Kongsi harapan, aspirasi, impian jadikan Malaysia lebih baik
Oleh
Apabila merayakan Hari Kemerdekaan ini, apa yang
perlu kita fikirkan adalah tiga elemen penting yang dapat membantu kita
menjadi negara yang lebih baik - patriotisme, perpaduan dan integriti.
Ia
selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu "Sayangi
Malaysiaku: Malaysia Bersih" yang menekankan kepentingan perpaduan dan
patriotisme demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara.
Tema
tersebut juga bertujuan memupuk integriti dan amalan murni dalam
kalangan rakyat Malaysia.
Kita boleh
mengdefinisikan patriotisme sebagai perasaan cinta dan hormat terhadap
tanah air. Ia adalah perasaan bangga secara semulajadi terhadap negara
yang mendorong kita untuk bekerja keras demi pembangunan negara,
perlindungan warisan dan kebudayaan serta menjaga negara daripada
dimusnahkan oleh anasir luar atau dalaman.
Seorang
bekas ahli politik Amerika Syarikat, Adlai Stevenson pernah berkata:
"Patriotisme bukanlah cetusan emosi meluap-luap dalam tempoh yang
singkat, tetapi dedikasi perasaan cinta yang bertahan sepanjang hayat.
Ini bermakna patriotisme adalah dedikasi dan pengorbanan seumur hidup untuk negara tercinta.
Patriotisme
juga merupakan rasa kepunyaan bersama yang menyatukan kita semua. Ia
biasanya dilambangkan dengan mengibarkan bendera dan menghormati lagu
kebangsaan.
Kita harus ingat bahawa di bawah satu
bendera inilah Malaysia mencapai kemerdekaan dan membina kehidupan
harmoni tanpa mengira bangsa, warna atau kepercayaan. Di bawah Jalur
Gemilang juga, kita telah berusaha untuk membina negara yang mampan
untuk generasi masa depan.
Tetapi kita juga harus
faham bahawa masa telahpun berubah dan rakyat kita, terutamanya
generasi muda mungkin lebih suka meluahkan semangat patriotik mereka di
alam maya. Oleh itu, lebih banyak Jalur Gemilang dapat dilihat di media
sosial pada masa kini.
Mengibarkan Jalur Gemilang bukanlah satu-satunya cara untuk mengekspresikan patriotisme seseorang.
Patriotisme
boleh datang dalam pelbagai bentuk. Apabila kita bercakap untuk
mempertahankan negara kita, ia adalah satu tindakan patriotik.
Kita
juga bersemangat patriotik apabila menahan diri daripada melakukan
perbuatan vandalisme ke atas harta awam atau tidak membuang sampah di
tempat awam secara sengaja. Begitu juga apabila kita menyumbang ke arah
menjadikan komuniti kita bebas daripada jenayah dan rasuah atau
melindungi dan memulihara alam sekitar.
Rakyat
Malaysia boleh menyerlahkan semangat patriotisme mereka menerusi
kata-kata, buah fikiran dan tindakan mereka demi kepentingan dan
pembinaan negara. Menjadi patriotik juga bermakna kita sanggup
menyumbangkan pandangan dan pendapat ikhlas di dalam bidang yang boleh
membawa kebaikan kepada negara.
Patriotisme perlu
disemai ketika zaman kanak-kanak kerana jika mereka menyayangi tanah
air, anak-anak kita akan membesar dengan menghargai warisan,
kepelbagaian dan sejarah kita dan berusaha memperbaiki Malaysia dalam
semua aspek.
Patriotisme boleh disemai dalam
kalangan pelajar melalui kempen kesedaran, pendidikan dan ilmu
pengetahuan. Sistem pendidikan harus disesuaikan untuk memupuk perasaan
bangga dan kepunyaan dalam kalangan generasi muda.
Selepas
62 tahun merdeka, rakyat Malaysia seharusnya memberi tumpuan kepada
soal integriti yang boleh membantu menghentikan seseorang daripada
terlibat dalam rasuah. Kita tidak boleh bertolak ansur dengan rasuah dan
membiarkannya menjadi budaya dalam masyarakat kita, terutama dalam
kalangan generasi muda.
Integriti dan nilai-nilai
murni harus disemai dalam kalangan generasi muda semasa mereka masih
bersekolah. Ia dapat membantu memupuk budaya kejujuran dan amanah agar
menjadi cara hidup para pemimpin masa depan.
Kita
boleh membantu meningkatkan patriotisme dan integriti jika kita sanggup
untuk meningkatkan perpaduan dan berkongsi harapan, aspirasi dan impian
yang sama untuk Malaysia yang lebih baik.
Pembinaan
bangsa dan negara Malaysia tidak akan bererti jika rakyat, khususnya
generasi muda, tidak diterapkan dengan nilai-nilai yang murni seperti
patriotisme dan integriti.
Matlamat utama kita
bukan semata-mata mahu menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian
sepenuhnya dari sudut ekonomi tetapi juga memastikan ia dibangunkan dari
semua aspek termasuk alam sekitar, moral dan etika.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
* Penulis ialah Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.