https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tanjung Piai, jalan tengah dan cabaran untuk Pakatan

Oleh  Eekmal Ahmad

 PASCA Tanjung Piai maka bermulalah pandangan politik bahawa kita kena ke tengah kembali, moderat, jangan perkauman atau yang sewaktu dengannya. Saya setuju kita mesti di tengah. Tapi apa maksud di tengah itu?

Untuk Pakatan PH maju ke hadapan adalah dengan mendapat sokongan orang Melayu dan mengekalkan sokongan bukan Melayu sedia ada. Jika “kembali” ke tengah bermakna menanggalkan kepimpinan yang diterajui oleh orang Melayu kita boleh bermimpi lah, bukan sahaja untuk menang PRU depan, tapi untuk menjamin kestabilan serta kemakmuran.

Kepimpinan Melayu ini bukan kerana orang Melayu “superior” daripada bukan Melayu. Maaf ya, orang Melayu, kita memang tidak superior. Akan tetapi ini adalah realiti. Orang Melayu yang beragama Islam itu majoriti. Majoriti mahu memerintah dan menguasai. Apatah lagi ketika orang Melayu itu serba serbi kekurangan.

Kita boleh salahkan Dr Mahathir Mohamad kerana dia lama jadi perdana menteri. Tapi ingat kita juga kena pertanggungjawabkan mereka yang lain termasuklah Anwar Ibrahim (maaf ya, penyokong Anwar) kerana beliau menteri kewangan terbaik ketika itu! Tidak adil kegagalan salahkan Dr Mahathir dan kejayaan hanya kerana Anwar (collective responsibility).

Kerana itu kekalahan di Tanjung Piai tidak adil disalahkan Dr Mahathir. Mereka yang tidak pernah terlibat dalam urusan kerajaan mungkin tidak sedar ia bukan “one man show”. Betapa Dr Mahathir itu “strong leader” sekalipun beliau adalah sebahagian daripada Kabinet.

Kenapa tidak salahkan bersama Lim Guan Eng dan DAP? Beliau menteri Kabinet dan saya lihat ada penolakan besar orang Cina di Tanjung Piai terhadap DAP. Adakah ini bukti Belanjawan 2020 yang dibentangkan Lim itu ditolak orang Cina Tanjung Piai?

Atau menolak cara Gobind menguruskan komunikasi negara atau Anthony Loke menguruskan pengangkutan? Bagi saya tidak adil untuk cepat-cepat salahkan DAP atau Lim. Malah adalah tidak matang untuk cepat-cepat salahkan DAP.

Justeru yang nafsunya serakah mahu salahkan Dr Mahathir seorang harus cepat-cepat beristighfar.

Dalam Kabinet itu ada Azmin Ali, Lim, Mohamad Sabu, Muhyiddin Yassin dan juga Dr Wan Azizah Wan Ismail, seorang timbalan perdana menteri. Bukan calang-calang jawatan TPM ini. Selangkah lagi jadi perdana menteri.

Kerana itu zalimlah jika kita mahu “pile pressure on Tun M”. Apa yang lebih merbahaya, sama bahayanya seperti kita cepat-cepat menyalahkan DAP, kononnya orang Melayu menolak Bersatu dan Dr Mahathir. Jangan salah langkah kawan-kawan moderat dan liberal.

Menekan Dr Mahathir akan dibaca sebagai mahu menolak kepimpinan yang diterajui orang Melayu. Walaupun populariti PH dalan kalangan orang Melayu merosot namun populariti Dr Mahathir masih unggul dibandingkan dengan pemimpin PH lain.

Ramai antara kita termasuk saya terlibat dengan PRU 2008, saya pula bertanding di kawasan majoriti Melayu 2013 dan membantu 2018. Kita bandingkan, itulah tahap sokongan Melayu terbaik yang kita peroleh. Apabila PAS keluar PH kita gusar orang Melayu tinggalkan kita. Hanya dengan kehadiran Tun M bersama Bersatu itulah orang Melayu yakin memilih PH.

Itu permulaan untuk meraih lebih banyak sokongan Melayu dan majoriti. Kita mesti press forward untuk menguasai undi orang Melayu. Jangan berundur. Melayu majoriti. Tanpa majoriti kita gagal total.

Cabarannya adalah untuk meyakinkan orang Melayu bahawa PH ini bukan agenda DAP dan meyakinkan orang bukan Melayu bahawa PH bukan alat aliran kanan sempit Umno.

Cabarannya untuk memastikan tiada “tyranny of the majority.” Cabarannya adalah untuk memastikan Bahasa Melayu diterima, diamalkan dan dihormati semua.

Cabarannya adalah untuk semua menyokong sekolah satu aliran. Cabarannya adalah untuk menolak rasuah. Cabarannya adalah meningkatkan pencapaian ekonomi.

Semua ini akan gagal jika majoriti menolaknya. Jika orang Melayu menolaknya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.