https://critoxium.com/shop/

Terkini

ADUN Sungai Acheh mahu sertai PN

NIBONG TEBAL: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim, yang dipecat dari PKR akan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Memberi alasan langkah itu demi tanggungjawab dan amanah pengundi di kawasannya, beliau berkata akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Tanpa menyatakan parti yang akan disertai, katanya, beliau menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk menerajui tampuk pemerintahan negara.

"Selepas membuat pertimbangan, saya memutuskan untuk menyertai PN," katanya pada sidang media bagi mengulas surat pemecatan sebagai ahli PKR yang diterimanya di sini, hari ini.

Beliau terkilan dengan tindakan PKR yang memecat keahliannya tanpa menyatakan alasan pada surat pemecatan yang diterima pada Khamis lalu.

Sebelum ini beliau menegaskan tidak akan merayu kepada PKR selepas menerima surat pemecatan berkenaan.

Zulkifli berkata, beliau bersama PKR sejak 2 September 1998, namun kini dipecat tanpa mengetahui punca sebenar dan mendakwa tidak diberi peluang untuk membela diri.

"Apakah alasan PKR memecat saya sehingga kini saya tidak diberikan alasan kukuh bahkan tidak langsung diberikan peluang untuk membela diri atau mempertahankan diri.

"Mengapa jawatankuasa disiplin parti tidak memanggil saya untuk mengadakan siasatan dalaman sebelum memecat saya? Adakah ini tunjang prinsip parti Keadilan yang diagungkan selama ini?

"Adakah demokrasi dalam parti sudah mati angkara tangan-tangan ghaib berpaksikan diktator terbabit? Apakah kerana saya tegas maka saya dipecat?" soalnya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) beliau akan bersama dengan barisan ADUN Pembangkang.

Zulkifli adalah antara lima pemimpin PKR yang dipecat keahlian oleh Lembaga Displin parti terbabit.

Selain Zulkifli, empat pemimpin PKR yang dipecat adalah ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin; Ketua Wanita, Haniza Mohamed, Ketua Wanita Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria dan Ketua Wanita PKR Sabah, Rahimah Majid.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.