https://critoxium.com/shop/

Terkini

MB Kedah mungkin di Marikh cari sumber mineral, kata senator MIC


Saya merujuk kepada satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang konon nya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) MIC tidak menyokong PAS, malah kebanyakan ahli parti MIC menyokong Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar ini selama dua tahun berada di Malaysia atau di planet Marikh?

Boleh jadi Muhammad Sanusi sibuk mencari sumber mineral nadir bumi atau Rare Earth Elements (REE) bernilai RM 43 trillion di planet Marikh sehingga tidak tahu landskap politik di negara kita pada masa itu.

Ingin saya memberi sedikit peringatan kepada Menteri Besar Kedah. Pada PRU14, PAS bukan merupakan parti komponen didalam Barisan Nasional (BN) malah PAS juga telah bertanding di kerusi - kerusi BN.

Jadi bagaimana pula MIC boleh menyokong PAS pada PRU14 sedangkan PAS pada ketika itu bertanding menentang BN?

Vell Paari, Senator

Ingin saya tekankan bahawa “MIC tidak mempunyai masalah dengan parti PAS” tetapi “mempunyai masalah dengan sikap sombong, bongkak dan tidak beradab Menteri Besar Kedah” dalam beberapa isu melibatkan kaum India di negeri tersebut.

Sebagai contoh, ketika PAS adalah kerajaan negeri di Terengganu, Kelantan dan sebelum ini di Kedah ketika zaman Allahyarham Azizan Abdul Razak, masyarakat India tidak mempunyai masalah dan tidak ada sebarang rungutan terhadap kerajaan PAS.

Saya akui, kadan-kala terdapat perbezaaan pendapat antara masyarakat dengan pimpinan kerajaan negeri, namun selalunya masalah ini dapat diselesaikan dengan baik antara kedua- dua pihak. Malangnya, di zaman Muhammad Sanusi menjadi menteri besar, terdapat kes-kes masyarakat minoriti di Kedah terutama masyarakat India dibuli dan dihina oleh beliau.

Secara jelas ini membuktikan bahawa di dalam DNA Muhammad Sanusi sahaja yang mempunyai masalah dengan kaum-kaum minoriti, terutamanya masyarakat India. Tindakannya itu jauh menyimpang daripada ajaran bekas mursyidul am PAS, Nik Aziz Nik Mat yang sentiasa mengamalkan sikap toleransi di antara kaum dan agama.

Saya ingin mengingatkan Menteri Besar Kedah, bahawa pada 29 March 2019 ketika PAS masih lagi sebahagian daripada blok pembangkang bersama BN, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang telah mengadakan kunjungan hormat ke ibu pejabat MIC.

Abdul Hadi berkata, dia amat berbesar hati apabila disambut penuh kemesraan oleh Presiden MIC, SA Vigneswaran serta kepemimpinan tertinggi parti yang lain.

Malah, Presiden PAS menghargai keterbukaan yang ditunjukkan oleh Presiden MIC dan berharap agar hubungan ini dapat dieratkan dengan kerjasama yang berterusan demi kebaikan serta keharmonian semua kaum dalam negara.

Selain itu, Presiden PAS juga telah mempunyai dialog dengan Persatuan Malaysia Hindhu Sangam pada 15 September 2020 dan turut meluahkan rasa gembira dan menyifatkan perjumpaan berkenaan satu usaha yang baik untuk perpaduan.

Sikap mulia presiden PAS itu telah membuka peluang kerjasama antara PAS dan MIC di mana MIC percaya bahawa PAS akan mempertahankan hak-hak kaum minoriti, di negara ini. Malangnya, kerjasama antara MIC dan PAS seperti yang diharapkan oleh Presiden PAS kini disabotaj dan dimusnahkan oleh menteri besar Kedah.

Muhamamd Sanusi harus ingat bahawa barisan kepimpinan PAS pusat sedang sedaya upaya untuk menonjolkan PAS sebagai sebuah parti yang inklusif serta cuba menarik sokongan dari rakyat berbilang kaum dan agama seluruh negara. Namun sikap menteri besar yang suka membuli di Kedah ini menghantar sisyaeat negatif tentang PAS kepada masyarakat minoriti di seluruh negara.

Segala usaha yang dilakukan oleh presiden PAS untuk memberi gambaran bahawa PAS adalah parti yang menghormati hak-hak kaum minoriti telah musnah akibat tindakan Muhamamd Sanusi.

Dia telah menanam benih ketakutan di dalam pemikiran semua kaum minoriti di negara ini serta membangkitkan persoalan apa akan jadi kepada masa depan kaum-kaum minoriti jika PAS berkuasa penuh di peringkat Persekutuan.

Akhir sekali, Muhammad Sanusi, anda harus faham bahawa satu perkara mengenai rakyat Malaysia ialah kita selalu menantikan hari cuti awam.

Kerana ingin membalas dendam terhadap kaum India, anda telah membatalkan cuti Thaipusam dengan memikirkan tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh 6 peratus orang India di Kedah.

Namun demikian, bukan 6 peratus ini yang harus anda risaukan tetapi baki 94 peratus penduduk Kedah yang cuti am mereka baru sahaja anda batalkan.


S VELL PAARI adalah anggota Dewan Negara dan pemimpin MIC.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.