https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jadilah Pejuang Subuh Yang Berjaya

Langit yang masih gelap dan cuaca yang dingin membuatkan ramai dalam daripada kita yang melalaikan solat subuh. Tidak ramai yang mendahulukannya kerana enaknya tidur melebihi segala-galanya.

Dengan selimutnya yang tebal dan suhu aircond yang sejuk, menambahkan lagi sedapnya tidur sehingga subuh dikerjakan saat matahari hampir keluar dari persembunyiannya.

Hakikatnya, pejuang subuh ini tidak hanya untuk kaum lelaki sahaja. Malah ia buat sesiapa sahaja yang berjaya meletakkan dirinya bertemu Tuhan pada subuh hari di  awal waktu. Waima perempuan, kanak-kanak, remaja, dewasa atau golongan tua sekalipun, merekalah pejuang subuh yang hebat!

Walaupun hanya dua rakaat sahaja untuk dikerjakan, namun waktu inilah solat yang sangat berat untuk dilaksanakan. Hanya berjiwa kental, iman yang jitu dan takwa yang tinggi sahaja akan berjaya menjadi pejuang subuh yang berjaya.

Disebabkan tidak semua mampu menyahut cabaran tersebut, maka Allah telah menyediakan beberapa keistimewaan buat pejuang subuh yang setia berada di saf bersama sang imam. Antaranya ialah:

1) Mendapat keberkatan waktu pagi. Sebagaimana yang didoakan oleh Rasulullah saw yang bermaksud:

“Ya Allah… berkatilah umatku pada waktu paginya.”- (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)

2) Mendapat ganjaran umpama solat malam. Sabda Rasulullah saw:

“Sesiapa yang solat Isyak secara berjemaah, seumpama dia telah solat separuh daripada malam dan sesiapa yang solat subuh secara berjemaah, seumpama dia telah solat sepanjang malam.” (Hadis Riwayat Muslim)

3) Berada dalam jaminan Allah swt. Maksudnya, mereka yang melaksanakan solat subuh dengan sempurna maka ia berada dalam perlindungan Allah swt. Sabda Rasulullah saw:

“Barang siapa yang melaksanakan solat subuh maka dia berada dalam jaminan Allah…. (Hadis Riwayat Muslim)

4) Malaikat akan berkumpul dengannya dan mendoakannya. Sabda Rasulullah saw:

“Para malaikat malam bertukar dengan malaikat siang dan mereka berhimpun pada waktu solat subuh dan solat Asar, mereka kemudian naik ke langit Allah bertanya kepada mereka dan Dia lebih mengetahui. ‘Bagaimana kamu tinggalkan hamba-ku?’

Para malaikat menjawab, ‘ Kami tinggalkan mereka dalam keadaan menunaikan solat dan kami bertemu dengan mereka juga dalam keadaan menunaikan solat. Ampunkanlah mereka pada hari pembalasan.” - Hadis Muttafaqun Alaih

5) Orang yang melakukan solat subuh berjemaah berpeluang untuk mendapat pahala haji dan umrah setiap hari

Diriwayatkan daripada Anas R.anhu katanya: “Sesiapa yang solat subuh secara berjemaah, kemudian dia duduk mengingati Allah sehingga terbit matahari, kemudian dia mengerjakan solat sebanyak dua rakaat, dia akan mendapat pahala seperti pahala haji dan umrah, sempurna. Sempurna. Sempurna.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Semoga Allah swt mengampuni dosa-dosa kita dan menjadikan kita semua sebagai salah seorang pejuang subuh yang berjaya! Insya Allah

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.