah tertakluk kepada peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan merupakan penganugerahan tertinggi oleh Kerajaan Malaysia dan tidak diberikan sewenang-wenangnya.

“Orang ramai digesa agar menghentikan penyebaran maklumat yang tidak benar bagi  mengelakkan kekeliruan dan kebimbangan awam.

“Kerajaan juga sama sekali tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita yang tidak sahih dan palsu yang ditularkan dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas penyebar berita dan maklumat palsu,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.