Mahathir The Journey sasar pasaran antarabangsa
KUALA LUMPUR: Filem biografi Mahathir The Journey arahan Profesor Dr
Hatta Azad Khan yang mengangkat kisah perjuangan bekas Perdana Menteri,
Tun Dr Mahathir Mohamad bukan hanya ditayangkan di Malaysia, malah
mensasarkan beberapa negara luar seperti China, Jepun dan Asia Barat.
Diterbitkan oleh Reliance Media Group Sdn Bhd, naskhah berkenaan berbeza dengan filem sebelumnya berikutan mengangkat kisah perjuangan selepas meletakkan jawatan pada 2003, selain bekas pemimpin itu turut berlakon dalam beberapa babak penting.
Bagaimanapun, filem yang diterajui Azhar Amir sebagai Dr Mahathir, manakala penyanyi dan pelakon, Fauziah Latiff memegang peranan Tun Dr Siti Hasmah yang sepatutnya ditayangkan pada Julai lalu terpaksa ditunda tahun depan berikutan penularan pandemik COVID-19.
Ketua Bahagian Pengurusan Produksi, Taha Wahid berkata, filem yang memaparkan perjalanan mantan Perdana Menteri dari 2003 hingga 2018 itu sudah selesai menjalani penggambaran, Februari lalu selama dua bulan.
Namun, katanya, tayangan yang sepatutnya dibuat pada bulan kelahiran Dr Mahathir pada Julai lalu terpaksa ditunda berikutan Reliance Media Group enggan menanggung risiko sekiranya tayangan diteruskan.
"Filem yang menampilkan Azhar sebagai teraju utama mensasarkan tayangan ke pasaran luar negara. Kami sudah berbincang dengan pengedar filem di China dan mendapat persetujuan tayangan filem.
"Urusan bersama pengedar di Jepun dan Asia Barat pula akan diadakan sebaik sahaja filem Mahathir The Journey siap sepenuhnya. Kini, kami masih dalam peringkat pos-produksi dan memasukkan lagu.
"Persetujuan pengedar di China sudah pun termeterai, tetapi mereka masih menutup panggung wayang. Jadi, keputusan terbaik menangguhkan terlebih dahulu tayangan filem hingga situasi COVID-19 pulih sepenuhnya," katanya kepada BH Online.
Taha berkata, sasaran utama menerbitkan filem Mahathir The Journey untuk pasaran luar negara.
"Kami tahu, penonton tempatan kurang gemar filem kisah benar atau biografi. Bagaimanapun, memandangkan Dr Mahathir adalah pemimpin negara dan masih hidup, jadi filem ini tetap akan ditayangkan di Malaysia sebagai penghargaan untuk seorang pemimpin.
"Bagaimanapun, kami tidak mahu sekiranya ditayangkan di Malaysia boleh terdedah dengan risiko lanun cetak rompak. Jika filem boleh diakses di saluran YouTube dan pelbagai platform digital, jadi tiada guna menjalin kerjasama dengan pengedar luar negara.
"Kami tidak risau sekiranya sambutan di Malaysia tidak memberangsangkan kerana faham selera penonton. Tetapi, apa yang boleh dikatakan, usaha sama yang terjalin dengan China, Jepun dan Asia Barat sudah cukup memberikan pulangan baik untuk kami," katanya.
Katanya, proses menyiapkan filem berkenaan berjalan seperti dirancang. Pihak produksi tidak berdepan dengan masalah sepanjang penggambaran.
"Cuma, penggambaran yang sepatutnya dilakukan di Hiroshima, Jepun terpaksa bertukar lokasi di Langkawi berikutan COVID-19 yang menyerang seluruh dunia ketika itu.
"Saya akui proses menyiapkan filem biografi ini bukan mudah kerana perlu memaparkan situasi sebenar yang berlaku," katanya.
Beliau berkata, filem yang menelan belanja RM6 juta itu menggunakan khidmat 200 pelakon tambahan untuk babak di depan KLCC, begitu juga babak kempen pilihan raya di Langkawi.
Bagi babak perhimpunan Bersih, Taha berkata, pihak produksi mencetak 200 pasang baju kempen berwarna kuning semata-mata mahu memastikan babak filem lebih realistik.
"Ini antara kesukaran yang dihadapi apabila menerbitkan filem berdasarkan kisah benar. Kami perlu memastikan adegan yang dipaparkan kelihatan realistik.
"Malah, kami meminta jasa baik Hotel Sheraton membina semula 'set' yang sama ketika Dr Mahathir berada di hotel berkenaan bagi menunggu keputusan rasmi Pilihan Raya Umum pada 2018.
"Kos membina semula 'set' berkenaan menelan belanja RM700,000. Atas budi bicara dan perbincangan, hotel bersetuju menaja tanpa mengenakan sebarang bayaran," kata Taha.
Katanya, pencarian pelakon juga mengambil masa yang agak lama, hampir dua bulan. Ini berikutan, ingin memastikan pelakon yang dipilih memiliki wajah seiras dan mampu membawa karakter yang diketengahkan.
"Kami tidak peduli sekiranya ada yang ingin mempertikaikan filem ini. Niat kami hanya ingin memaparkan kisah hidup seorang 'living legend'.
"Filem Mahathir The Journey juga tidak berunsur politik. Sebagai warga seni, kami tidak mahu masuk campur urusan politik, sebaliknya hanya mahu bertindak sebagai pencerita.
"Skrip filem yang dirombak sebanyak 12 kali turut mendapat kelulusan 100 peratus daripada Pejabat Perdana Menteri ketika itu. Bahkan, pegawai khas Dr Mahathir, Sufi Yusof sendiri meneliti dialog dan babak ke babak untuk memastikan tiada kesilapan fakta," katanya.
Selain Azhar dan Fauziah, filem Mahathir The Journey turut dibintangi Afique Hussain (Mukhriz Mahathir), Ning Baizura (Marina Mahathir), Hilal Azman (Anwar Ibrahim), Dian P Ramlee (Dr Wan Azizah), Lisdawati (Nurul Izzah), Dazrin Kamaruddin (Syed Saddiq) dan ramai lagi.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.