Pawana Isabella 'jentik' bangsa sedang lena
Oleh Farihad Shalla Mahmud
ketika seluruh rakyat Malaysia meraikan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-62, teater Pawana Isabella yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya turut melabuhkan tirainya selepas 11 hari bersemayam di lokasi ikonik itu.
Sejak dipentaskan, naskhah arahan Erma Fatima ini menjadi bualan ramai apabila mengetengahkan tema bangsa Melayu yang sering dianggap tabu dan sensitif buat segelintir pihak.
Mengapa tema sebegitu sangat dekat dengan pengarah kontroversi ini dan kenapa kebanyakan karyanya sering menyentuh isu sensitif seperti bangsa, politik dan juga agama.
Barangkali, untuk mereka yang berfikiran jumud dan sensitif tak kena tempat, tema itu dianggap memburukkan sesuatu bangsa dan agamanya, walaupun nawaitu asal Erma hanyalah sekadar ingin mengejutkan mereka dari lena yang panjang.
Usah melihat sesuatu isu atau tema diketengahkan itu dari dalam tempurung, tetapi perhatikanlah juga dari mata seekor burung. Buat pertimbangan wajar sebelum pantas menjatuhkan hukuman.
Setiap konflik diangkat, ada kaitan dengan senario yang berlaku hari ini. Melihat laman sosial, ternyata warganet kita semakin sakit apabila sengaja menyimbah minyak ke dalam api yang sedang marak.
Isu perkauman yang dicetuskan sangat membimbangkan. Semua itu tidak akan berlaku jika mereka belajar daripada sejarah dan tahu peranan masing-masing dalam menjaga keharmonian negara.
Janganlah menjadi seperti Permaisuri Tishakur, salah satu watak dalam teater itu. Sikap tamak haloba, talam dua muka dan juga pendendam tidak membawa ke mana-mana. Malah akhirnya segala sifat keji itu musnah bersama egonya.
Memilih untuk dipentaskan pada Bulan Kemerdekaan, barangkali ada secebis harapan tersemat dalam hati sang sutradaranya, iaitu ingin menjentik minda kumpulan sasar supaya segera sedar sebelum terlewat.
Mana-mana kepincangan yang ada dalam diri perlu diperbaiki. Tanamkan amalan murni seperti sentiasa bersyukur dengan apa saja rezeki yang dikurniakan. Jangan tamak, penuhkan ilmu di dada supaya tidak mudah diperbodohkan dan paling penting, amalkan sikap di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Lihat saja bagaimana kerajaan Malayu Aksara hampir musnah gara-gara sikap rakyatnya yang tamak dan mahu kesenangan dengan cara mudah.
Tema ‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih’ sempena sambutan kemerdekaan tahun ini cukup luas pengertiannya. Sebelum melihatnya dari konteks lebih makro, bersihkan dulu kekotoran yang ada dalam diri.
Jika perkara asas seperti hormat kepada Jalur Gemilang kemegahan negara pun tidak mampu dilakukan sepenuhnya, bagaimana pula mahu menghormati pertiwi tercinta.
Apalah gunanya lima prinsip Rukun Negara jika ia sekadar retorik dan tidak dihayati dan diamalkan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Apakah kita perlu menunggu musibah berlaku baru kita nak bersatu? Tepuk dada tanyalah selera.
Penulis adalah Wartawan Hiburan BH
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.