Calon ketua menteri: Kita akan bincang cepat - Bung
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah Bung Moktar Radin berkata bahawa BN Sabah akan berbincang dengan Perikatan Nasional (PN) berhubung calon ketua menteri kerajaan baru negeri Sabah.
"Kita akan bincang secepat mungkin (lantikan ketua menteri)," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai pelantikan ketua menteri baru Sabah.
Ketika tempoh berkempen sebelum ini, BN dan PN sama-sama membayangkan calon ketua menteri daripada parti mereka.
Bung yang menang kerusi DUN Lamag, juga berkata mereka akan mengamalkan semangat setiakawan dalam menubuhkan kerajaan baru.
"Saya cukup yakin akan dapat kita wujudkan semangat setiakawan.
"Masalah (hanya) akan timbul apabila kita timbulkan masalah," katanya lagi ketika disoal adakah dia rasa akan timbul masalah dalam penubuhan kerajaan negeri bersama parti komponen lain.
Terdahulu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membabitkan kerjasama Perikatan Nasional (PN), BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berjaya merampas Sabah daripada Warisan.
Berdasarkan kiraan tidak rasmi Malaysiakini setakat ini, gabungan itu berjaya memenangi sekurang-kurangnya 38 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.