https://critoxium.com/shop/

Terkini

Masalah teknikal punca AGM 148 cawangan dan sayap AMANAH batal

KUALA LUMPUR: Gagal kemas kini status dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menjadi punca utama lebih 148 Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Parti Amanah Negara (AMANAH) di seluruh negara, baru-baru ini, terpaksa dibatalkan pada saat akhir.

Justeru, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, berkata Setiausaha Agung parti itu, Mohd Anuar Mohd Tahir, sudah mengadakan taklimat khas kepada wakil 148 cawangan parti berkenaan di sebuah hotel, semalam.

Katanya, beliau yakin masalah berkenaan tidak akan menjejaskan pendaftaran AMANAH kerana pembatalan AGM berkenaan dibuat atas arahan ROS sendiri.

“Apa yang berlaku (pembatalan AGM) adalah kerana terdapat cawangan tertentu yang belum sah pendaftaran dengan ROS tetapi kita tidak mendapat makluman berkenaan.

“Jadi apabila mereka (wakil cawangan terbabit) hadir dalam pemilihan kawasan maka mesyuarat terbabit menjadi tidak sah kerana belum berdaftar secara rasmi dengan ROS.

“Bagi mengatasi masalah berkenaan kena minta bahagian AMANAH terbabit mengadakan semula AGM tanpa kehadiran wakil cawangan parti yang belum disahkan oleh ROS.

“Kita tidak dimaklumkan oleh ROS bahawa secara teknikalnya 148 cawangan berkenaan belum berdaftar secara sah sehinggalah mesyuarat AGM berkenaan berlangsung, termasuk kerana tidak menyerahkan semula laporan atau dokumen tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan kunci Residensi Wangsamas di sini, hari ini.

Kelmarin, satu portal berita dalam talian melaporkan sebanyak 148 AGM termasuk peringkat kawasan, sayap pemuda dan wanita AMANAH dibatalkan di seluruh negara kecuali Sabah.
Menurut portal itu, daripada jumlah itu, sebanyak 81 yang terbatal membabitkan AGM peringkat kawasan, manakala 32 AGM bagi Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN) dan 35 AGM bagi sayap pemuda parti itu.

Bagaimanapun, Mohd Anuar menjelaskan kedudukan kekal stabil di seluruh negara walaupun sejumlah AGM parti itu di beberapa kawasan dan sayap dibatalkan.

Malah, Mohd Anuar berkata situasi dihadapi parti serpihan PAS itu tidak memberi kesan atau mengganggu proses pemilihan dan penganjuran Konvensyen Nasional 2019 AMANAH pada Disember depan.
371 dibaca

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.