https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mustahil harapkan pertemuan empat mata Mahathir-Anwar?


Oleh ZAKARIA MUSA 

Membaca “keluhan” Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad, mengenai kesatuan dan persefahaman di antara kumpulan berbeda pembangkang amat menyentuh perasaan saya.

Pastinya ia merujuk senario semasa yang menyaksikan semakin renggang dan bertambah tajam pergeseran di antara kem Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim. Dua tokoh besar ini kelihatan sukar untuk diserasikan lagi; penyokong masing-masing kerap bertegang leher, malah ada ketikanya umpama berkerat rotan.

Memang diakui Mahathir-Anwar menyimpan sejarah dan memori pahit-manis yang cukup panjang. Pertarungan mereka meninggalkan kesan yang begitu pedih dan perit. Seolah-olah sukar dijernihkan semula. Namun, demi menyelamatkan negara daripada regim kleptokrasi Najib Razak, kedua-duanya boleh melupakan perseteruan dan menjalin kerjasama baharu menjelang PRU14.

Tempoh berbulan madu itu tidak lama. Isu peralihan kuasa yang termeterai pada Januari 2018 merobeknya. Syak wasangka dan saling mencurigai melorong kepada permusuhan yang meretakkan Pakatan Harapan.

Selepas kerajaan PH tumbang penghujung Februari 2020, hubungan Mahathir-Anwar bertambah dingin. Mahathir khususnya terus melemparkan dakwaan dan pandangan yang agak negatif kepada Anwar.

Percubaan untuk merebut kembali Puterajaya di kala kerajaan majoriti tipis Muhyiddin Yassin bergolak hebat digagalkan, antara lain, kerana pembangkang sukar mencari persepakatan tentang calon perdana menteri. Sekali lagi, dua tokoh besar ini — Mahathir dan Anwar — memilih jalan berbeda.

Ya, tiada imej perpaduan dan kesatuan di antara mereka. Jika Perikatan Nasional dan Barisan Nasional, juga Muafakat Nasional, berbalah serta bersengketa sesama sendiri, Mahathir-Anwar tambah lagi! Peluang merebut kembali kuasa atau mandat rakyat yang dicuri telah disia-siakan.

Sedih sekali apabila Khalid Samad berkata, apa yang paling menyedihkan sekarang adalah perbalahan antara pihak-pihak dalam PH dan penyokongnya sehingga tidak boleh berjumpa.

“Yang paling menyedihkan adalah apabila kita tidak dapat selesaikan perbalahan yang meruncing antara kita hingga tidak bertemu. Bahkan ada pula yang menganggap ia tak perlu diselesaikan.

“Kita kena faham suasana sekarang sudah berubah berbanding sebelum PRU14 lalu. Dahulu BN, Pas dan PH bertanding tiga penjuru. Sekarang Pas dan Umno bergabung dan Bersatu yang bersama kita dahulu sudah bersama dengan mereka.

“Dalam keadaan ini, kita akan kalah kalau kita tidak bersatu. Suasana ini akan mempengaruhi undi Melayu. Ia takkkan selesai kerana tak bertemu,” kata Khalid dalam wawancara khas dengan Jom Channel, baru-baru ini, seperti dilaporkan Malaysia Dateline.

Malah dikhabarkan ada sebahagian penyokong PH sendiri yang bertepuk tangan apabila calon Pejuang kalah dalam PRK Slim dan Wawasan Plus kalah PRN Sabah.

“Bila Warisan Plus kalah di Sabah ada di kalangan kita juga bertepuk. Mungkin orang yang berpura-pura memihak kepada kita. Mereka kata, oleh itu Shafie Apdal tak layak jadi PM, nak menang Sabah pun tak boleh. Ini satu yang sangat negatif dan menyedihkan saya,” kata Khalid lagi.

Berdasarkan tinjauan rambang di media sosial, tergambar begitu sukar untuk mendamaikan penyokong Mahathir dan Anwar. Malah Mahathir ditonjolkan sebagai perancang utama menyebabkan kerajaan PH tumbang demi memastikan Anwar tidak dapat menjadi perdana menteri.

Seolah-olah majoriti rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap Mahathir. Pandangan yang lebih ekstrem pula, lebih baik PH bekerjasama dengan Umno dan Najib, berbanding Mahathir yang ditohmah pengkhianat.

Maknanya, Mahathir kini sudah dianggap musuh dan perlu sama-sama diperangi. Lantaran itu, mana-mana pihak yang dilihat berdamping dan bersama Mahathir, misalnya Pejuang dan Warisan, juga dianggap musuh. Begitu juga dengan pihak yang dikatakan masih menaruh kepercayaan kepada Mahathir seperti AMANAH dan DAP, juga dicurigai.

Situasi ini tentunya tidak sihat buat koalisi pembangkang. Dengan kata lain, PH semakin ramai musuh dan mengecil rakan-rakannya. (Tak pasti jika ia memperolehi kawan-kawan baharu daripada Umno pula!)

Tidak dapat dibayangkan senario PH15 jika pembangkang gagal menguruskan perbedaan sesama sendiri, khususnya berkaitan usaha dan gerak kerja untuk memikat pengundi Melayu luar bandar.

Namun situasi yang nampak sulit ini tidak seharusnya membuatkan kita mudah kecewa. Setiap cabaran dan halangan, biar sebesar mana sekalipun, jika ditekuni dan ditangani dengan bijaksana, dalam kerangka besar dan holistik, insya Allah ada jalan keluarnya. Dinamika siyasah sering menawarkan peluang lebih baik asalkan keputusan dan pendirian politik yang diambil tidak tersasar. Syaratnya, muafakat dan persepakatan jangan terburai.

Usahakanlah pertemuan dan rundingan di antara kumpulan yang berselisih. Sedih sekali mendengar bahawa untuk berjumpa pun amat payah. Saya membayangkan ada majlis santai minum petang di antara Mahathir dan Anwar, pertemuan empat mata, demi menyelamatkan negara tercinta.

Reaksi penyokong sudah dapat dijangka. Biarkanlah mereka meluahkan rasa. Masing-masing ada pandangan dan cerita sedih tersendiri. Yang penting sosok Mahathir dan Anwar. Berkorbanlah. Bertolak-ansurlah. Leburkan ego dan dendam. Usah bakar Malaysia yang sepatutnya meneduhi setiap warganya ini.

Mungkin juga Shafie Apdal, yang masih dianggap calon berpotensi sebagai perdana menteri oleh Mahathir boleh berperanan penting. Kombo Anwar-Shafie mungkin sesuai dipraktikkan sekarang. Dalam politik, tiada jalan mati, ‘kan?

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.