https://critoxium.com/shop/

Terkini

PH tidak tergugat dengan kempen Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen Semberong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang mencadangkan UMNO dan PAS menyertai kerajaan Pakatan Harapan (PH) tanpa penyertaan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) akan menghidupkan kembali budaya politik dan pentadbiran negara berasaskan kaum.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan menegaskan bahawa mereka berpegang teguh kepada Muafakat PH yang dipersetujui bersama oleh PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), AMANAH dan DAP untuk kekal dalam kerajaan PH yang turut dianggotai Parti Warisan Sabah (WARISAN) dalam Kabinet.

Berikutan itu, mereka menggesa Hishammuddin dan rakannya perlu menghentikan kempen untuk mengetengahkan idea pembentukan kerajaan baharu tanpa penyertaan DAP dan AMANAH.

“Hishammuddin dalam penulisan dan wawancara beliau memberi isyarat cenderung kembali kepada politik dan pentadbiran berasaskan kaum. Ini adalah politik usang yang bercanggah sama sekali dengan politik inklusif yang dipelopori PH.

“Pada musim belanjawan, apatah lagi Belanjawan 2020, wajar untuk kita diperingatkan tentang matlamat asal digariskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan pada 1991.

“Untuk mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama, Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara,” katanya.

Pada 7 Januari 2018, Muafakat PH menggariskan beberapa perkara teras yang menjadi faktor pembentukan gabungan berkenaan selepas rakyat Malaysia menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) yang berdiri di atas paksi politik perkauman dan mengheret negara ke kancah kleptokrasi global yang mengaibkan.

“Itulah asas kepada mandat yang telah diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dan amanah itu tidak wajar dicagarkan demi kepentingan politik.

“Sebarang cubaan ‘nakal’ untuk mengembalikan politik sedemikian setelah kita menggerak perubahan pada 9 Mei tahun lalu adalah langkah terkebelakang yang tidak akan dirakam hatta di nota kaki sejarah sekalipun.

“Bahkan ia memberi peluang kepada golongan kleptokrat dan konco mereka untuk kembali bertakhta,” kata Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan secara bersama oleh lima Setiausaha Agung parti komponen PH termasuk Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Wira Marzuki Yahya; Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Wira Anuar Tahir dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.