Kertas putih desak siasat kerugian MAPS
IPOH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak perlu mengeluarkan kertas putih untuk menjalankan siasatan bagi mengetahui punca taman tema Movie Animation Park Studio (MAPS) di sini ditutup akibat masalah kewangan.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Perak, Aswannudin Hariffudin berkata, selain itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) negeri yang dianggotai wakil dari parti kerajaan dan pembangkang harus menyiasat perkara itu.
Menurutnya, rakyat perlu tahu punca MAPS menjadi projek gajah putih yang mengakibatkan rakyat menerima tempias akibat hutang yang dikatakan mencecah berbilion ringgit.
Beliau berkata, polemik yang dialami Perak Corportion Berhad (PCB), iaitu syarikat berkaitan kerajaan negeri Perak adalah akibat daripada pelaksanaan MAPS yang gagal.
“Hutang PCB adalah hutang yang tidak perlu dan tidak patut wujud sama sekali. Saya meminta kerajaan negeri mengambil tindakan sepatutnya demi menjadi kepentingan negeri dan rakyat.
“Jangan sampai negeri ini digelar bankrap dan gagal akibat akibat tindakan yang salah dan tiada tindakan untuk memperbetulkannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Aswannudin berkata, keputusan kerajaan negeri terlibat dalam perniagaan taman tema amat pelik kerana Perak sudah memiliki dia taman tema di Bukit Merah Lake Town Resort dan Sunway Lost World of Tambun.
“Sepatutnya kerajaan negeri membantu menambah baik dua taman tema ini, bukan mewujudkan persaingan kepada dua taman tema tersebut,” katanya.
Aswannudin juga menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menghentikan budaya melantik wakil rakyat atau ahli politik sebagai ketua pegawai eksekutif atau lembaga pengarah PCB.
“Ramai anak Perak yang merupakan tokoh korporat yang telah berjaya boleh membantu negeri ini,” katanya.
MAPS di Meru Raya di sini yang dibangunkan dengan kos RM520 juta, ditutup bermula 28 Januari lalu ekoran kegagalan membayar balik bayaran prinsipal kepada bank.-UTUSAN
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.