https://critoxium.com/shop/

Terkini

Semakin ramai buat kerja sambilan sara keluarga

Oleh Mohd Zainudin Surip

DEWASA ini, isu ekonomi dilihat antara cabaran utama dalam keluarga. Bebanan dan tanggungjawab digalas ketua keluarga amat berat, terutama jika hidup di bandar besar. Masalah kekurangan duit belanja harian atau bulanan pasti merunsingkan.

Kurang bijak mengurus sumber kewangan diperoleh setiap bulan menjadi faktor terbesar masalah ekonomi keluarga. Ada antara kita yang terpengaruh dan terikut-ikut gaya hidup mewah, sehingga terlupa mendahulukan keperluan berbanding kehendak.

Pelbagai kos perlu ditanggung semestinya memberi kesan kepada aliran kewangan keluarga. Memikirkan longgokan bil yang perlu dijelaskan setiap kali mendapat gaji, sudah pasti amat membebankan sehingga menjejaskan emosi, malah boleh menjadi punca tekanan jiwa.

Dalam mencari jalan keluar daripada cengkaman kos sara hidup ini, ada di antara kita melakukan kerja lebih masa di pejabat. Namun, hasilnya kadang-kala tidak seberapa dan tidak seperti kita harapkan. Lebih malang lagi jika pejabat melaksana dasar penjimatan, maka hasrat mendapatkan pendapatan lebih terus terkubur.

Usah putus asa, berfikir secara rasional dan lebih kreatif dalam mencari penyelesaian kepada krisis kewangan dihadapi. Gunakan kelebihan atau bakat semula jadi dalam diri sebagai satu kelebihan. Jika asyik memikirkan masalah, maka ia tetap menjadi masalah tanpa penyelesaian.

Lihat pelbagai peluang kerja sambilan seperti berniaga, menjadi penghantar makanan, pemandu perkhidmatan e-hailing atau menjadi ejen jualan rumah berdaftar. Namun, kita perlu bijak memilih kerja sambilan yang dilakukan, kerana fokus utama adalah mencari wang lebih, bukan mencari beban.

Jika terbeban dan menjejaskan diri, lebih baik berhenti atau carilah kerja lain. Selain itu, kita juga perlu bijak mengatur strategi sebelum melakukan kerja sambilan, antara perkara yang perlu dipertimbangkan adalah kos, masa serta paling penting adakah ia berbaloi dan memberi pulangan setimpal dengan penat lelah.

Usah buang masa lakukan kerja sambilan yang tidak memberi hasil setimpal dengan keringat dicurah. Sekiranya bebanan bertambah selepas melakukan kerja sambilan sehingga menjejaskan emosi, hubungan kekeluargaan serta hubungan dengan Tuhan, lebih baik berhenti sebelum ia ‘membunuh’ diri.

Untuk yang sudah berumah tangga, pastikan masa berkualiti bersama keluarga diutamakan. Sebaiknya dapatkan persetujuan pasangan, bincang dengan baik, terangkan kenapa perlu kerja itu dilakukan. Jika kesepakatan diperoleh, bolehlah bermula.

Namun, usah terlalu yakin, sehingga melakukan kerja dengan sambil lewa. Berbalik kepada niat melakukan kerja sambilan, kemudian laksanakan dengan tekun dan teliti agar kita memperoleh manfaat daripada kerja itu.

Melalui pengalaman sendiri, ada rakan penulis bermula dengan kerja sambilan secara suka-suka, namun akhirnya mereka sudah berjaya dengan cemerlang membina kerjaya baharu daripada kerja sambilan.

Malahan, ada yang berhenti kerja kerana mahu fokus kepada kerjaya baharu yang menjanjikan pulangan ekonomi serta kualiti masa bersama keluarga. Kini, hidup di kota metropolitan bukansesuatu yang pelik jika kita lihat ramai melakukan kerja sambilan, ada yang bekerja sambilan bukan atas dasar keperluan kewangan, namun kerana minat.

Pernah penulis bertemu dengan perunding hartanah yang sebenarnya seorang pensyarah di universiti awam (UA). Minat dan keinginan meneroka bidang baharu menjadi pendorong kepada beliau untuk menceburkan diri dalam bidang hartanah. Hasilnya amat berbaloi dan beliau berjaya membahagi masa antara bidang pendidikan dan hartanah.

Ada juga penulis bertemu dengan guru yang mempunyai butik pengantin dan kebun sayur. Itu mengagumkan, kerana ada di antara kita yang membuat satu kerja pun sudah mengeluh tidak cukup masa untuk diri dan tiada masa rehat. Inikan pula seorang melakukan tiga kerja dalam waktu sama, namun katanya, asas utama untuk berjaya adalah tekun dan bijak membahagikan masa.

Individu berkenaan perlu tahu mengapa melakukan kerja sambilan. Sudah pasti pada peringkat awal, pelbagai masalah akan dihadapi ketika mula melakukan kerja sambilan.

Usah putus asa, bulatkan tekad untuk pastikan usaha dilakukan tidak sia-sia ibarat kata pepatah Melayu, ‘alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.’

Penulis adalah Penyunting Berita, Berita Harian

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.