https://critoxium.com/shop/

Terkini

Covid-19 talian hayat kerajaan tebuk atap?


Oleh RAYUSA

Permohonan Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 Oktober lalu kepada Yang di-Pertuan Agong (YdPA), Al-Sultan Abdullah Ri’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melaksanakan darurat di seluruh negara gagal kerana tidak mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

Dalam kenyataan media oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dua hari kemudian, YdPA berpendapat tiada keperluan pada masa sekarang untuk baginda mengisytiharkan darurat di Malaysia atau mana-mana bahagian negara ini.

Al-Sultan Abdullah membuat keputusan tersebut setelah menghalusi permohonan itu, dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu, serta melihat situasi semasa negara. Baginda merasakan kerajaan sekarang, Perikatan Nasional (PN) telah berjaya menangani Covid-19 dengan baik, dan berkesan.

YdPA juga amat meyakini keupayaan kerajaan PN di bawah pimpinan Muhyiddin untuk terus melaksanakan dasar, dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung penularan berterusan wabak maut ini.

Namun begitu, Seri Paduka Baginda turut mengingatkan ahli-ahli politik untuk segera berhenti bermain politik yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Dalam mesyuarat khas yang Muhyiddin pengerusikan di Putrajaya, Kabinet kerajaan PN menyetujui cadangan melaksanakan darurat bagi menangani penularan Covid-19. Alasan yang digunakan untuk menyokong cadangan itu ialah ketidaktentuan berterusan dari luar, dan dalam.

Dalam kenyataan media itu juga, YdPA turut meminta ahli-ahli Parlimen menghentikan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menggugat kestabilan kerajaan sedia ada.

Dengan keputusan Al-Sultan Abdullah itu, isu darurat senyap, biarpun peringatan baginda tidak dihiraukan oleh Umno yang terus sibuk mendesak Muhyiddin dalam isu pelantikan Timbalan Perdana Menteri.

Rupa-rupanya, itu hanya sementara. Cadangan pelaksanaan darurat kembali menggema. Selain cadangan veteran Umno, Tan Sri Rais Yatim agar Muhyiddin mencuba sekali lagi mengemuka cadangan pelaksanaan darurat kepada YdPA, ia di’panas’kan kembali oleh Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Kelihatan seperti Muhyiddin berpeluang memenuhi hasratnya melaksanakan darurat sekali gus terus (bertahan) menerajui Kerajaan PN.

Muhyiddin yang mengangkat sumpah sebagai PM selepas peristiwa ‘Langkah Sheraton pada Februari lalu sedar beliau menghadapi risiko dijatuhkan.

Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau memiliki sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu, sementara pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah bergabung dengan bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyingkirkannya.

Banyak pihak, terutama rakyat sangat bimbang dengan kesan dua pilihan raya yang akan diadakan itu. Kerisauan tersebut memang berasas kerana PRN Sabah pada 26 September lalu terbukti menjadi antara faktor utama melonjakkan kembali kea Covid-19.

Memang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dipatuhi semasa PRN Sabah itu.

Malangnya, SOP itu dilanggar semasa dan selepas PRN Sabah. Ramai, termasuk ahli politik serta menteri Kerajaan PN tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari Sabah.

Akibatnya (semua kita maklumi dan alami) kes harian Covid-19 melonjak tinggi – di sepanjang Oktober lalu, tercatat tiga angka, tiada langsung dua, apatah lagi satu angka – malah jumlah tertinggi dicatatkan pada 26 Oktober lalu, iaitu 1,240 kes!

Walau bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan bahawa PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak tidak dapat dielakkan.

PRK Batu Sapi selaras dengan Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan pilihan raya mesti diadakan dalam masa 60 hari selepas kekosongan kerusi sesuatu Parlimen.

PRN Sarawak pula selaras dengan Fasal 4 Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak yang memperuntuk PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jelas Muhyiddin, PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak hanya boleh ditunda oleh SPR jika negara diumumkan darurat. Selagi tiada pengisytiharan darurat, SPR tidak boleh menangguhkan kedua-dua pilihan raya itu.

Mengenai PRK Batu Sapi, SPR telah pun menetapkan tarikh penamaan calon, serta pengundiannya, dan itu terikat dengan ketetapan Perlembagaan. Ia akan diadakan pada 5 Disember depan.

Mengenai PRN Sarawak pula, ia bergantung pada pembubaran Dun Sarawak oleh Yang di-Pertua Negeri (atas nasihat Ketua Menteri).

Menurut mantan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, jika Dun Sarawak tidak dibubarkan, ia akan terbubar sendiri pada Jun 2021. Justeru, kata Wan Ahmad, PRN perlu dibuat dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran.

PRK Batu Sapi yang bakal berlangsung kira-kira sebulan dari sekarang memang tidak dapat dielakkan lagi.

Sebaliknya, PRN Sarawak ada masa lapan bulan lagi sebelum terbubar sendiri. Jika serangan Covid-19 belum berjaya ditangani, maka ia tidak perlu disegerakan. Tunggu sahaja sehingga penghujung tempoh hayat Dun, dengan harapan Covid-19 telah terkawal pada tahap minimum.

Jika kes wabak pandemik masih tinggi, dan Dun terbubar sendiri, tambah Wan Ahmad, Perlembagaan (Negeri) masih ada dua bulan sehingga Ogos (60 hari dari tarikh Dun terbubar) untuk SPR menjalankan pilihan raya.

Menurut Muhyiddin dalam perutusan beliau pada 31 Oktober lalu, jika darurat diisytiharkan di Batu Sapi dan Sarawak mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, kedua-dua pilihan raya itu boleh ditunda sehingga Covid-19 berakhir.

Apakah harapan rakyat sekarang? Sudah tentu mengharapkan wabak pandemik sagera berakhir, dan ekonomi negara kembali pulih. Mereka telah bosan dan mual dengan pergeseran ahli politik.

Cuma, mereka sukar mengelakkannya kerana saban hari media tetap menyiarkan pergolakan politik tersebut yang memang berkait dengan kehidupan.

Ia sukar dihindari kerana akta dan peraturan, terutama arahan Perintah Kawalan Pergerakan (keseluruhan) sejak 18 Mac lalu oleh Kerajaan PN menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia (KPM). Nasihat dan pesanan SOP juga dari KKM.

Baik MKN, KPM dan KKM, semuanya di bawah kerajaan PN yang pastinya dalam kawalan PM. Menteri dan PM memang ahli politik.

Adakah Kerajaan PN juga benar-benar mengharapkan Covid-19 terhapua, dan ekonomi negara pulih?

Saya fikir Kerajaan PN seperti (sengaja) mahu kekal berkuasa dan suka menghadapi Covid-19. Jika bagi rakyat, Covid-19 memutuskan hayat/riwayat hidup mereka, bagi Kerajaan PN ia menjadi talian hayat untuk terus memerintah Malaysia.

Sama ada meneruskan PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak atau melaksanakan darurat, kerajaan PN berpeluang terus berkuasa. Rakyat yang menderita akibat wabak pandemik.

Mengadakan PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak bererti mengundang petaka. Covid-19!berterusan, dan rakyat terpaksa berkurung lagi. Menerima bantuan Kerajaan PN yang mahukan sanjungan.

Melaksanakan darurat pula menggantung Parlimen kerana dikatakan ia bukan seperti darurat biasa. Apabila Parlimen digantung, tiada sidang Dewan Rakyat dan segala yang berkaitan dengannya tidak dapat dilakukan.

Tiada undi tidak percaya terhadap PM yang sekali gus menyelamat/mengekalkan kerajaan PN. Selagi Covid-19 masih ada, kerajaan PN terus bertahan. Lebih lama, lebih bagus baginya! Seumpama talian hayat.

 *RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.