https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kerjasama Umno-PAS, kekal muafakat atau ‘mufaraqah’?

 


Oleh Zin Mahmud

Apabila Anwar Ibrahim mengumumkan beliau mempunyai cukup angka untuk menubuhkan kerajaan, ia disambut dengan kenyataan Zahid Hamidi bahawa beliau tidak boleh menghalang wakil rakyat Umno menyokong presiden PKR itu, maka sudah tentu ia mengejutkan PAS.

Buat pertama kali sejak PAS secara rasmi bekerjasama dengan Umno selepas pilihan raya umum ke-14, terdapat tanda-tanda tidak senang pada hubungan 2 parti itu. Ini bukanlah bermakna hubungan Umno dan PAS itu retak dan akan putus, tetapi terdapat tanda-tanda tidak senang.

PAS menolak untuk menyokong Anwar atas prinsip bahawa dalam Pakatan Harapan, ada DAP dan Amanah. Mereka juga tidak boleh menerima Umno jika parti itu bekerjasama dengan kedua-dua parti itu.

Ini adalah asas Muafakat Nasional, iaitu gabungan antara Umno dan PAS yang diwujudkan untuk menentang DAP dan sesiapa yang menjadi sekutunya.

Amanah dilihat sebagai sekutu DAP dan Pakatan Harapan dengan PKR, dan sebelum ini, PPBM dipandang sebagai alat DAP.

Jika ada dalam kalangan Umno yang tetap berkeras untuk bersedia bekerjasama dengan DAP dan Amanah, maka Muafakat Nasional boleh terbubar.

Inilah apa yang disebut sebagai “Mufaraqah Nasional” oleh para netizen yang menunjukkan reaksi terhadap perkembangan ini.

Istilah “mufaraqah” bermaksud pemisahan. Tetapi setakat ini, perkara itu tidak berlaku lagi kerana politik sedang terus bergolak dengan tanda-tanda pilihan raya umum belum kelihatan.

Gagasan Muafakat Nasional ini mempunyai cita-cita besar, bukan sekedar kerjasama 2 parti Melayu utama negara itu untuk menang pilihan raya dengan mengalahkan Pakatan Harapan.

Ia melihat Malaysia sebagai negara yang berteraskan pada Melayu-Islam dan segala identiti dan dasar nasional harus berpusar daripada situ.

Sebelum ia bernama Muafakat Nasional, kerjasama Umno-PAS hanya disebut sebagai “Penyatuan Ummah” yang secara rasmi terbentuk selepas pilihan raya umum ke-14.

Ia merupakan kerjasama parti pembangkabg setelah strategi untuk menghalang Pakatan Harapan melalui pemecahan undi pembangkang dalam pilihan raya itu gagal.

Untuk mewujudkan kerjasama itu bukannya mudah, terutama dari segi sokongan akar umbi. Dari segi kedudukan politik kepartian, Umno dan PAS berebut pengundi yang sama, iaitu kalangan Melayu-Islam walaupun kedua-duanya mempunyai penyokong tegar masing-masing.

Usaha merapatkan akar umbi dilakukan setapak demi setapak dengan mengadakan program bersama dan pilihan raya kecil memberi ruang untuk merapatkan hubungan sesama ahli.

Apabila ahli kedua-dua parti boleh menyanyi bersama lagu rasmi mereka sambil mengibarkan bendera satu sama lain, maka jelas bahawa mereka sudah dapat menerima kerjasama itu.

Hujah wadah perjuangan mereka adalah mudah. Orang Melayu-Islam perlu bersatu untuk menyelamatkan bangsa, agama dan tanah air.

Perpaduan bangsa, di sini maksudnya bangsa Melayu, bukannya Bangsa Malaysia. Sementara penyatuan ummah, dalam konteks negara ini, bermaksud umat Islam.

Ummah dan bangsa pula adalah sinonim dan perpaduan menjadi wajib kerana jika tidak, orang bukan Melayu-Islam akan menguasai politik, dan kepentingan umat akan terancam. Itulah naratif ethno-nasionalisme Umno-PAS.

Apabila melihat peta kawasan pilihan raya dan undi yang mereka peroleh dalam PRU ke-14, adalah jelas gabungan Umno-PAS boleh menang dalam pilihan raya akan datang.

Rentetan kemenangan Barisan Nasional dengan kempen yang dibantu PAS ternyata merupakan strategi berkesan. Kalangan Pakatan Harapan pula akur terhadap perkara ini dan bertmbah jelas bahawa kerajaan mereka hanya dapat bertahan sepenggal.

Maka Umno dan PAS menjadikan kerjasama mereka rasmi dengan menubuhkan Muafakat Nasional.

Muafakat adalah perkataan Arab yang dimelayukan. Ia meletakkan identiti Melayu-Islam pada kerjasama ini. Ia sebagai nama untuk menambah istilah politik di negara ini bagi menunjukkan kerjasama antara parti.

Sebelum ini sudah ada istilah perikatan, barisan, angkatan, gagasan dan pakatan.

Muafakat Nasional bukan anti bukan Melayu-Islam walaupun mereka menolak DAP. Mereka tetap mahu bekerjasama dengan bukan Melayu-Islam, tetapi dengan kedudukan berbeza dan bukannya setaraf.

Maknanya ada hegemoni Melayu-Islam dalam hubungan antara kaum. Sebab itu Muafakat Nasional menerima BN yang di dalamnya ada MCA dan MIC.

Tetapi hakikat politik ialah PAS tidak akan dapat menyaingi Umno. Pendokong fahaman Melayu Umno lebih banyak daripada Islam PAS sejak penubuhannya lagi.

Ini kerana hakikatnya PAS adalah pecahan daripada Umno.

Cumanya ketika penyokong Umno marah kepada partinya, ia akan mengundi PAS sebagai protes, bukanlah kerana mendokong fahaman politik parti itu.

Ia merupakan keadaan sementara. Apabila kemarahan mereka hilang, maka undi itu kembali pada Umno.

Begitu juga halnya dengan hubungan antara Umno dan PAS. Ketika Umno lemah ia akan menghulur tangan pada PAS. Apabila ia kuat, tiada hal untuknya bekerjasama dengan parti Islam itu.

Dalam sejarah, perkara ini berlaku selepas pilihan raya umum tahun 1969 yang membawa kepada terbentuknya Barisan Nasional.

Begitu juga kali ini. Walaupun secara rasmi Muafakat Nasional ditubuhkan selepas pilihan raya tahun 2018, tetapi proses untuk itu berlaku lebih awal lagi, iaitu selepas pilihan raya tahun 2008 ketika mana Barisan Nasional hilang majoriti dua pertiga.

Selepas Barisan Nasional kalah di Selangor dan Perak, sudah mula timbul gagasan kerajaan perpaduan (UG) antara 2 parti Melayu-Islam itu.

Walaupun ketika itu PAS menang kerusi atas undi bersama penyokong PKR melalui Barisan Alternatif, tetapi tentulah mandat rakyat yang diterimanya adalah daripada pengundi yang menolak Umno dan Barisan Nasional.

Apabila penyokongnya mengetahui ura-ura UG ini, tentulah mereka marah pada pucuk pimpinan PAS. Pucuk pimpinan parti menafikannya, tetapi ia mencetuskan bibit perpecahan dalam PAS dan juga kemudiannya, Pakatan Rakyat itu sendiri.

PAS terus bersama dengan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum tahun 2013, tetapi bersendirian pada tahun 2018.

Ketika itu Umno sudah tidak popular kerana soal integriti dan ada penyokong parti itu mengundi PAS bukan kerana menyokong fahaman parti itu. Tetapi kerana mereka menolak Umno dan tidak mahu pula mengundi Pakatan Harapan.

Tentunya ada kalangan mereka yang kecewa apabila melihat PAS bekerjasama dengan Umno selepas pilihan raya itu.

Kini semua itu menjadi sejarah politik negara. Tetapi selepas penubuhan Muafakat Nasional pun, PAS mempunyai agenda tersendiri daripada Umno.

Penolakannya terhadap Pakatan Harapan adalah jelas, iaitu utamanya kerana DAP. Kedua, kerana Amanah yang bekerjasama dengan DAP. Ketiga, PKR kerana bukan saja bekerjasama dengan DAP dan Amanah, tetapi juga mempunyai fahaman politik liberal yang tidak boleh diterima.

Jadi mereka menolak Anwar. Tetapi mereka boleh pula menerima Mahathir Mohamad dan PPBM walaupun ketika itu ia bekerjasama dengan DAP, PKR dan Amanah. Hinggakan mereka menyatakan akan memberi sokongan kepada Mahathir jika berlaku pertembungan dengan Anwar. Mungkin PPBM dilihat sebagai parti Melayu-Islam seperti Umno.

Keadaan ini menjadi keliru, apabila berlaku Langkah Sheraton. PAS memberikan sokongan pada Muhyiddin Yassin dan bukannya Mahathir.

Ketika mana Umno menolak Perikatan Nasional, PAS pula menghampiri BPPBM. Malah mereka mencadangkan pula gagasan Melayu Raya untuk meraih sama PPBM.

Kini apabila Umno melepaskan wakil rakyatnya untuk memberikan sokongan pada Anwar, PAS menegaskan bahawa mereka tetap bersma Muhyiddin dan Perikatan Nasional.

Jadi apakah kedudukan masa depan Muafakat Nasional?

Pilihan raya umum ke-15 nanti akan menentukan bentuk mana kedudukan sekutu-sekutu PAS ini. Apa yang kekal ialah banyak kawasan yang akan ditandingi oleh Umno dan PAS untuk merebut pengundi yang sama, terutama di Pantai Timur.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.