Pendaftaran parti politik dengan SPR wajar disokong
KENYATAAN yang telah dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) yang mencadangkan agar urusan pendaftaran dan pengurusan parti-parti politik dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dilihat sebagai satu lagi perkembangan reformasi pilihan raya yang amat baik.
Walaubagaimanapun, cadangan ini dilihat tidak disokong oleh parti UMNO, melalui kenyataan media Timbalan Presidennya, Dato’ Seri Mohammad Hasan. Ini merupakan perbezaan pendapat yang amat baik untuk dibincangkan.
Seperti yang telah dinyatakan oleh Dato’ Seri Mohammad Hasan, pendaftaran parti politik sekarang ini dilaksanakan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) yang merupakan sebuah jabatan yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri.
Persoalannya, adakah amalan ini merupakan satu amalan yang baik (best practice) terutama dari segi aspek demokrasi dan politik?
Bagaimanakah pula amalan-amalan negara demokrasi maju yang lain?
Pertama, antara isu besar yang sering timbul adalah jabatan RoS ini yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri, yang semestinya bertanggungjawab penuh di bawah Menteri Dalam Negeri.
Isu pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pastinya segar dalam ingatan.
Sebelum PRU-14, parti PPBM gagal didaftarkan atas sebab-musabab yang telah dinyatakan.
Pasca PRU-14 selepas Pakatan Harapan berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan, PPBM boleh didaftarkan hampir secara serta merta.
Justeru, timbul keraguan di sini berkenaan integriti RoS.
Jika dilihat amalan terbaik negara-negara demokrasi maju, urusan pendaftaran parti politik adalah terletak di bawah badan pengurusan pilihan raya.
Kanada, Australia, New Zealand dan banyak lagi negara meletakkan tanggungjawab ini di bawah badan pengurusan pilihan raya mereka.
Asas perkara ini cukup mudah, iaitu kerana parti politik adalah ‘aktor’ atau pemain dalam pilihan raya.
Justeru, wajarlah ia dikawal oleh badan pengurusan pilihan raya yang semestinya bebas, adil dan bertanggungjawab.
Di Kanada sebagai contoh, urusan pendaftaran parti politik diletakkan di bawah tanggungjawab Election Canada.
Parti politik harus menepati peraturan-peraturan yang telah ditetapkan bagi membolehkan parti tersebut didaftarkan dan boleh bertanding di dalam pilihan raya.
Antara syarat yang ditetapkan adalah seperti hal-hal berkaitan jumlah keahlian dan unsur-unsur pentadbiran lain seperti keanggotaan ahli jawatankuasa, nama parti dan lambang parti tersebut.
Selain mendaftar, Election Canada juga mempunyai kuasa untuk membatalkan pendaftaran sesebuah parti.
Antara sebab-sebab sebuah parti boleh dibatalkan pendaftarannya adalah seperti gagal menghantar laporan tahunan, gagal menghantar penyata kewangan tahunan, kegagalan mendeklarasi sumbangan-sumbangan yang diberikan kepada parti ataupun parti tersebut tidak aktif (tidak menghantar calon dalam 3 pilihan raya berturut-turut).
Australian Election Commission (AEC) juga diberi tanggungjawab mendaftar dan diberi kuasa untuk membatalkan pendaftaran atas kesalahan undang-undang pertubuhan yang dibuat oleh parti.
Amalan ini dilaksanakan kerana badan pengurusan pilihan raya dikatakan sepatutnya bertanggungjawab ke atas aktor-aktor yang terlibat dalam pilihan raya termasuklah parti politik.
Badan pengurusan pilihan raya lah yang sepatutnya menjadi penentu untuk membenarkan, atau tidak membenarkan sesebuah parti itu didaftarkan dan bertanding di dalam pilihan raya.
Apa yang pasti, ia juga semestinya akan menjadikan parti-parti politik ini lebih berdisiplin.
Memetik semula apa yang telah dikatakan oleh Dato’ Seri Mohammad Hasan, SPR merupakan pengadil di dalam pilihan raya.
Maka, adalah adil bagi SPR yang menentukan siapa yang dibenarkan bertanding di dalam pilihan raya mengikut garis undang-undang pendaftaran parti politik.
Malah, ia sebenarnya lebih adil daripada meletakkan tanggungjawab ini dibawah RoS yang bertanggungjawab kepada Menteri Dalam Negeri.
Ini juga semestinya menjadi kelegaan kepada RoS yang boleh menumpukan tanggungjawab kepada pertubuhan-pertubuhan yang lain.
Justeru, jika ini merupakan amalan terbaik oleh negara-negara maju, maka wajarlah juga Malaysia mengubah amalan yang dilakukan sekarang supaya menjadi lebih sempurna.
Benar, terdapat isu-isu yang wajar diberi perhatian terutamanya berkenaan isu keselamatan (cubaan pendaftaran parti ekstrimis atau parti yang dikaitkan dengan pengganas atau ajaran sesat), namun ini boleh diselesaikan di peringkat pentadbiran kerajaan.
Tanggungjawab ini dilihat lebih relevan diberikan kepada SPR lebih-lebih lagi jika Akta Pembiayaan Politik diterima nanti dimana sesebuah parti boleh dibatalkan pendaftaran jika melanggar mana-mana akta berkenaan pembiayaan politik.
Oleh yang demikian, cadangan yang telah dibuat oleh ERC merupakan satu cadangan yang wajar diberi pertimbangan oleh semua pihak. Ini merupakan langkah yang amat baik dalam penambahbaikan sistem dan undang-undang pilihan raya Malaysia.
Tambahan pula, cadangan ini hanya memberikan kuasa kepada SPR berkaitan pendaftaran dan mengawal parti-parti politik berdasarkan undang-undang berkaitan pertubuhan, dan bukannya mengawal isu-isu politik yang lain.
Semestinya, satu garis panduan dan undang-undang berkenaan pendaftaran parti politik yang jelas dan komprehensif ini perlu dibuat terlebih dahulu sebelum ianya dapat dilaksanakan.
Selain dapat mendisiplinkan parti politik secara lebih serius, cadangan ini juga dilihat mampu menjadikan sistem demokrasi di Malaysia adalah setaraf dengan amalan negara-negara demokrasi maju.
* Khairul Anwar Ahmad Nadzer merupakan pelajar sarjana Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Fakulti Pengajian Komunikasi dan Media, UiTM.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.