Hilang Kedah, Bersatu bukan parti induk dalam PN
Oleh: A Kadir Jasin
Pas yang kalah
kepada Pakatan Harapan di Kedah dalam PRU 2018 kembali berkuasa di
negeri itu dengan izin dan ihsan Presiden Bersatu merangkap Perdana
Menteri, Muhyiddin Mohd Yassin.
Maka dengan itu hilanglah sebuah lagi
negeri yang diterajui oleh Menteri Besar dari Bersatu. Negeri pertama
yang menyingkirkan MB Bersatu adalah Johor, negeri Muhyiddin sendiri.
Dengan penyingkiran Mukhriz Mahathir di
Kedah itu maka makin jelaslah bahawa Muhyiddin telah memungkiri janji
kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 23 Februari lalu untuk
menjadikan Bersatu parti induk Perikatan Nasional (PN).
Dalam mesyuarat itu, Muhyiddin berjanji,
“…keluar daripada PH dan berpindah kepada campuran tetapi masih dalam
kerajaan…dipimpin oleh Bersatu.”
Kalau ketika pemerintahan PH, Menteri
Besar dan Exco Bersatu dihormati dan berpengaruh, hari ini mereka tidak
lebih daripada melukut di tepi gantang dibuli oleh Umno. Tengok sajalah
apa yang berlaku di Perak dan Melaka. Perwakilan Bersatu hanyalah untuk
ambil syarat saja.
Selepas dua bulan setengah menumbangkan
kerajaan PH melalui proses yang tidak demokratik, apa tinggal daripada
Bersatu hanyalah Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Yang berkuasa dan menentukan agenda
serta naratif kerajaan dan mengusai saluran komunikasi adalah
panglima-panglima perang Umno dengan sekutu mereka dalam Muafakat
Nasional iaitu Pas.
Kesimpulannya, manakala Muhyiddin
berjaya memenuhi cita-cita terpendamnya untuk menjadi Perdana Menteri,
Mohamed Azmin Ali berjaya menyekat Anwar Ibrahim daripada menjadi
Perdana Menteri dan Hamzah Zainuddin berjaya menjadi “kingmaker”,
Bersatu menjadi pemain biola nombor tiga dalam kerajaan PN yang tidak
pun diiktiraf oleh Umno dan Pas.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.