https://critoxium.com/shop/

Terkini

Komplot khianat Muhyiddin-Azmin-Hamzah makan diri


Oleh ZAKARIA MUSA 

Meskipun Umno sudah isytihar gencatan politik, tidak lagi membuat tuntutan agihan jawatan lebih strategik, serta mendukung kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional, namun Muhyiddin Yassin tetap gelisah dan rimas. Majoriti tipis dua undinya sukar dipertahan hanya beralaskan “janji-janji manis”.

Titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru semua pihak — dalam kerajaan dan pembangkang — agar tidak menggugat kestabilan politik dan menyokong Belanjawan 2021 mungkin boleh mententeramkan gejolak perasaan perdana menteri, namun bagi seseorang yang pernah melakukan aksi pengkhianatan, ketakutan langkah sama berulang buat dirinya sentiasa menganggu tidur.

Semuanya sibuk mengatur strategi demi kepentingan dan survival parti masing-masing. Menunggu saat musuh atau saingan nampak alpa, leka atau tersilap langkah, pasti senjata yang sentiasa diasah tajam bakal “dibasahi darah”.

Koalisi parti-parti dalam kerajaan PN, khususnya Umno-Bersatu tidak pernah menemui jalan damai; kejujuran jauh sekali. Segalanya sekitar permainan kuasa elit politik yang penuh tipu muslihat.

Umno pasti tidak dapat bertahan lama meredakan amarah para pemimpin dan penyokongnya melihat Muhyiddin dan Azmin Ali membuli serra menguasai segala sumber pemerintahan.

Bersatu dilihat mahu membolot semua peluang sekali gus menyekat peluang untuk Umno segera pulih menerajui kerajaan. Sesungguhnya Umno sentiasa dibayangi keresahan kerana dipaksa menjadi sekutu yang cukup terbatas kuasanya. Umno mahu kembali berkuku seperti zaman keagungannya selama lebih 60 tahun berkuasa.

Umno juga menyedari, ia sedang berdepan dengan seteru yang licik; bagai bertemu buku dengan ruas. Tiga serangkai Muhyiddin, Azmin dan Hamzah Zainuddin telah terbukti berjaya menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan, tanpa disedari perancangan mereka. Kini, dengan jawatan-jawatan lebih strategik dan berpengaruh, tentulah semakin mudah Umno diperkotak-katikkan.

Umno mungkin lebih selesa bertahaluf dengan Pas dan membentuk Muafakat Nasional tanpa banyak karenah. Meskipun Pas juga mempunyai rekod buruk bersama gabungan politik yang disertainya, terutama semasa Pakatan Rakyat, namun ia lebih mudah dibaca dan dijangka. Berbanding dengan pemimpin-pemimpin Bersatu, seperti Muhyuddin, Azmin dan Hamzah yang juga berasal dari Umno, “ilmu persilatan” mereka sama.

Rekod gerombolan “tiga pengkhianat” itu bukan sahaja menimbulkan kegerunan tetapi juga sikap berwaspada regu terbaharu, dan menghilangkan kepercayaan di antara satu sama lain. Pengalaman dalam PRN Sabah hanya testimoni awal. Bayangkan menjelang PRU15 yang lebih kritikal nanti, bagaimana rupanya kerjasama rapuh dan goyah itu.

Muhyiddin berdepan tentangan getir, daripada dalam dan luar. Kombinasi faktor dalaman dan luaran itu boleh bertukar menjadi serangan hendap yang membunuh.
Sidang Parlimen kali ini diharap dapat membincangkan isu-isu kritikal rakyat berdepan pandemik wabak maut Covid-19 dan impak buruk ekonomi, tetapi sayang sekali, kelompok pengkhianat lebih utamakan kedudukan politik mereka.

Hatta Istana Negara pun mahu diheret sama, atas nama cadangan perisytiharan Darurat. Syukur, Baginda Agong tidak berkenan dengan nasihat perdana menteri itu.

Ramai percaya barisan pembangkang, khususnya ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan, Warisan dan Pejuang, akan meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan tetapi isu keabsahan kerajaan juga penting.

Selain membahaskan Belanjawan 2021 secara terperinci dan konstruktif, ruang yang diperuntukkan undang-undang bagi mencabar legitimasi kerajaan harus dimanfaatkan.

Muhyiddin berpeluang mempertahankan kerajaannya dengan segala kebijaksanaan bagi menarik sokongan termasuk daripada pembangkang. Masakan Azmin dan Hamzah yang licik itu tidak berupaya pertahankan kerajaan sendiri, walhal mereka mampu menggulingkan pemerintahan Mahathir Mohamad Februari lalu.

Namun, umum melihat regu Azmin-Hamzah lebih merupakan liabiliti kepada Muhyiddin. Komplot khianat mereka sukar dilupakan kawan dan lawan. Benarlah, sekali khianat, selamanya tidak selamat.

Kepercayaan tiada lagi. Adat persaingan, ada kalah dan menang, tetapi sama sekali tiada ruang untuk pengkhianatan. Usaha menafikan Anwar Ibrahim sebagai pengganti Mahathir boleh diterima asalkan dalam batas-batas tertentu, tetapi pengkhianatan tetap langkah tercela.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.