https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pirane Sabah setelah separuh masa, Warisan-Plus di hadapan


Oleh Mohd Sayuti Omar

KEMPEN pilihan raya negeri (Pirane) Sabah ke 16 sudah melewati lebih separuh jalan. Hanya tinggal empat hari lagi sebelum tiba hari mengundi 26 September. Penamaan calon berlangsung 12 September lalu. 

Hari ini berlangsung pengundian awal membabitkan 16,877 pemilih di 55 pusat pengundi kebanyakan mereka dalam kalangan beruniform dan petugas pilihan raya. 

Setelah 10 hari berkempen, dianggarkan sudah melebihi 65% isu-isu utama telah diketengahkan oleh parti-parti bertanding untuk mempengaruhi pemikiran rakyat. Tersisa 35% isu sahaja lagi adalah isu-isu sampingan atau pun isu yang sengaja dilewatkan kerana strategi. Semuanya akan beres dalam tempoh empat hari tersisa itu.

Sebagai rekod Pirane Sabah kali ini adalah pertarungan antara dua gabungan parti terbesar, Warisan - Plus terdiri daripada DAP, UPKO, PKR dan Amanah. Ia berlawan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terdiri daripada BN, PN, PBS, PBRS, STAR, SAPP dan lain. Seramai lebih 447 calon bertanding merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri. 

Sementara pengundi berdaftar pula seramai 1,124,598.  Pirane kali ini mencatat rekod apabila berlaku pertandingan 10 penjuru di Bengkoka dan 11 penjuru di Inanam.  

Setelah tempoh itu, sudah dapat melihat cula parti mana atau gabungan mana mendapat sambutan dan seterusnya bakal membentuk kerajaan pada selepas 26 September nanti. Kali ini saya tidak turun ke Sabah untuk membuat tinjauan langsung kerana terhalang beberapa hal termasuk minat kepada politik menurun kerana politik Malaysia semakin hari semakin menjadi cabuk, cemar dan kotor sejak berlakunya kudeta kerajaan PH tempoh hari.  

Kebetulan pula terpaksa melayani dan bersama zaujah yang ditimpa ujian secara tiba-tiba. Jadi masa sangat terhad dan menjadi mahal untuk jaga isteri daripada memerhati politik yang cabuk. Walaupun saya tidak turun ke Sabah, tetapi dengan bantuan media baru dan konteks peribadi masih ada di sana dapat saya memantaunya dari jauh. Hampir sepanjang masa, ceramah, acara atau kempen dapat diikuti dan memahami apa-apa isu yang berlaku. 

Tiada insiden buruk.

Alhamdulilah sepanjang masa kempen ini tidak ada apa-apa kejadian jelek dilaporkan berlaku. Tidak ada kejutan besar, seperti perpindahan parti secara beramai-ramai dari mana-mana pihak. Juga tidak ada insiden menyayat hati terjadi seperti pukul memukul atau pun pulau memulau. Demikian juga episod keluar parti atau calon menarik diri daripada mana-mana parti menyertai parti lain juga tidak terdengar dilaporkan.

Mungkin episod bertukar parti sudah tidak menarik lagi.

Anwar dalam satu jelajah kempen di Pirane.
Kandati pun pendemik Covid-19 masih belum reda bahkan Sabah menjadi negeri yang panas dengan Covid-19 tidak menghalang kempen Pirane Sabah. 

Seperti biasa Pirane Sabah menjadi perhatian daripada pemimpin dan parti politik daripada Semenanjung. Kerana selalu diperkiraan sentimen atau senario politik di Sabah ada kaitan dengan Semenanjung. 

Kebetulan pula ada parti Semenanjung ikut sama bertanding dalam pilihan raya itu, kecuali parti Pas yang tidak diberi sebarang kerusi pun. Parti-parti asal Semenanjung yang ikut bertanding adalah DAP, Umno, PKR, Bersatu dan Amanah. Penyertaan mereka itu menjadikan Pirane itu sebuah pesta kebangsaan yang meriah.  

Anwar Ibrahim selaku presiden PKR sudah menjelajah ke semua tujuh (7) kawasan di mana PKR bertanding. Berpandukan kepada page view di FB live nya sambutan begitu hangat sekali. Anwar masih kekal sebagai tokoh politik yang popular. Boleh saya sebutkan selepas Shafie Apdal, Anwarlah penceramah yang diminati dan mendapat like dan tontonan banyak.  

Bekas presiden Umno Najib Razak juga turut ikut sama berceramah membantu calon-calonnya Umno.  Begitu juga dengan Zahid Hamidi ikut sama turun. Walaupun diri mereka cemar dan berbolot dengan pertuduhan di mahkamah tetapi pergi juga mengintai manalah tahu ada untung kalau-kalau Sabah jatuh kepada BN. 

Pemimpin DAP yang sedang dikepung untuk ke penjara Lim Guan Eng tidak begitu nampak kelibatnya, mungkin beliau dihalang untuk ke Sabah atau apa? Partainya bertanding di tujuh (7) kerusi. Sungguh pun tidak menonjol tetapi kenyataanya yang masih mahukan Shafei Apdal sebagai PM dikira menjadi bahan kempen boleh memberi semangat kepada rakyat Sabah sekali menjadikan beliau dicemuhi.  

Bagaimana pun Dr Mahathir Mohamad sama sekali tidak turun ke Sabah, baik untuk berkempen ataupun makan angin di negeri bawah Bayu itu, mungkin faktor usia dan kerana partinya tidak bertanding. Jadi walaupun beliau menyokong Shafei, tetapi tidak diundang untuk berkempen mungkin bagi mengelakkan beliau menjadi liabiliti kepada Warisan Plus. Sebenarnya Mahathir tidak berapa disenangi oleh rakyat Sabah ekoran apa dinamakan "Projek IC palsu".  

Pertandingan maruah.

Pirake Sabah kali ini agak sengit dan sedikit terdesak kerana ia bukan sahaja permainan dan perebutan kuasa parti-parti politik di Sabah, tetapi ia juga menjadi medan pertempuran ujian kepada ketokohan politis di Kuala Lumpur. Muhyiddin Yassin adalah oknum yang terkesan dengan pilihan raya di Sabah itu kerana hasil Pirane itu bakal menentukan kedudukannya. Pirane itu adalah pirane menentukan maruah. 

Partinya, Bersatu bermuafakat dengan BN, PBS dan lain-lain membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan bertanding di 29 kerusi. Muhyiddin sangat mengharapkan yang partainya akan menang dan Ketua Menteri akan dilantik daripada partinya. Hasil pilihan raya itu nanti memberi indikator kepada kedudukan dan masa depannya sebagai Perdana Menteri. Takdir kalau GRS gagal merampas Sabah daripada tangan Warisan - Plus, ia memberi petunjuk masa depan politik PM itu kabur dan kerajaan PN makin goyah.

Keterdesakan Muhyiddin itu terserlah apabila tanpa segan silu beliau terus bermain dengan rasuah politik kepada pengundi. Kenyataan dan janjinya Piraum ke 15 akan diadakan segera sekiranya GRS menjelaskan betapa terdesaknya Muhyiddin mahukan kemenangan sampai tarikh Piruam pun dijadikan modal kempen. Umpan politik murahan mengumumkan projek itu dan ini kepada rakyat Sabah menambahkan lagi akan kegalauannya.  

Isu dimainkan.

Menyentuh mengenai isu-isu dibangkitkan sepanjang pilihan raya itu, ia berlegar dengan isu-isu Sabah untuk Sabahans. Warisan pimpinan Shafie menjadikan isu Sabah untuk rakyat Sabah sebagai isu utama. Warisan berjanji untuk mempertahankan kekayaan dan segala potensi dan sumber kekayaan yang ada di Sabah untuk rakyat Sabah. Dalam masa sama beliau mencemuh dan mengecam cara politik Kuala Lumpur yang mahu menjadi penentu kepada masa depan Sabah dan mengajar rakyat Sabah.

Rancangan Musa Aman untuk mengambil alih kerajaan dengan cara mengemukakan SD sokongan wakil rakyat, disifatkan ia terilham daripada Kuala Lumpur. Tindakan Musa itu dijadikan isu oleh Warisan bagi membakar rakyat agar tidak mudah tunduk kepada kehendak Kuala Lumpur.  

Sementara isu yang dimainkan oleh GRS pula mempersoalkan pemerintahan Warisan selama 22 bulan lalu dimana ia dikatakan telah merugikan rakyat Sabah kerana kerajaan Warisan pimpinan Shafie gagal berfungsi sebagai kerajaan dengan baik. Shafie dituduh sebagai tidak pandai mentadbir.

Namun isu berkenaan hambar dan dengan mudah dapat ditangkis sendiri oleh rakyat apabila kerajaan Warisan dapat membawa beberapa perubahan drastik yang sudah lama ditagihi oleh rakyat. Langkah Shafie memberi tanah seluas lima hektar seorang kepada rakyat adalah antara agenda kerajaan Warisan yang melekat di hati rakyat. Sentimen tanah sangat penting di Sabah kerana rata-rata rakyat masih laparkan tanah sedang para pemimpinnya memiliki ribuan hektar tanah. 

Lain-lain isu yang turut sama dimainkan ialah soal kaum, yang mana isu ini sudah menjadi isu klise tetapi masih sedap didendangkan. Pola pengundian kali ini tampaknya tidak jauh daripada apa berlaku sebelum ini, pengundi akan memberikan keutamaan kepada pihak yang memberi keuntungan kepada etnik masing-masing. Selebihnya pengundi akan melihat kepada ketokohan pemimpin parti dan juga populariti calon yang diletak. Calon-calon sang kodok sudah pasti dinafikan.

Seperti biasa kelompok pengundi Bumiputera Islam (Melayu) akan lebih cenderung kepada BN dan PN manakala kelompok Bumiputera bukan Islam (Dusun, Kadazan, Murut, Cina) lebih dekat dengan Warisan. 

Dilihat dari sisi lain. pilihan raya di Sabah itu adalah pertandingan tiga batang tubuh utama, SHAFIE APDAL sebagai penyandang jawatan KM, BUNG MOKHTAR RADIN yang diangkat Umno sebagai bakal KM dan HAJIJI MOHD NOOR daripada Bersatu yang juga diumum sebagai bakal KM. Dari ketiga mereka ini Shafie ternyata lebih menyerlah baik berpengalaman sebagai KM dan juga seorang pemimpin yang ada visi dan misi tersendiri.  

Pertanyaan yang tergalang dalam kepala umum kini parti atau tokoh manakah akan menang dan diangkat menjadi KM kelak? Walaupun masih awal untuk ditelah kerana kempen masih berjalan dan ada tersisa empat hari lagi, tetapi daripada cula dan gambaran awal sudah dapat dilihat.

Tokoh-tokoh atau calon yang popular dan juga sudah dapat dicerapi menerusi majlis-majlis kempen mereka yang disiarkan secara langsung di media sosial. Kalau berpandukan kepada laporan daripada media sosial yang dilihat bebas dan tidak terikat dan memiliki agenda dengan mana-mana pihak, Shafie Apdal ternyata lebih popular berbanding dengan dua calon KM, Bung Mokhtar Radin dan Hajiji. 

Walaupun ada beberapa nama lain yang senior dalam politik turut sama bertanding dan ada cita-cita dan diharap untuk menjadi KM seperti Salleh Said Keruak, Hanifa Aman, tetapi kedua nama ini jauh terperosok di belakang. Harapan untuk mereka jadi KM, bukan mudah sebaliknya kalau mereka lekat (menang) kerusi mereka pun dikira sudah berjaya. 

Merumus berasaskan segala maklumat dan pemerhatian yang ada hari ini, Warisan - Plus ke hadapan berbanding GRS. Saya tidak mahu menjatuhkan berapa jumlah kerusi yang akan dikutip oleh semua gabungan tetapi cukup kalau saya mengatakan Warisan - Plus kini sudah mampu mencapai separuh daripada semua73 kerusi dipertandingkan. Untuk Warisan sendiri diyakini ia akan mengutip sekurang-kurang 30 kerusi daripada 46 kerusi dipertandingkan. 

Sudah pasti untuk membentuk kerajaan Warisan mengharapkan kerusi tambahan daripada UPKO, DAP dan PKR. Setidak-tidaknya tiga rakannya ini akan menyumbangnya sekurang-kurangnya, 15 kerusi. 

Sementara di pihak GRS diramalkan mengutip antara 20 hingga 25 kerusi, melalui Umno lapan (8), Bersatu tujuh (7) sementara PBS tujuh (7) dan lain-lain satu atau dua. 

GRS dilihat sukar untuk menjamin menang di beberapa kerusi apabila berlaku pertandingan sesama sendiri di 22 kerusi. Kecuali ada perubahan drastik di pihak GRS menyelesaikan pertindihan kerusi itu disaat akhir. Sekiranya penyelesaian itu gagal ia memarahkan keadaan GRS. Harapan untuk GRS melentikkan keadaan itu agak payah.

Pihak mana yang bakal memenangi Pirane itu diramalkan tidak akan mencapai majoriti 2/3 di Dun Sabah, kecuali selepas ini ada wakil rakyat berhasrat meneruskan budaya dan tradisi politik lompat lompatan di negeri itu seperti sebelum ini barulah kerajaan itu nanti memperolehi majoriti 2/3. 

Tegasnya Warisan Plus kini berada dalam keadaan selesa untuk memenang Pirane itu. Cuma satu hal yang ditakuti dan ia boleh merubahkan suasana yang ada kini, ialah taburan wang ringgit. Ada maklumat mengatakan berdasarkan kepada permainan yang sudah-sudah, wang ringgit akan diturunkan kepada pengundi di saat-saat akhir. Kalau aktiviti terkutuk ini dilakukan ia akan mengubah keadaan sekarang ini kerana di pihak Warisan - Plus tidak mempunyai wang ringgit sebanyak GRS. 

Mengenai kewujudan parti lain yang ikut sama bertanding seperti, Parti Cinta Sabah (PCN) pimpinan Hanifa Aman dan parti USNO, tidak ada apa yang menarik untuk diperkatakan kerana kewujudan mereka tidak memberi kesan besar melainkan kerana ingin ikut-ikutan berpilihan raya sebagai membuang angin sempuk dalam tempoh pandemik Coronavirus ini

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.