https://critoxium.com/shop/

Terkini

Adakah Tok Mat pewaris takhta UMNO?


Oleh Mohsin Abdullah 

Dulu bila orang UMNO bercakap mengenai “Tok Mat” mereka merujuk kepada Mohamad Rahmat. Pemimpin parti yang pernah memegang jawatan setiausaha agung Umno tahun 80-an semasa Dr Mahathir Mohamad menjadi presiden.

Oleh kerana Allahyarham dianugerah gelaran “Datuk”, nama dan gelaran disingkatkan dan terciptalah panggilan “Tok Mat” – satu nama yang mesra.

Kini kalau orang UMNO sebut “Tok Mat” yang mereka maksudkan Mohamad Hasan. Timbalan presiden UMNO sekarang. Beliau dianugerah gelaran “Datuk Seri Utama”. Lantas gelaran dan nama beliau juga disingkatkan. Maka timbullah panggilan mesra “Tok Mat”.

Bercakap mengenai Tok Mat zaman ini, persoalan yang kerap diajukan dalam kalangan ahli UMNO, pemerhati, serta penganalis politik adakah beliau akan naik untuk menerajui parti sebagai presiden Umno? Jika ya, bila?

Persoalan sedemikian mula-mula kedengaran apabila ramai mengeluarkan pandangan UMNO perlu melakukan perubahan dan penjenamaan semula setelah hilang kuasa pada PRU-14.

Dalam kalangan mereka yang menzahirkan pandangan itu, ramai yang melihat Mohamad Hasan sebagai pemimpin paling layak untuk membawa perubahan dalam UMNO. Apatah lagi UMNO ketika itu tercemar dengan dua pemimpin atasan yang berdepan pelbagai tuduuan rasuah di mahkamah.

Masa berlalu cakap-cakap mengenai Tok Mat menjadi pemimpin nombor satu UMNO senyap. Tetapi tidak lenyap. Maknanya persoalan mengenai Tok Mat jadi presiden UMNO “berlegar-legar” walaupun tidak secara lantang dan terbuka.

UMNO seperti kita tahu masih dihantui celar dan calar. Zahid Hamidi selaku presiden penuh masih menghadapi pelbagai tuduhan rasuah di mahkamah.

Bekas presiden Najib Razak pula sudah didapati bersalah atas tuduhan rasuah dan punya banyak lagi tuduhan yang perlu dihadapi di mahkamah. Pun begitu beliau dilihat masih berpengaruh besar dalam parti. Seperti juga Zahid.

Lalu imej tercalar dan tercemar masih melekat pada UMNO. Apa lagi beberapa pemimpin utamanya turut mempunyai kes mahkamah atas tuduhan rasuah.

UMNO pula kini jelas tidak senada dan tidak sepakat mengenai kerjasama dan pembabitan dalam Perikatan Nasional. Muafakat Nasional yang ditubuh UMNO dengan PAS juga kini dikatakan tidak seutuh dulu. Tidak perlu dihuraikan kerana ramai sudah maklum.

Walaupun wabak COVID-19 terus menular, ura-ura timbul semula bahawa PRU-15 akan diadakan segera. Ertinya UMNO perlu tahu apa yang perlu dan mahu dilakukan untuk menghadapi pelbagai cabaran besar.

Adakah UMNO mahu Zahid meneruskan kepimpinannya membawa parti menghadapi “peperangan” mendatang? Atau mahu Tok Mat mengambil-alih?

Menurut penganalis politik, Sivamurugan Pandian, UMNO perlu menentukan sama ada masanya sudah tiba untuk Tok Mat mengambil-alih kerana tidak ada jangka waktu khusus bagi penyerahan atau peralihan kuasa.

Jika pada hemat mereka sekarang masa yang sesuai, mengapa Tok Mat masih belum menjadi presiden?

“Mungkin sekarang bukan waktunya kerana pilihan raya parti is ‘not around the corner’,” kata Siva. Kali terakhir pilihan raya UMNO diadakan ialah pada 2018 dan oleh itu mandat barisan kepimpinan sekarang ialah sehingga tahun depan.

Bagaimanapun untuk Tok Mat mengambil-alih pada waktu terdekat tanpa menunggu pilihan raya parti, presiden mesti mengundurkan diri dan Tok Mat, menurut Siva, boleh memangku jawatan presiden. Mungkin juga UMNO boleh mengadakan satu perhimpuan agung khas untuk mengesahkan perkara berkenaan.

Tetapi ada persoalan penting timbul. “Adakah Zahid akan beri laluan kepada Tok Mat pada waktu ini? Peralihan kuasa mesti licin dan lancar untuk mengelakkan pertempuran dalam kalangan penyokong. Mungkni Zahid mahu beri tumpuan terhadap pilihan raya umum dan elak pertempuran dalaman,” kata Siva.

Apa pun menurut Siva, Tok Mat “telah buktikan beliau adalah ‘presidential material’ atau mempunyai ciri-ciri seorang presiden semasa beliau memangku jawatan itu buat beberapa bulan dulu. Semasa memangku jawatan presiden beliau menerima sokongan padu terhadap langkahnya memulihkan parti setelah kekalahan PRU-14”.

Tok Mat, kata Siva, akan bawa satu imej yang ramai orang (bukan sahaja ahli UMNO) mahu lihat dengan elemen kebangkitan semula dan oleh kerana UMNO memerlukan penjenamaan semula, imej beliau sendiri boleh dimanfaatkan sebagai satu jenama positif.

Di samping itu, menurut Siva, PAS dan PPBM pernah bekerjasama dengan beliau.

Kesimpulannya, dari sudut pandangan Siva, Tok Mat “is the right man for the job”.

Bagaimanapun saya pernah mendengar rungutan dan kritikan dalam kalangan orang UMNO mendakwa Tok Mat “is saying the right things but he cannot deliver”. Ertinya mereka melihat Tok Mat sebgai orang yang “cakap tak serupa bikin”. Atau hanya pandai mengeluarkan kata-kata yang khalayak suka dengar.

Oleh itu bagi mereka Tok Mat “bukan calon presiden”.

Tidak dinafikan juga ada “war lord” atau “panglima perang” dalam UMNO yang tidak mahu Tok Mat mengambil-alih tampuk tertinggi kepimpinan parti.

Menurut Siva, sebagai timbalan presiden, Tok Mat tidak diberi ruang secukupnya untuk menonjol serta membuktikan beliau adalah “next in line for the presidency”.

Tok Mat sebelum ini memegang jawatan menteri besar Negeri Sembilan dan hanya bergerak aktif di pentas politik nasional setelah UMNO-BN tewas pada PRU-14 dua tahun lalu. “Politik peringkat negeri dan nasional memerlukan penyesuaian,” kata Siva.

Kata Siva lagi, “secara kesahannya Tok Mat adalah timbalan presiden iaitu pengganti presiden”. Maksudnya bak kata Inggeris “heir to the throne” atau “pewaris takhta”.

Namun dalam UMNO mewarisi takhta bukan satu kepastian menaiki tahkta. Timbalan presiden tidak semestinya menjadi presiden. Dekat tapi jauh.

Tanyalah Anwar Ibrahim. Tanya juga Musa Hitam.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.