https://critoxium.com/shop/

Terkini

Undi protes di Tg Piai, bukan sokongan muafakat nasional

KEMENANGAN besar Barisan Nasional (BN) di Tanjung Piai semalam bukan kerana rakyat menerima muafakat nasional antara Umno dan PAS diterima oleh semua kaum, kata penganalisis politik.

Mereka melihat kempen BN dalam pilihan raya kecil itu tidak menunjukkan muafakat nasional sebagai satu agenda yang melibatkan semua kaum.

Menurut mereka, walaupun ada peningkatan sokongan terhadap BN, terutamanya dalam kalangan pengundi Cina, ia lebih kepada peralihan daripada Pakatan Harapan (PH) kerana marahkan kerajaan yang tidak menunaikan janji.

“Bukan semua pengundi faham tentang muafakat. Mungkin penyokong Umno dan PAS faham tapi orang biasa tidak,” kata Azlan Zainal dari badan penyelidik Ilham Centre.

“Swing (peralihan) daripada PH lebih besar kerana marah dengan kerajaan bukan kerana sokong muafakat. Salah satu kesan 9 Mei (pilihan raya umum ke-14) ialah orang tidak lagi takut hendak mengundi ikut kehendak mereka.”

Umno dan PAS memeterai muafakat nasional pada September lalu untuk menyatukan semua pembangkang menentang Pakatan.

Sejak awal, BN menggunakan pilihan raya kecil Tanjung Piai untuk membuktikan keberkesanan muafakat nasional dengan PAS sebagai sebuah gerakan politik melawan Pakatan.

BN meletak calon MCA, Wee Jeck Seng untuk menutup mulut pengkritik yang mendakwa muafakat nasional bertujuan menonjolkan agenda Melayu dan Islam.

BN kini mendakwa kemenangan besar dengan majoriti 15,086 undi di Tanjung Piai semalam adalah tanda rakyat menerima muafakat nasional, kata penganalisis politik.

Mereka bagaimanapun mengingatkan dua ucapan pemimpin kanan Umno yang dimainkan semasa kempen mendedahkan muafakat itu tidak mencerminkan keterangkuman atau inklusiviti masyarakat yang majmuk.

Pertama, Najib Razak, bekas presiden Umno yang kini berdepan puluhan tuduhan rasuah, mempersoalkan kenapa Pakatan melantik pemimpin Cina sebagai menteri kewangan.

Beliau kemudian diingatkan betapa ayahnya sendiri Abdul Razak Hussein semasa jadi perdana menteri kedua pada 1970 melantik Tan Siew Sin sebagai menteri kewangan.

Kemudian muncul pula rakaman video lama exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris yang menggesa hak mengundi kaum bukan Melayu dihapuskan sekiranya Umno dan PAS menang dua pertiga kerusi di Parlimen.
Harapan padam di Tanjung Piai

Pakatan dibelasah di Tanjung Piai, kalah di semua 27 pusat daerah mengundi. Pada PRU14, ia menang di 11 pusat daerah mengundi.

Keputusan pilihan raya kecil semalam menunjukkan Pakatan kalah malah di daerah mengundi majoriti Cina seperti Pekan Nanas Timur, Tengah dan Selatan, yang dimenanginya setahun setengah lalu.

Hanya setahun setengah yang lalu, 64% pengundi Cina dan 32% pengudi Melayu menyokong Pakatan.

Harapan mahu meningkatkan sokongan pengundi Melayu tidak kesampaian apabila Pakatan mengutip jumlah undi yang jauh lebih rendah berbanding PRU14 di daerah mengundi Andek Mori, Sungai Durian, Permas Kechil, Serkat dan Tanjung Kerang.

BN sementara itu mendapat lebih banyak undi di semua daerah berbanding yang diperolehinya dalam PRU14.

Penganalisis politik Dr Mazlan Ali yang meramalkan BN menang berkata peningkatan undi pembangkang terutama daripada pengundi Cina adalah protes kepada PH.

“Calon BN juga seorang yang amat dikenali dan popular sebagai wakil rakyat dua penggal. Tanjung Piai pun tempat Umno dan MCA sangat popular,” kata pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.
Dalam piliha
n raya umum 2013, Wee mengekalkan kerusi dengan majoriti 5,457 undi. Beliau bagaimanapun kalah tipis dengan 524 undi pada 2018 kepada calon Pakatan Dr Md Farid Md Rafiq.
Biarpun naratif muafakat nasional berjaya mengalihkan sebahagian undi Melayu, menurut Mazlan, isu ekonomi masih utama dalam perhatian mereka.

Ini tercermin daripada kaji selidik Ilham sendiri tiga hari sebelum hari pengundian. Badan penyelidik itu mendapati banyak responden tidak puas hati dengan harga kelapa sawit yang rendah serta bantuan kebajikan yang semakin kurang.

“Mesej kempen BN paling efektif kepada orang kampung adalah mereka mendapat lebih bantuan daripada kerajaan lama berbanding sekarang,” kata Azlan.

“Dulu BR1M dapat lebih, bantuan nelayan pun lebih, harga sawit pun lebih Tinggi.”

Mesej itu lebih berkesan pada penduduk kampung berbanding naratif Pakatan meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pembangunan yang tidak sempat dibawa oleh Md Farid di Tanjung Piai sebelum kematiannya.

“Walaupun BN menang besar ini bukan bermakna sokongan itu murni kepada BN. Ia lebih kepada protes terhadap PH,” katanya

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.