https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ahli Parlimen Umno Khianat Presiden Dan Muafakat Nasional ?


Oleh Shahbudin Husin

Sekumpulan Ahli Parlimen UMNO yang dipercayai diketuai bekas Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein dikesan mengadakan perjumpaan sulit malam tadi di kediaman Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Pertemuan itu dikatakan bukan saja untuk menyatakan sokongan kepada Tun Mahathir Mohamad untuk terus berkhidmat dengan lebih lama, malah bertujuan memintas peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim, seterusnya menjadikan Azmin sebagai Perdana Menteri dan Hishammuddin Timbalan Perdana Menteri.

Walaupun diberitakan 30 Ahli Parlimen UMNO dijemput menghadiri pertemuan itu, tetapi hanya 17 saja yang hadir, manakala Ahli Parlimen PKR yang turut bersama ialah seramai 5 orang.

Ini memperlihatkan seolah-olah hanya Ahli Parlimen UMNO yang terhegeh-hegeh menjaja diri kepada Azmin, sementara Ahli Parlimen PKR sendiri semakin menjauhi Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu lantaran semakin hilang keyakinan terhadapnya.

Ia antara lain berpunca setelah seorang lelaki yang mirip sepertinya didapati “menjadi isteri” kepada Haziq Abdullah Abdul Aziz dalam video hubungan sejenis yang tersebar luas sejak beberapa bulan lalu.

Video tersebut yang diakui tulen, tetapi tidak dapat dikenalpasti pelakunya oleh pihak polis, walaupun beberapa pakar luar negara mengesahkan salah seorangnya adalah Azmin, sehingga ini masih terperap dalam siasatan yang tidak selesai-selesai dan dipercayai kerana ada pihak tertentu sedang melindunginya.

Berlakunya pertemuan sulit melibatkan Ahli Parlimen UMNO dengan Azmin malam tadi adalah sesuatu yang memalukan parti itu sebenarnya.

Ini kerana ia berlaku hanya dua hari selepas BN mencapai kejayaan cemerlang di Tanjung Piai yang memperlihatkan sokongan rakyat sudah kembali semula kepada BN dan dirasakan oleh pelbagai pihak mempunyai peluang cerah untuk menang dalam PRU15 akan datang.

Berkomplotnya mereka dengan Azmin untuk memintas urusan peralihan kuasa yang pada hakikatnya merupakan urusan dalaman PH, tidak lain bererti mereka juga sedang cuba menggagalkan Muafakat Nasional yang disokong oleh Pas.

Perkara ini bertentangan sama sekali dengan tindakan Hishammuddin yang dilihat menghabiskan banyak masa berkempen di Tanjung Piai untuk memenangkan BN.

Seolah-olahnya perubahan sokongan rakyat kepada BN yang membuatkan Tun Mahathir terkejut tidak bermakna apa-apa bagi Ahli Parlimen UMNO itu.

Apakah keutamaan Hishammuddin bersama 17 Ahli Parlimen UMNO itu sebenarnya - sama-sama menyokong Muafakat Nasional untuk kembali berkuasa menjadi suatu realiti atau lebih mengejar mimpi sendiri yang belum pasti?

Dalam konteks yang lain, tindakan Ahli-Ahli Parlimen UMNO berkenaan mengadakan komplot dengan Azmin yang merupakah kroni utama Tun Mahathir di ketika Presiden UMNO, Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Najib Razak sedang bergelut membela diri di mahkamah, juga merupakan perbuatan khianat kepada kedua-dua pemimpin tersebut.

Nampaknya Ahli-Ahli Parlimen UMNO itu bukan saja tiada lagi kesetiaan kepada Presiden sendiri, malah juga kepada parti tempat mereka bernaung.

Yang dikejar mereka jelas hanyalah untuk kembali berada dalam kuasa dengan sandaran keutamaan dan kesetiaan mereka adalah kepada Hishammuddin.

Dengan ini, dalam usaha memastikan Muafakat Nasional tidak menjadi sia-sia, apakah UMNO hanya akan berdiam diri saja terhadap perlakuan curang Ahli-Ahli Parlimen yang diketuai Hishammuddin itu? (ShahbudinHusin 19/11/2019)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.