https://critoxium.com/shop/

Terkini

COVID-19: Dewan Rakyat bersidang separuh hari minggu ini


KUALA LUMPUR: Selepas sesi Dewan Rakyat semalam ditangguhkan sehingga jam 1 tengah hari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan hari ini sekali lagi membentangkan usul sama.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu, selari dengan Peraturan Mesyuarat 12 (1), mencadangkan agar sesi persidangan untuk 3, 4 dan 5 November bermula dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.
Sehubungan itu, persidangan Kamar Khas turut diawalkan kepada pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari atau setelah selesai urusan dalam aturan urusan mesyuarat Kamar Khas, bermula hari ini hingga Khamis.
Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat harian biasa, persidangan Kamar Khas dijalankan pada pukul 2.30 petang.
“Parlimen tetap diteruskan dengan pengubahsuaian masa dan takwim sebagai langkah berhati-hati pencegahan berkaitan COVID-19 selaras dengan nasihat pakar dan badan profesional,” Takiyuddin menjelaskan melalui ciapan di Twitter beliau selepas itu.
Usul penangguhan yang dikemukakan Takiyuddin sebelum sesi soal jawab itu disokong Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.
Usul itu kemudiannya mendapat reaksi daripada beberapa Ahli Parlimen yang meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menjelaskan mengenai status beberapa petugas di Parlimen yang dilapor positif COVID-19.
BACA: Dewan Rakyat lulus usul mesyuarat dipendekkan hari ini
Dalam pada itu, ketika bangkit mencelah usul pertama Takiyuddin, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mohon penjelasan mengenai seorang Polis Bantuan di bawah Jabatan Perdana Menteri, yang disahkan positif COVID-19 ada bertugas di Parlimen, dan menimbulkan risiko kepada staf yang lain.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun bagaimanapun menjelaskan anggota polis berkenaan tidak ditempatkan di Parlimen.
Semalam media melaporkan, anggota polis berkenaan merupakan antara tujuh yang didapati positif COVID-19 susunan saringan yang dilakukan di Parlimen pada 28 November lepas.
Selain itu, Senator Ras Adiba Radzi turut memaklumkan bahawa pegawai khas beliau yang merupakan adiknya sendiri Ras Afiona Radzi turut sah positif COVID-19

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.