Dilema Muhyiddin: Antara kuasa dan rakyat
Braveheart, filem yang memaparkan pertarungan hebat dan sejarah menarik antara Scotland dan England. Mel Gibson memegang watak William Wallace, jeneral berpengaruh dan dihormati rakyat Scotland sehingga dilantik sebagai “Guardian of Scotland”.
Namun, perjuangan Wallace berakhir tragis apabila Robert the Bruce, rakan sekutunya dalam peperangan Falkirk, membelot dan beralih kesetiaannya kepada Raja England ketika itu, King Edward I.
Akhirnya, pada 1305, Wallace ditangkap dan dibunuh.
Tentunya banyak yang boleh dipelajari dari kisah ini. Ternyata kepercayaan terhadap seseorang atau organisasi secara total tindakan sangat berbahaya, kesetiaan yang sukar dinilai mungkin mendatangkan pengakhiran tragis bagi sebuah perjuangan.
Polemik politik tanah air dilihat semakin meruncing. Sejak Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, rakyat Malaysia bersatu hati menerima beliau atas pilihan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Di mata rakyat, beliau ialah pemimpin paling tepat dalam mengemudi negara memerangi pandemik Covid-19. Personalitinya yang mesra, bersahaja dan bernuansa “kebapaan” menenangkan kegusaran rakyat.
Mereka merasakan inilah sosok pemimpin yang benar-benar mewakili mereka, memahami kesukaran yang ditanggung golongan marhaen dan sentiasa tenang meski berdepan situasi getir.
Analoginya persis pasangan yang diatur perkahwinan oleh orang tuanya, namun bibit cinta semakin lama semakin menggebu. Kepercayaan dan kebergantungan rakyat kepadanya kian utuh.
Namun begitu, panas yang disangka sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Mutakhir ini, kemelut politik nasional menampakkan sisi gelap yang meresahkan.
Daripada langkah mengganggu gugat pentadbiran kerajaan Warisan di Sabah yang berakhir dengan pilihan raya negeri sehingga penyebaran Covid-19 secara berleluasa dan pertelingkahan dalaman antara Umno dengan PPBM yang menyaksikan PAS mengaut untung daripada kedua-dua belah pihak. Benteng keyakinan rakyat semakin terhakis.
Rata-rata rakyat keliru dengan apa yang sedang terjadi, malah jika ditanya apakah parti yang mentadbir negara sekarang, gelengan kepala ialah jawapan yang bakal diberi. Ketidakpastian ini sangat berbahaya kerana ia merosakkan sistem kepercayaan yang disemai selama ini.
Paling mengejutkan dan membimbangkan ialah cadangan pengisytiharan darurat kepada Agong atas alasan membendung penularan Covid-19. Namun, atas kebijaksanaan raja-raja Melayu, usulan tersebut ditolak Sultan Abdullah.
Pada hemat saya, pengumuman darurat hanya satu metode bagi menghalang Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri. Ini juga tanda besar membuktikan Muhyiddin kehilangan sokongan majoriti ahli Parlimen dan ada kalangan ahli Parlimen yang menjadi gunting dalam lipatan, membelot kepada kerajaan Melayu Islam ini.
Mungkin Muhyiddin merasakan langkah ini adalah cubaan untuk melindungi rakyat daripada kepimpinan Anwar, namun menidakkan seseorang ke atas apa yang berhak terhadapnya adalah tindakan tidak betul dan tidak berprinsip. Kita mestilah akur dan hormat kepada sistem demokrasi negara serta Perlembagaan.
Pahit bagi saya untuk menelan hakikat berada di bawah tampuk kerajaan Pakatan Harapan, namun kerajaan hari ini juga berdiri atas sokongan dan cara sama. Lalu, apa bezanya kita dengan mereka?
Bukan itu saja, tindakan Muhyiddin mengheret Agong ke kancah pergelutan kuasa ini juga satu tindakan salah, institusi raja tidak boleh dilihat berat sebelah dan mengamalkan sikap pilih kasih. Tindakan ini membahayakan institusi raja kerana dikhuatiri akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepadanya.
Muhyiddin tidak patut meletakkan Agong dalam situasi tidak selesa, sebaliknya beliau perlu membuktikan kepada Agong sokongan mencukupi atau tidak dan memohon untuk berundur secara terhormat, jika perlu.
Ketepikan dahulu soal politik, takhta, pangkat dan kuasa. Keutamaan teratas sekarang ialah rakyat yang terumbang-ambing menggagau pelampung untuk kelangsungan hidup dalam situasi pandemik yang penuh ketidakpastian.
Muhyiddin seharusnya jujur dan berterus terang dengan rakyat. Ambil sedikit masa dan perjelaskan kedudukan sebenar perkara dari hati ke hati, rakyat sedia mendengar.
Jelaskan kepada mereka mengapa kerajaan kini bermasalah dan mengapa beliau harus berundur, siapa yang menjadi Robert the Bruce dalam kerajaan hari ini. Siapakah dalang pengkhianat?
Apakah jenis permintaan sesetengah pemimpin yang tak bisa dikompromi Muhyiddin? Perincikan peranan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak dalam “permainan” ini.
Seterusnya, biarkan rakyat menilai dan ahli Umno menentukan nasib pemimpin ini. Nah, bukankah itu asas demokrasi yang kita pegang dan amalkan?
Rakyat menganggap Muhyiddin ialah pemimpin lain daripada yang lain – pemimpin yang tidak meletakkan dirinya di puncak sehingga sukar didekati dan difahami.
Muhyiddin memperlakukan rakyat dengan matang tanpa menyogok mereka dengan gula-gula. Sosok inilah juga yang didambakan mereka sekarang, bukannya pengecut yang berselindung di sebalik kuasa. Muhyiddin perlu menjelaskan segala-galanya dengan jitu supaya rakyat dapat melihat hala tuju kepemimpinan negara.
Situasi politik tidak menentu akan mempengaruhi ekonomi negara yang sudah berada dalam keadaan tidak stabil. Usahlah keruhkan lagi keadaan sedia ada.
Muhyiddin akan dilihat sebagai juara rakyat dengan berterus terang dan tidak mengambil bentuk atau bayang-bayang mana-mana pemimpin sebelum ini yang hanya menabur janji, tetapi tidak ditepati.
Muhyiddin tentunya tidak mahu dikenang dalam lipatan sejarah sebagai perdana menteri yang taksub kuasa, membelakangkan Perlembagaan dan menganiaya rakyat yang memberi mandat dan kepercayaan kepada pentadbirannya.
Percayalah kepada rakyat dan bukan kepada kuasa, kedudukan atau wang ringgit. Insya Allah, rakyat akan bersamanya.
Aizat Fikri Nasir Fikri ialah bekas timbalan pengerusi Umno London.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.