https://critoxium.com/shop/

Terkini

Akhbar perlu tepati selera pembaca

Oleh Dr Siti Suriani Othman

“Kelangsungan media cetak: Mengapa dilayar jika boleh dicetak?” menjadi tajuk pilihan forum anjuran Persatuan Alumni Komunikasi Massa Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama pintar UiTM Cawangan Rembau.

Ketika mula-mula mendapat poster digital program ini, ada dua perkara yang terus menangkap fikiran.

Pertama, perlu hadir mendengar pandangan daripada panel yang pelbagai latar belakang dan bukan dalam kalangan pengamal atau pengkaji media sahaja dan kedua, bagaimanakah kupasan akan dibuat bagi tajuk yang pada saya, kurang relevan dengan perkembangan semasa bidang kewartawanan yang pesat hari ini.

Siapakah yang masih hendak membaca akhbar bercetak sedangkan majoriti bergerak ke arah digital dan kita semua tahu itu, malah sukar menidakkannya?

Sangat menarik apabila forum ini mengumpulkan ahli panel kalangan pengamal media veteran lagi disegani seperti Datuk A Kadir Jasin, serta panel lain, termasuk Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Penasihat kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Khalid Jaafar dan Prof Abdul Hamid Mohamed selaku moderator.

Melihat diversiti ahli panel pada forum ini, termasuk perbezaan ideologi politik bukan sesuatu yang begitu menghairankan kerana kita sudah mula melihat perkembangan ini sejak organisasi media seperti Kumpulan Media Karangkraf menganjurkan forum dengan nada sama sejak dahulu lagi.

Lebih mengujakan ialah bagaimana kupasan bagi tajuk sebegini dibuat oleh panel dengan pelbagai latar belakang ini. Bagaimanakah, Shahril Sufian dengan latar belakang ekonomi dan Chin Tong dengan latar pendidikan Kajian Asia dan berpengalaman sebagai Felo Pelawat di Institut Kajian Asia di Singapura misalnya mengupas dan memahami media?

Nyata, forum berdurasi sejam ini tidak menghampakan. Saya sepakat dengan pandangan Chin Tong yang membuka hujah sebagai panel pertama bahawa isu utama yang perlu dibincangkan apabila menyentuh soal survival kewartawanan ialah kualiti isi kandungan, berbanding platform (sama ada cetak atau digital).

Penulisan jurnalistik seperti berita mahupun rencana, tetap dibayar oleh khalayak andainya menepati keperluan mereka. Satu andaian mudah yang boleh dibuat dalam konteks tempatan ialah pembaca tidak mahu membayar untuk isi kandungan akhbar hari ini mungkin juga kerana tidak menepati apa yang mereka harapkan.

Ini bermakna, isi kandungan perlu mencapai tahap tinggi bagi membolehkan ia menjana kewangan kepada syarikat media berkenaan. Namun, mungkin kita juga sedar, kerana desakan ‘keberpihakan’ sebelum ini, sesetengah media kita pernah seakan-akan terlupa bahawa kualiti isi kandungan adalah ‘raja’ yang sebenarnya.

Kajian saya sendiri pada 2016 di beberapa organisasi media di Malaysia menunjukkan tidak semua editor tempatan melihat peri pentingnya mempertaruhkan isi kandungan akhbar sebagai aset yang dijual.

Menariknya, ada meletakkan grafik akhbar cetak sebagai unsur penting melebihi kualiti isi kandungan akhbar yang pasti menyumbang kepada keseluruhan usaha meningkatkan penjualan akhbar, tetapi bukan yang paling utama.

Masyarakat celik media tidak terkecuali masyarakat pembaca Malaysia hari ini tidak mungkin membeli akhbar hanya kerana ia menarik pada mata mereka, tetapi isi kandungannya tidak pula selari dengan apa diharapkan.

Isi kandungan masih menjadi perkara pertama yang dijual dan ini jelas, tidak perlu ada rasa defensif walau atas dasar apa sekalipun terhadap hakikat yang satu ini. Misalnya, isi kandungan yang memandaikan masyarakat adalah sesuatu yang didambakan ramai pada hari ini, sesuatu yang mungkin berbeza berbanding kehendak khalayak pada 10 tahun lalu.

Perubahan ini juga perlu difahami pihak media agar produk kewartawanan seperti akhbar, walau dalam bentuk apa sekalipun, kekal relevan.

Lima akhbar di dunia yang mengekalkan edaran tertinggi iaitu The Wall Street Journal, USA Today, Los Angeles Times, The New York Times dan Houston Chronicle jelas memperjuangkan kualiti isi kandungan berbanding memikirkan platform media atau elemen sampingan yang lain.

The Wall Street Journal sendiri misalnya, dengan jumlah edaran berbayar melebihi 2.2 juta pelanggan belum berasa selesa dengan pencapaian ini, malah terus meningkatkan kualiti isi kandungannya dengan menawarkan kepelbagaian liputan yang tidak lagi terhad kepada berita perniagaan dan kewangan, tetapi juga budaya, seni, gaya hidup, sukan dan kesihatan.

Maksudnya, kita perlukan perubahan kefahaman terhadap elemen yang perlu dititikberatkan dalam perjuangan masa hadapan kewartawanan Malaysia. Keupayaan melapor sesuatu yang penting dengan kaedah menarik misalnya memerlukan kemahiran penulisan yang tinggi.

Jika dapat dicapai, barangkali ia boleh menjadi alat penting dalam usaha menjadikan isi kandungan sebagai aset yang membawa keuntungan dan membantu survival akhbar. Kewartawanan data pula, berdasarkan kajian saya sama, belum menjadi amalan dalam akhbar arus perdana.

Kemahiran ini perlu ditekuni sebagaimana yang sedang dilakukan oleh media alternatif tempatan serta negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Filipina, seandainya media kita serius mahu memandaikan pembaca hasil daripada analisis tepat dan tajam.

Itu baru satu cabaran dari segi teknikal, belum lagi bercakap mengenai soal etika kewartawanan seperti objektiviti dan liputan yang adil serta menyeluruh. Memang survival akhbar dalam bentuk apa sekalipun adalah dalam tangan pembaca, maka itulah usaha yang perlu dilaksanakan supaya pembaca tidak rasa diperkecilkan oleh media yang diharapkan lebih pandai daripada mereka.

Penulis adalah Pemegang PhD dalam bidang kewartawanan Universiti Sains Islam Malaysia

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.