Elak pembelian panik, bekalan barangan mencukupi
PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan pembelian panik, kerana ia boleh memberi kesan kepada kekurangan bekalan barangan keperluan, di dalam pasaran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu
kenyataan hari ini berkata, bekalan barangan di dalam pasaran ketika ini
adalah terkawal.
"Kesemua
anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal
Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara, akan terus giat melakukan
pemantauan setiap hari bagi memastikan bekalan barangan keperluan terus
terjamin buat semua pengguna," katanya.
Nanta
berkata situasi pembelian panik yang dilaporkan di beberapa kawasan di
negara ini mungkin berlaku, berikutan pengumuman khas yang akan dibuat
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin esok mengenai tindakan yang
akan dilaksanakan kerajaan, berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19.
Katanya
situasi itu tidak sepatutnya berlaku, memandangkan bekalan barangan di
semua sektor peruncitan adalah mencukupi dan semua premis perniagaan di
peringkat pengilang, pemborong dan peruncit, masih beroperasi seperti
biasa.
Nanta berkata keadaan ini berbeza
ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama kali dilaksanakan
pada 18 Mac 2020, apabila kebanyakan premis perniagaan terpaksa ditutup
dan memberi kesan kepada keberadaan bekalan barangan keperluan di dalam
pasaran.
Katanya KPDNHEP sentiasa membuat
pemantauan harian terhadap keberadaan barangan keperluan pengguna
termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu
tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, cecair sanitasi tangan dan
pelitup muka.
"Pemantauan 12 barang
keperluan ini membabitkan 2,711 peruncit terpilih daerah, 1,039
pemborong terpilih daerah dan 223 pengilang terpilih daerah yang
merangkumi 222 kawasan Parlimen dan 576 Dewan Undangan Negeri," katanya.
-- BERNAMA




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.