https://critoxium.com/shop/

Terkini

Peminjam berdepan tunggakan lebih 3 bulan tagih bantuan kerajaan dalam Belanjawan 2021

 


Kerajaan digesa membantu golongan peminjam yang mempunyai masalah bayaran pinjaman tunggakan melebihi tiga bulan dengan bank sehingga ada antara mereka diisytiharkan muflis dan harta dilelong.

Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd Arif berkata senario ini berlaku apabila sumber pendapatan mereka terjejas akibat pandemik Covid-19 terutama mereka yang bekerja sendiri.

“Mereka bukan degil tidak mahu bayar. Mereka mahu bayar ansuran pinjaman, tapi mengikut kadar kemampuan masing-masing, bukan mengikut kadar pinjaman ansuran yang ditetapkan oleh bank,” katanya kepada Bernama.

“Bank sepatutnya bertoleransi dalam memudahkan urusan setiap peminjam yang dalam keadaan tertekan, bukannya ambil tindakan terburu-buru seperti isytihar muflis dan harta peminjam seperti rumah, pejabat dan kereta dilelong, walaupun rayuan dan cadangan telah dikemukakan oleh pengadu” tambahnya.

Rosland berkata penangguhan bayaran balik atau moratorium hanya layak pada peminjam yang tidak ada tunggakan dari tarikh moratarium mula dikuatkuasakan.

“Peminjam yang bermasalah ini sepatutnya diberikan keutamaan moratorium dan buat penjadualan semula ikut kemampuan masing-masing,” katanya sambil menambah pihaknya menerima 50 kes aduan seperti itu setiap hari sejak penularan pandemik.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berharap bantuan prihatin seperti e-dompet dapat diteruskan bagi meningkatkan kuasa membeli pengguna dalam persekitaran pandemik ini, sekali gus merancakkan sektor perniagaan.

“Fomca berpandangan tumpuan utama kerajaan adalah mengurangkan kesan ekonomi yang dihadapi rakyat, jadi adalah perlu bantuan kewangan diberikan bagi membantu menggalakkan rakyat untuk kembali berbelanja.

“Rakyat tidak peduli berapa nilai bantuan diterima, namun harapan mereka ia dapat disegerakan kerana ramai yang agak terhimpit dengan keadaan terkini,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.