Ku Li, Mat Sabu jumpa Mahathir, sumber dakwa bincang isu kerajaan perpaduan
PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dikatakan masih berusaha mengetengahkan idea kerajaan perpaduan, selepas gambar memaparkan pertemuannya dengan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, dimuat naik di laman media sosial.
Sumber yang rapat dengan Mahathir mendakwa perbincangan itu menyentuh cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan.
“Ia cadangan ke arah kerajaan perpaduan. Mahathir ulang balik apa yang dia pernah katakan dahulu. Ia satu-satunya cara untuk terus bergerak ke hadapan dan ikut saranan Agong,” katanya.
Sumber yang rapat dengan Tengku Razaleigh hanya boleh mengesahkan pertemuan tersebut. “Gambar itu tulen, memang kedua-duanya bertemu pada tarikh itu”.
Turut dimuatnaik di laman media sosial itu gambar pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
FMT sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak Mohamad yang ketika berita ini ditulis dipercayai sedang bermesyuarat dengan pimpinan Pakatan Harapan, dan pihak Zulkifli.
Sumber mendakwa Dr Mahathir Mohamad ditemui Tengku Razaleigh Hamzah pada 26 Okt dan Mohamad pada 28 Okt.
Katanya, pertemuan itu tidak secara khusus membincangkan pelaksanaan “kerajaan perpaduan”, kerana ia bergantung kepada kesediaan Umno dan Amanah.
“Mahathir hanya cakap sahaja. Bergantunglah macam mana mereka hendak buat,” katanya.
Mahathir pertama kali mencadangkan kerajaan perpaduan bagi menyelesaikan kemelut politik ketika beliau menggalas jawatan perdana menteri secara sementara selepas peletakan jawatannya pada Februari.
Sebelum ini, Agong mengingatkan semua ahli politik henti bermain politik yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.